Saturday, September 18, 2010

Amalan – Amalan Menghapus Dosa -

Sesungguhya sebagai manusia biasa, kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Akan tetapi, sebagai hamba Allah kita berhak untuk memohon keampunan daripadaNya dan menjadi kewajipan ke atas kita untuk menjauhkan diri daripada melakukan dosa dan maksiat berulang-ulang kali kerana dibimbangi Allah akan menutup pintu hati kita daripada memohon keampunan dan bertaubat kepadaNya. Dbimbangi juga kita akan berterusan melakukan dosa sehingga tidak nampak lagi kebenaran.
Dosa dan maksiat yang dilakukan secara berterusan akan menggelapkan hati dan merosakkan iman sehingga tidak akan Nampak kebenaran dan tidak boleh menerimanya. Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud : “ Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang-orang yang bertaubat. ”
Antara amalan-amalan untuk menghapuskan dosa dan maksiat yang kita lakukan ialah:
1-Bertaubat, kerana Allah sahaja yang berhak untuk menerima taubat dan mengampun segala dosa-dosa hambaNya yang melakukan kesalahan
Bertaubat kepada Allah adalah wajib kerana kita adalah manusia biasa yang sering
melakukan kesalahan dan tidak terpelihara daripada melakukan dosa. Kita bukannya nabi dan rasul yang maksum iaitu terpelihara daripada melakukan dosa. Namun demikian Nabi Muhammad walaupun dijamin oleh Allah akan dimasukkan ke dalam syurga dan terpelihara daripada melakukan dosa serta baginda juga adalah seorang rasul kepada umat manusia akhir zaman, baginda tetap juga beristighfar dan memohon ampun daripada Allah. Begitulah kemuliaan peribadi Rasullullah SAW yang sentiasa mengerjakan amal kebaikan dan ibadah demi mengharapkan keredhaan Allah. Baginda ingin melahirkan rasa syukur kepada Allah di atas segala nikmat kurniaNya. Bagaimana pula dengan diri kita yang sudah tentu sering melakukan dosa san maksiat. Apakah tidak takut pada azab Allah di akhirat nanti? Sesungguhnya banyak lagi persoalan yang perlu kita fikirkan bagi menjamin ehidupan yang lebih baik sama ada di dunia dan akhirat. Lantaran itu, bertaubatlah kepada Allah dengan bersunguh-sungguh dan menyesal dengan penuh keikhlasan terhadap segala kesalahan yang kita lakukan.
2-Sentiasa mengucapkan kalimah istighfar
Kita hendaklah sentiasa mengucapkan istighfar iaitu memohon keampunan kepada
Allah dengan sentiasa melafazkan zikir. Membasahi lidah dengan amalan zikir pada setiap masa dan menjauhi lidah daripada mengucapkan kata-kata keji dan tercela kerana perbuatan itu akan menambahkan lagi beban dosa dan maksiat yang kita yang kita tanggung. Sesungguhnya Allah menjadikan dunia ini sebagai tempat ujian bagi menguji siapa antara kita termasuk dalam golongan yang beriman dan tahan diuji. Dan Allah menjadikan syaitan, hawa nafsu dan segala macam bentuk yang terdapat di dunia ini sebagai musuh bagi menguji keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah. Walau bagaimanapun Allah menyediakan pula kepada kita senjata bagi menentang dan melawan musuh-musuh tersebut. Senjata yang dimaksudkan ialah al-Quran dan petunjuk daripada RasulNya. Dengan yang demikian, manusia diberikan bimbingan dan ilmu pengetahuan bagi menentang musuh-musuh tersebut. Dan ketahuilah bahawa orang-orang yang beriman dan taat kepada perintah Allah dan rasulNya akan memiliki kekuatan untuk menentang musuh-musuhnya.
3-Sentiasa istiqamah melakukan amalan kebaikan dan kebajikan
Sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk melakukan kebaikan dan
kebajikan kerana dengan berbuat baik kepada sesama manusia dan makhluk-makhluk lain yang terdapat dalam alam yang fana ini akan membolehkan kita menerima ganjaran pahala daripada Allah dan setiap kebaikan yang kita lakukan itu akan mambantu kita untuk menikmati pembalasan yang baik juga di akhirat kelak. Istiqamah melakukan kebaikan bermaksud kita berterusan melakukan tanpa henti. sesuatu Hatim Al-Asham pernah berkata :
•Orang mukmin sering sibuk merumuskan kebaikan.
•Orang munafik sering sibuk dengan kelobaan dan angan-angan.
•Orang tidak akan menggantunkan nasibnya kepada manusia melainkan kepada Allah.
•Orang munafik menggantungkan nasibnya kepada manusia dan tidak kepada Allah.
•Orang mukmin sentiasa merasa aman ketika berhubungan sesame manusia dan dengan sesiapa sahaja dan hanya takut kepada Allah.
•Orang munafik sentiasa berada dalam keadaan cemas ketika berhubungan dengan sesiapa sahaja.
4-Menjauhkan diri daripada melakukan dosa besar dan dosa kecil
Setiap makhluk yang bernama manusia tidak akan terlepas daripada melakukan dosa.
Tidak ada manusia yang dirinya bersih daripada dosa kerana kita adalah manusia biasa.
Dalam mendefinisikan dosa-dosa besar, para ulama menggariskan beberapa pendapat antaranya : Dosa besar ialah segala perbuatan yang menjadi larangan Allah yang terdapat di dalam Al-Quran tentang pengharaman tersebut atau sesuatu perbuatan yang wajib dihukum, atau sesuatu perbuatan yang menganduni ancaman seksaan api neraka pada hari kiamat atau kemurkaan daripada Allah atau sesuatu perbuatan yand dikutuk atau mengandungi ancaman keras yang menggambarkan pelakunya sebagai fasik.
Ada ulama mengatakan: “ Bila engkau ingin mengetahui perbezaan antara dosa besar dan dosa kecil maka bandingkanlah kerosakan yang ditimbulkan oleh dosa itu dengan kerosakan-kerosakan yang ditimbulkan oleh dosa besar yang sudah disebut. Bila terdapat kurang nilainya kerosakan daripada kerosakan minimum dosa-dosa besar bererti dosa-dosa kecil dan jika menyamai dosa besar yang paling rendah atau melebihinya maka bererti termasuk dalam dosa besar. ”
Imam Adz-Dzahabi mengatakan bahaawa dosa besar itu ialah “ semua perbuatan yang berat yang dihukum had di dunia seperti membunuh, berzina, mencuri atau diancam dengan azab, yang mendapat kemurkaan Allah semuanya termasuk dalam dosa besar. ”
Ada juga pendapat lain yang mengatakan “ tidak ada dosa besar dengan memohon ampun dan tidak ada dosa kecil bila diteruskan. ”
Dengan lain perkataan dosa besar dapat dihapuskan dengan memohon ampun dan bertaubat kepada Allah. Manakala dosa kecil yang dilakukan akan menjadi dosa besar jika kita berterusan melakukannya dengan tidak memohon ampun kepada Allah. Sesetengah ulama berpendapat bahawa dosa-dosa besar itu terbahagi kepada tujuh jenis dengan bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Jauhilah oleh kamu tujuh jenis dosa-dosa besar iaitu menyekutukan Allah, melakukan sihir, membunuh jiwa yang diharamkan kecuali ada alas an yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, melarikan diri daripada medan peperangan dan menuduh zina terhadap perempuan terhormat dan beriman. ”
5-Melakukan amal soleh dan bertakwa kepada Allah
Sebagai hamba Allah, kita wajib mengabdikan diri hanya kepadaNya. Mengerjakan
amal soleh dan melakukan amal makruf adalah satu tuntutan ke atas diri kita. Dan janganlah kita mati melainkan kita di dalam beragama Islam kerana Islam itulah yang akan dapat menyelamatkan hidup kita didunia dan akhirat. Firman Allah yang bermaksud :
“ Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepadaNya dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam. ”
( Al – Imran:102)
“ Sesungguhnya orang-orang yang beriaman dan beramal soleh serta meraendah diri kepada Tuhan mereka, mereka itu adalah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya. ”
( Hud:23)
6-Berzikir dengan menyebut nama Allah
Melakukan amalan zikir sama ada ketika senang atau susah akan dapat memberi
ketenangan jiwa kepada diri kita. Faedahnya amat banyak dan dengan zikirlah kita dapat mendamaikan jiwa yang sedang keresahan. Zikir adalah penawar paling mujarab bagi umat Islam yang tidak dimiliki oleh orang kafir. Berzikir dengan menyebut nama Allah adalah amalan yang harus dikekalkan dalam kehidupan umat Islam kerana ia akan menjadi penawar bagi hati dan dapat mengubati jiwa yang kedukaan. Zikir mengingati Allah denyebut dan membaca tasbih, tahlil, tahmid, takbir, membaca basmalah dan lain-lain.
Zikir itu bermaksud segala lafaz yang disukai para umat membacanya dan memperbanyakkannya membacanya untuk menghasilkan jalan kea rah mengingati dan mengenangkan Allah seperti yang bermaksud :
“ Maha suci Allah, dan segala puji bagi Allah, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Allah Maha Besar. ”
Membaca hauqalah iaitu yang bermaksud :
“ Tidak ada upaya untuk menolak sesuatu kemelaratan dan mendatangkan kemanfaatan melainkan dengan Allah. ”
Membaca basmalah iaitu :
“ Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. ”
Membaca istighfar iaitu :
“ Aku mohon ampun kepada Allah yang Maha Besar. ”
Membaca hasbillah iaitu :
“ Cukupkanlah bagiku, aku tidak perlu kepada yang selainNya. Dan Dialah yang sebaik-baik penjaga yang menjaga kemashalatan dan kemanfaatanku. ”
7-Mengerjakan solat lima waktu dan solat sunat
Menunaikan solat sama ada yang wajib atau sunat akan member kelapangan jiwa dan
fikiran kepada kita. Ianya sudah menjadi rahsia umum dan penawar yang tidak ada tolak bandingnya kepada umat Islam. Banyak kebaikan dan keistimewaan yang ada padanya akan tetapi ramai yang lalai daripada mengerjakannya.
Kewajipan solat adalah satu tuntutan yang amat besar ke atas setiap umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah. Solat merupakan salah satu daripada rukun Islam. Yang mana tanpa mengerjakan rukun ini, Islam kita tidak akan bermakna malah sesetengah ulama berpendapat mengatakan orang yang meninggalkan solat dengan sengaja boleh menjadi kafir.
Kehidupan kita di dunia harus diseimbangkan dengan ibadah kita kepada Allah. Dunia adalah tempat bagi kita untuk membuat persediaan bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal.
Islam dibina atas lima perkara : mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah.
Banyak fadhilat dan kelebihan bagi orang yang menjaga solatnya. Antara kelebihannya ialah :
•Solat adalah sumber kejayaan seseorang.
•Solat menjamin kemenangan dan pertolongan daripada Allah SWT
•Solat adalah amalan para nabi dan rasul
•Mendapat ganjaran pahala serta pembalasan yang baik pada hari akhirat.
•Solat mencegah dari melakukan kejahatan dan kemungkaran.
•Selamat daripada kehidupan yang sempit di dunia.
•Selamat daripada mendapat seksa kubur.
•Menerima buku catatan amalan dengan tangan kanan di akhirat kelak.
•Melalui titian sirat seperti kilat.
•Masuk syurga tanpa hisab.
8-Memperbanyakkan bacaan selawat ke atas nabi Muhammad SAW
Sebagai tanda kita mengingati dan mengasihi Rasullullah SAW, kita hendaklah
sentiasa berselawat ke atasnya pada setiap hari. Berselawat ke atas nabi adalah juga merupakan perintah Allah. Sekiranya kita sering berselawat ke atas nabi Muhammad SAW, ia akan member banyak kebaikan kepada diri kita sendiri sama ada kebaikan dunia atau akhirat. Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud : “ Orang yang berselawat ke atas aku sebanyak sepuluh kali pagi dan petang akan mendapat syafaatku. ”
Allah telah memberi penghormatan yang amat besar kepada Nabi Muhammad SAW di mana kemuliaan ini tidak pernah diberikan kepada nabi-nabi terdahulu kerana Nabi Muhammad SAW adalah penghulu kepada para nabi dan para rasul. Baginda juga merupakan kekasih Allah. Sesungguhnya pada diri Rasullullah SAW itu terdapat contoh dan ikutan yang baik dan terpuji. Sesiapa yang mengasihi dan mengingatinya hendaklah sentiasa berselawat ke atasnya di samping melakukan amal ibadat yang lain. Dengan izin Allah, kita semua akan mendapat kasih saying daripada Allah SWT dan mendapat keampunanNya di atas segala dosa dan kesalahan yang kita lakukan.
9-Merasa takut dan gerun dengan azab Allah SWT
Hamba yang beriman kepada Allah akan merasa takut dan gerun dengan pembalasan
azab Allah. Mereka tidak akan cuba mendabik dada untuk mencabar kekuasaan Allah malah mereka akan sentiasa merasa kerdil dan memiliki sifat sebagai hamba yang wajib mengabdikan diri kepada Allah. Patuh kepada segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya dengan hati ikhlas dan sentiasaa mengharapkan keredhaan dan pengampunaNya. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya tanpa melihatnya bagi mereka itu pengampunan dan pahala yang besar. ”
( Al-Mulk:12)
10- Menghadapi ujian dengan sabar dan redha
Semasa kita hidup di dunia yang fana ini, pasti kita tidak akan sunyi daripada
menghadapi kesulitan dan kepayahan. Musibah yang menimpa kita itu terkadang menguji sejauh mana keimanan kita kepada Allah. Jika kita bersabar dan redha dengan ujian tersebut maka itu adalah lebih baik bagi diri kita kerana di sebalik ujian dan musibah itu tersirat keampunan yang besar di sisi Allah. Musibah yang menimpa orang-orang yang beriman adalah untuk menghapuskan dosa-dosa dan mengangkat darjat. Manakala musibah yang menimpa orang-orang kafir adalah untuk menyeksa mereka. Justeru amat jauh bezanya musibah kepada orang Islam dengan musibah yang menimpa orang-orang kafir. Lantaran itu, sebagai hamba Allah kita hendaklah bersabar dan redha dengan ketentuanNya. Menerima dan menghadapinya dengan hati yang terbuka.
Hamba Allah yang taat dan patuh kepada perintah Allah tidak akan berbangga dengan amalan yang dilakukannya itu. Dia merasa seronok dan berlapang dada dalam mengerjakan kebaikan. Yang diharapkannya adalah keredhaan Allah bukan dengan tujuan untuk mengharapkan pujian daripada makkhluk. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah, maka Allah mengujinya dengan musibah ”
Dan dalam sebuah hadis lain daripada Anas bin Malik RA bahawa saya mendengar Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Sesungguhnya Allah berfirman : Jika Aku menguji hamba-hambaKu dengan meninggalkan orang yang dicintainya, lalu dia bersabar, maka aku menggantikannya dengan syurga ”
Kesimpulannya, hakikat kejayaan hidup yang sebenarnya bukanlah di dunia ini tetapi ianya adalah kejayaan dan kesejahteraan hidup di akhirat. Terselamat daripada azab api neraka dan hidup bahagia di dalam syurga. Kecelakaan yang sebenarnya adalah apabila kita di akhirat kelak dimasukkan ke dalam neraka dan diharamkan untuk menikmati kesenangan hidup di dalam syurga.
Dosa dan maksiat adalah penyebab utama bagi manusia dimasukkan ke dalam api neraka sedangkan pahala dan amalan baik menjadi penyebab bagi umat manusia untuk menikmati kesenangan hidup di akhirat. Oleh yang demikian, dosa tidak akan terampun melainkan dengan melakukan kebaikan dan mengerjakan amalan kebaikan. Memohon keampunan daripada Allah dengan bertaubat serta mengabdikan diri kepadaNya bukan kepada makhluk. Menjauhi perkara-perkara yang dilarang dan mengerjakan segala perintahNya dengan hati yang tulus ikhlas.
Firman Allah SWT yang bermaksud :“Mintalah ampun kepada Allah sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang ”

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com


Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Siti Zulaikha Bt Abdull Aziz

Kelebihan Hari-Hari Dalam Satu Minggu -

RAHSIA DAN KELEBIHAN DALAM HARI JUMAAT DAN SABTU

Allah SWT telah menciptakan 7 hari dalam seminggu iaitu hari Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat. Daripada setiap hari tersebut tersingkap beberapa rahsia yang tidak diketahui ramai.

RAHSIA PADA SETIAP HARI
HARI AHAD
Menurut Rasullullah SAW, hari Ahad adalah hari menciptakan dan memakmurkan kerana pada hari itulah Allah menciptakan dunia dan memakmurkannya.
HARI ISNIN
Rasullullah SAW. pernah ditanya tentang hari Isnin, dan baginda menjawab hari Isnin adalah hari pelayaran dan perniagaan kerana Nabi Syaits as. Telah belayar pada hari Isnin dan mendapat keuntungan yang banyak.
HARI SELASA
Hari Selasa adalah hari berdarah kerana pada hari itulah Siti Hawa haid dan putera Nabi Adam membunuh saudaranya sendiri.
HARI RABU
Rasullullah SAW. menerangkan bahawa hari Rabu adalah hari yang banyaknya terjadi nahas kerana pada hari itulah Allah SWT menenggelamkan Fir’aun dan kaumnya, memusnahkan kaun ‘Aad dan Tsamud dan kaum Saleh.
HARI KHAMIS
Manakala haei Khamis pula adalah hari tercapainya hajat kerana Nabi Ibrahim as. masuk mengadap Raja Mesir pada hari tersebut, maka dia telah mendapatkan hajatnya dan Nabi Ibrahim diberi Siti Hajar.
HARI JUMAAT
Hari Jumaat adalah hari silaturrahim dan pernikahan kerana ramai para anbiya’ telah berkahwin pada hari tersebut.
HARI SABTU
Hari Sabtu pula, menurut Rasullullah SAW. adalah hari tipu daya kerana waktu itulah kaum Quraisy telah melakukan tipu daya di Darunnadwah.
Di dalam ini saya akan mengulas tentang hari Jumaat dan Sabtu.

RAHSIA DAN KELEBIHAN HARI JUMAAT
Terdapat banyak peristiwa pernikahan antara para anbiya’. Di antaranya ialah :
1 – Pernikahan antara Nabi Adam dan Siti Hawa
2 – Pernikahan antara Nabi Yusuf dan Zulaikha
3 – Pernikahan antara Nabi Musa dan Syafrawa
4 – Pernikahan antara Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis
5 – Pernikahan antara Nabi Muhammad SAW. dengan Siti Khadijah
6 – Pernikahan antara Nabi Muhammad SAW. dengan Siti Aisyah
7 – Pernikahan antara Saidina Ali bin Abi Thalib dengan Fatimah

PERNIKAHAN ANTARA NABI ADAM DAN SITI HAWA
Selepas Allah SWT menciptakan Nabi Adam, Allah SWT. melihat Nabi Adam kesunyian tanpa teman. Jadi, Allah ingin menciptakan seorang lagi manusia untuk menjadi teman Nabi Adam. Semasa Nabi Adam sedang tidur, Allah memerintahkan malaikat Jibril supaya mengambil tulang rusuk kiri Nabi Adam. Daripada tulang rusuk kiri itu, Allah menjadikan seorang wanita yang diberi nama Hawa.
Selepas Nabi Adam bangkit dari tidurnya, Nabi Adam melihat ada seorang manusia di depannya. Maka berkatalah baginda, “Siapa kah engkau?”. Hawa pun menjawab, ”Aku telah diciptakan oleh Allah SWT. untuk kamu. ”. Nabi Adam pun berkata lagi, ”Dekatlah engkau kepadaku. ” Maka Hawa pun menjawab, ”Sebaiknya engkau lah datang kepadaku. ”
Semenjak itulah telah menjadi kebiasaan, orang lelaki menemui dan meminang wanita.
Semasa Nabi Adam ingin memegang Hawa, kedengaran satu suara yang menegur bahawa pergaulan mereka tidak dihalalkan kecuali dengan mas kahwin dan nikah. Maka, Allah pun menyuruh semua penghuni Syurga untuk menghias Syurga bagi pernikahan anta Nabi Adam dan Hawa. Kemudian, Allah SWT. pun menikahkan mereka berdua. Selepas itu Hawa meminta Nabi Adam mas kahwinnya, Nabi Adam pun bertanya kepada Allah apakan mas kahwinh yang harus diberikan kepada Hawa. Allah pun menjawab bahawa mas kahwin Nabi Adam adalah dengan membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. dan Allah akan menghalalkan perkahwinan mereka.

PERNIKAHAN ANTARA NABI MUSA DAN SYAFRAWA.
Nabi Musa adalah seorang yang miskin. Suatu hari, Nabi Musa menolong memberi minuman kepada ternakan Nabi Syuib as. dan tindakan Nabi Musa itu diperhatikan oleh puteri-puteri Nabi Syuib. Puteri-puteri Nabi Syuib pun menceritakan hal itu kepada Nabi Syuib. Kemudian Nabi Syuib menyuruh salah seorang puterinya untuk menjemput Nabi Musa datang kerumah. Maka, Syafrawa dengan malu-malunya pergi menjemput Nabi Musa. Sesampai sahaja di rumah, Syafrawa meminta kepada ayahnya supaya menjadikan Nabi Musa sebagai buruh mereka. Tetapi Nabi Syuib tidak melihat lagi kekuatan dan kejujuran Nabi Musa. Syafrawa pun menceritakan kepada Nabi Syuib kebaikan Nabi Musa. Nabi Musa Berjaya mengangkat batu yang sangat besar yang hanya mampu diangkat oleh 40 orang lelaki dan Nabi Musa menyuruh Syafrawa berjalan di belakang supaya Nabi Musa tidak melihat anggota badan Syafrawa.
Maka, Nabi Syuib pun mengambil Nabi Adam sebagai buruh dan Nabi Syuib berhasrat untuk menjadikan Nabi Musa sebagai menantunya. Dia pun menyatakan hasratnya kepada Nabi Musa tetapi Nabi Musa miskin dan tidak mampu untuk membayar mas kahwin. Nabi Syuib pun berkata bahawa mas kahwin Nabi Musa adalah bekerja dengannya selama 8 tahun dan jika lebih dari itu, maka ia adalah suatu kebaikan darinya. Kemudian Nabi Musa pun dikahwinkan dengan Syafrawa.

PERNIKAHAN ANTARA NABI MUHAMMAD SAW. DENGAN SITI AISYAH.
Setelah Siti Khadijah meninggal dunia, Nabi Muhammad SAW. merasa kehilangan dan sedih. Kemudian datang malaikat Jibril membawa sehelai daun dari syurga. Di daun itu terdapat lukisan wajah Siti Aisyah. Malaikat Jibril pun mengatakan bahawa Allah telah manikahkan baginda dengan gadis yang serupa dengan lukisan tersebut. Maka baginda pun menanyakan sahabat tentang lukisan itu. Para sahabat pun mengatakan bahawa lukisan itu mirip dengan anak perempuan Abu Bakar As-Siddiq. Rasullullah pun memanggil Abu Bakar dan mengatakan hal tersebut.
Maka Abu Bakar pun berkata, ”Ya Rasullullah, semoga Allah member selawat dan salam ke atas baginda, sebenarnya dia masih anak-anak, mungkin belum dapat berkhidmat untuk baginda. ” Maka Rasullullah pun menjawab, ”Seandainya dia tidak dapat berkhidmat denganku, tidak mungkin Allah mengahwinkan dia denganku. ”
Kemudian Siti Aisyah pun dinikahi oleh Rasullullah SAW. selepas itu, Abu Bakar pun pulang dan mengisikan sebuah mangkuk dengan buah kurma, kemudian dia pun menyuruh Siti Aisyah untuk memberikan buah kurma itu kepada Rasullullah. Siti Aisyah pun pergi dan memberikan buah kurma itu kepada Rasullullah SAW. kemudian Rasullullah menarik sedikit selendang Siti Aisyah. Melihat perbuatan Rasullullah itu, Sitio Aisyah menjadi marah dan terus pulang. Abu Bakar melihat wajah Siti Aisyah dan bertanya tentang Rasullulah. Siti Aisyah pun menceritakan hal yang terjadi kepada ayahnya. Abu Bakar pun menerangkan bahawa dia telah menikahkan Siti Aisyah dengan baginda Rasullullah SAW. kemudian Siti Aisyah pun menundukkan muka tanda malu.
Ada diantara para ulama’ yang mengatakan Siti Aisyah merasa bahagia kerana 3 perkara iaitu :
1-Siti Aisyah dinikahi oleh Rasullullah dalam keadaan gadis.
2-Siti Aisyah dinikahkan oleh Allah SWT dengan Rasullullah SAW di langit.
3- Allah SWT menurunkan ayat tentang Siti Aisyah dan untuknya.

PERNIKAHAN ANTARA SAIDINA ALI BIN ABI THALIB DENGAN FATIMAH
Fatimah adalah puteri Nabi Muhammad SAW. ketika Fatimah meningkat dewasa, Nabi Muhammad menjadi sedih kerana Fatimah sudah tidak ada ibu yang mahu menguruskan pernikahannya. Malaikat Jibril pun turun membawa firman Allah, ”Janganlah engkau bersedih hati kerana Fatimah sebab Aku lebih mencintainya berbanding kecintaanmu terhadapnya. Maka serahkan urusan perkahwinannya kepadaKu. Aku akan mengahwinkannya dengan orang yang Aku cintai juga. ” Rasullullah pun bersujud tanda kesyukuran. Allah SWT ingin mengahwinkan Fatimah dengan Saidina Ali bin Abi Thalib.
Kemudian datanglah ramai-ramai malaikat membawa perhiasan dari syurga kemudian Rasullullah mengatakan bahawa Fatimah redha dengan apa yang baginda redha. Sesungguhnya baginda lebih suka jika hadiah itu diberikan di waktu akhirat sahaja.
Kemudian Rasullullah menanyakan Jibril tentang hal pernikahan Fatimah dengan Saidina Ali. Jibril pun menceritakan bahawa Allah telah membuka semua pintu Syurga dan menutup semua pintu neraka. Allah menghias arsy, Kursi, pokok Thuba, dan Sidratul Muntaha. Setelah itu Allah membaca khutbah pernikahan Saidina Ali dengan Fatimah. Di dunia, Rasullullah memberitahu hal tersebut kepada Saidina Ali dan Fatimah. Baginda pun mengumpulkan para sahabat di masjid. Turunlah Jibril memberitahu bahawa Allah menyuruh Saidina Ali untuk membaca khutbah pernikahannya sendiri. Maka Saidina Ali pun membaca khutbah pernikahannya dengan Fatimah. Kemudian Jibril turun dan membawa kain sutera dan berkata, ”Allah menjadikan mas kahwin Siti Fatimah puteri Muhammad SAW. berupa syafaat bagi orang-orang yang berdosa di antara umatnya. ”

RAHSIA DAN KELEBIHAN HARI SABTU.
Terdapat banyak peristiwa tipu daya yang telah berlakupada hari Sabtu. Antaranya ialah :
1 – Kaum Nuh melakukan tipu daya terhadap Nabi Nuh.
2 – Kaum Saleh melakukan tipu daya terhadap Nabi Saleh.
3 – Saudara-saudara Yusuf melakukan tipu daya terhadap Nabi Yusuf.
4 – Kaum Musa melakukan tipu daya terhadap nabi Musa.
5 – Kaum Isa melakukan tipu daya terhadap Nabi Isa.
6 – Kaum Quraisy melakukan tipu daya terhadap Nabi Muhammad SAW.
7 – Kaum Bani Israil melakukan tipu daya atas larangan Allah SWT.

KAUM NUH MELAKUKAN TIPU DAYA TERHADAP NABI NUH
Kaum Nuh tidak mahu mengikut ajaran yang telah disampaikan oleh Nabi Nuh. Mereka ingin mengusir Nabi Nuh keluar dari masyarakat mereka. Maka, Allah membalas perbuatan mereka dengan menurunkan azab seperti mengeluarkan mata air-mata air yang panas dari bumi, dan Allah menurunkan air yang sangat sejuk dari langit serta Allah datangkan pula angin taufan yang kuat kepada mereka.
Ketika azab yang ingin diturunkan hampir tiba, Allah ingin menyelamatkan Nabi Nuh dan orang-orang yang beriman kepada Allah SWT. Allah menyuruh malaikat Jibril untuk turun dan mengajar Nabi Nuh cara-cara untuk bertukang. Malaikat Jibril pun menyuruh Nabi Nuh untuk memotong kayu sebanyak 124000 dan setiap dari kayu itu terdapat nama-nama nabi. Maka, Nabi Nuh pun berkata, ”Sesungguhnya aku tidak mengetahui semua nama-nama nabi. ”
Allah pun berfirman, ”Wahai Nuh, tugas kamu adalah memotong papan tersebut, sedangkan menyatakan nama-nama nabi itu, Aku lah yang melakukannya. ”
Kemudian Allah SWT. menyuruh Nabi Nuh ntuk menyiapkan paku-paku. Dan setiap paku iu tecantum nama-nama nabi. Ketika kaum Nuh melihat pekerjaan Nabi Nuh itu, mereka pun mengejek-ejek nabi Nuh. Dan turunlah firman Allah :
“ Dan mulailah Nuh membuat bahtera. Dan setiap kali pemimpin kaumnya berjalan melewati Nuh, mereka mengejeknya. Berkatalah Nuh : “Jika engkau menejek kami, maka sesungguhnya kami pun mengejekmu sebagaimana kamu sekalian mengejek (kami)”.
Selepas bahtera itu siap, maka, turunlah azab yang dijanjikan Allah itu.

TIPU DAYA KAUM SALEH TERHADAP NABI SALEH.
Nabi Saleh mempunyai seekor unta sebagai tanda kemukjizatannya. Nabi Saleh menyuruh kaumnya supaya memanfaatkan unta tersebut tanpa membunuh unta tersebut. Tetapi mereka ingkar dengan Nabi Saleh dan membunuh unta tersebut. Sebagai balasan, Allah membalas perbuatan mereka dengan mengubah wajah mereka. Pada hari pertama, Allah mengubah warna wajah mereka kepada warna merah, hari kedua berwarna kuning, hari ketiga berwarna hitam dan hari keempat mereka dibinasakan dengan satu pekikan kuat oleh malaikat Jibril.

TIPU DAYA KAUM MUSA TERHADAP NABI MUSA.
Fir’aun dan Haman berkata kepada kepada Nabi Musa, ”Engkau telah pergi meninggalkan kami untuk mempelajari sihir, dan sekarang engkau datang kepada kami, maka kami akan mengumpulkan tukang-tukang sihir untuk bertanding dengan mu. ”
Kemudian mereka pun mengumpulkan tukang-tukang sihir yang handal dengan 70 000 alat-alat sihir mereka. Tukang-tukang sihir itupun melemparkan alat-alat mereka dan alat-alat mereka itu berubah menjadi berbagai jenis ular. Nabi Musa menjadi bimbang tetapi Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Musa, supaya tidak bimbang sesungguhnya Nabi Musalah yang akan menang.
Kemudian giliran Nabi Musa pula. Allah SWT. menyuruh Nabi Musa untuk melemparkan tongkat yang berada di tangannya. Maka Nabi Musa pun melemparkan tongkat tersebut. Tongkat tersebut berubah menjadi ular yang tersangat besar dan ular itu menelan kesemua 70 000 alat tukang sihir itu. Kemudian, ular itu menuju kearah tukang-tukang sihir tersebut, maka berlarilah mereka. Nabi Musa pun cepat-cepat mengambil ular tersebut dan ular tersebut berubah semula menjadi tongkat Nabi Musa.
Selepas melihat peristiwa itu, tukang-tukang sihir itu pun menundukkan diri dan berkata, ”Kami beriman dengan Tuhan semesta alam iaitu Tuhan Musa dan Harun. ” Ketika mereka sujud, Allah menampakkan kepada mereka semua seluruh isi bumi sehinggalah ke arsy sehingga mereka berasa rindu dengan kebenaran yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Fir’aun menjadi murka kerana tukang-tukang sihir itu telah beriman dengan Allah SWT. Maka Fir’aun pun mahu menghukum mereka dengan memotong tangan dan kaki mereka secara bersilang. Mereka pun berkata, ”Sesungguhnya engkau hanya boleh memotong tangan dan kaki kami tetapi engkau tidak mampu untuk memotong maqfirah di hati kami. Itu lah peristiwa tipu daya Kaum Nabi Musa terhadap Nabi Musa.

TIPU DAYA KAUM ISA TERHADAP NABI ISA
Orang-orang Yahudi mengatakan bahawa Nabi Isa adalah seorang tukang sihir dan segala mukjizat yang ditunjukkan kepada kaumnya itu ditolak oleh mereka. Segala ajaran yang disampaikan oleh Nabi Isa juga telah ditolah oleh mereka. Nabi Isa menjadi sangat sedih dengan perbuatan mereka itu. Nabi Isa pun berdoa kepada Allah SWT kemudian Allah memakbulkan doa Nabi Isa itu.
Allah SWT. telah mengubah wajah orang0orang Yahudi tersebut menjadi kera-kera dan babi-babi. Mendengar cerita itu, pemimpin Yahudi menjadi takut. Dia takut Nabi Isa akan bermohon kecelakaan terhadap dirinya. Maka dia pun memerintahkan supaya Nabi Isa dibunuh.
Berkumpullah kaum-kaum Yahudi. Ketika mereka ingin membunuh Nabi Isa, Nabi Isa sedang berada di dalam satu bangunan. Maka kumpulan Yahudi itu pun menyuruh salah seorang dari mereka untuk masuk kedalam bangunan tersebut dan membunuh Nabi Isa. Masuklah salah seorang dari kumpulan itu kedalam bangunan tersebut. Tetapi, Nabi Isa telah diselamatkan oleh malaikat Jibril dengan membawa Nabi Isa keatas. Maka berubahlah wajah orang yang mahu membunuh Nabi Isa itu mirip dangan Nabi Isa. Kemudian kumpulan Yahudi itu pun masuk dan menangkap orang yang mirip dengan muka Nabi Isa itu. Orang tersebut telah disalib oleh kumpulannya sendiri. Jadi, orang Yahudi tersebut percaya bahawa mereka te;ah membunuh Nabi Isa tetapi kebenarannya, Nabi Isa telah diselamatkan Allah SWT.

RUJUKAN Buku RAHSIA 7 (7 KELEBIHAN DALAM SETIAP HARI YANG 7) OLEH : SYEIKH ABU NASHR MUHAMMAD ABDURRAHMAN

Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Wan Nur Farrahin Binti Wan Ali


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my

http://abdazizharjin.blogspot.com

Mendidik Anak-Anak -

Menyayangi anak-anak adalah sifat semula jadi yang ada pada setiap ibu bapa. Anak-anak adalah penghibur ibu bapa yang membawa sinar kebahagiaan di dalam sebuah keluarga.
Firman Allah :“Harta dan anak-anak itu adalah poerhiasan hidup dunia. ” (Al-Kahfi : 46)
“Dan Kami mambantu kamu dengan harta kekayaan dan anak-anak, dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar. ” (Al-Isra’ : 6)
“Dan orang-orang yang berkata : Ya Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah bagi kami pimpinan bagi orang-orang yang bertaqwa. ” (Al-Furqan : 74)
“Dan supaya aku membuat amal yang soleh yang Engkau redhai : Berikanlah kepadaku dengan member kebaikan kepada anak cucuku. ” (Al-Ahqaf : 15)
Dari keterangan-keterangan di atas, kita dapat tahu yang anak-anak adalah penyeri hidup, juga sebagai kekuatan dan kemuliaan yang Allah berikan kepada kita. Jadi, sebagai kesimpulannya, hendaklah ibu dan bapa mempunyai panduan mendidik anak-anak dan berpegang pada panduan tersebut.
Mengambil berat tentang urusan anak-anak sebelum anak-anak lahir :
1.Rasulullah SAW telah menerangkan kepada kaum Muslimin ketika memilih pasangan. Iaitu dari dasar kesucian, ketaqwaan, baik ikatan untuk berkongsi hidup kerana ini semua akan membawa kepada kelahiran anak-anak dari keluarga yang baik dan bersih.
2.Rasullullah SAW menggalakkan supaya tidak berkahwin dengan pasangan ada hubungan darah. Ini kerana mengikut pengkajian yang telah dijalankan, perkahwinan di antara pasangan yang tidak ada hubungan darah, menghasilkan anak-anak yang kuat kerana anak-anak lahir dari keistimewaan keturunan yang berbeza.
Sabda Rasullullah SAW. : “Berkahwinlah dengan keturunan yang lain(tiada hubungan darah) kerana ia akan melahirkan keturunan yang kuat. ”
3.Anak menjadi keutamaan di dalam syariat Islam. Bagi ibu-ibu yang mengandung, mereka dibolehkan untuk berbuka puasa apabila dia merasakan puasanya itu akan mengakibatkan bahaya kepada kandungannya.
Mengambil berat terhadap anak yang telah dilahirkan :
Selepas bayi lahir, hendaklah memberitahu berita gembira itu kepada keluarga, saudara-saudara dan kawan-kawan. Dan apabila mereka mengucapkan tahniah dan mendoakan bayi itu, mudah-mudahan diperkenankan doa tersebut. Dan apabila mendapat berita kelahiran anak perempuan, janganlah sekali-kali menyesal seperti apa yang yang telah terjadi pada zaman Jahiliah dulu. Apabila menerima berita kelahiran anak perempuan, mereka menjadi marah dan mereka berada dalam keraguan sama ada mahu menanggung malu atau membunuh anak perempuan mereka. Tidakkan kejam perbuatan mereka itu?
Lantas, bagi menyelesaikan masalah itu, Rasulullah SAW. bersabda :
“Berlaku adillah terhadap anak-anakmu. Berlaku adillah terhadap anak-anakmu. ”
“Barangsiapa yang memelihara dua orang anak perempuan hingga dewasa, dia akan datang pada hari kiamat, yakni aku dan dia menjadi penjamin. ”
“Barangsiapa yang memelihara tiga orang anak perempuan dan dia bersabar di dalam mendidik mereka, member minum serta pakaian mereka daripada usahanya(hartanya), mereka itu semua akan menjadi pelindung baginya daripada api neraka. ”

AZAN DAN IQAMAT DI TELINGA ANAK YANG BARU LAHIR.
Disunatkan azan di telinga kanan bayi dan qamat di telinga kiri bayi ketika bayi baru sahaja dilahirkan. Ini kerana azan dan iqamat itu adalah kalimah yang pertama yang didengar oleh seorang insane ketika ia baru dilahirkan, iaitu kalimah-kalimah seruan yang mengandungi kebesaran Tuhannya dan kemuliaan-Nya.
Juga menjadi syahadat pertama apabila seseorang ingin masuk Islam. Selain daripada itu, kalimah ini adalah untuk mendahului daripada seruan syaitan kepada anak yang ingin mengubah perlakuannya dan melakukan sesuatu yang tidak diredhai Allah dan diri bayi tersebut.
Sabda Rasulullah SAW. daripada Ibnu Abbas RA. : “Nabi telah berazan di telinga kiri Hasan di hari lahirnya dan qamat di telinga kirinya.

MENGHANAQKAN BAYI
Hanaq ialah langit-langit bahagian atas mulut. Apa yang dimaksudkan dengan menghanaqkan bayi ialah dengan mengusap mulut bayi(langit-langitnya) dari dalam dengan kurma atau sesuatu yang manis yang telah dilembutkan, kemudian digerak-gerakkan ke kiri dan ke kanan dangan lembut sehingga keseluruh mulutnya. Hikmah menghanaq bayi ini adalah mudah-mudahan ia akan menguatkan tulang-tulang mulut dengan gerakan lidah sehingga ia dapat menghisap susu ibunya dengan semula jadi. Lebih baik lagi jika ia dilakukan oleh orang yang beramal salih untuk mendapat keberkatan. Di dalam hadith Abu
Burdah daripada Musa RA. berkata : Telah dilahirkan untukku anak lelaki, lalu aku membawanya bertemu dengan Rasulullah SAW. Kemudian nabi memberikannya nama Ibrahim dan menghanaqkannya dengan tamar, serta mendoakannya supaya memperolehi keberkatan, kemudian memberikannya kepadaku semula.

MEMBOTAKKAN KEPALA
Dirawayatkan dari Yahya bin Bukair daripada Anas bin Malik RA. bahawa Rasulullah SAW. memerintahkan supaya dibotakkan kepala Hasan dan Husin di hari yang ketujuh dari lahirnya, lalu dibotakkan dan ia bersedekah seberat timbangan rambut itu dengan perak.
Hikmah mencukur kepala ialah untuk mendekatkan diri kepada keredhaan Allah dengan mengikut ajaran Rasullullah SAW. Ia juga merupakan satu latihan kesihatan yang baik kerana mencukur rambut bererti menyihatkan dan menghilangkan kelimumur di kepala

MEMBERIKAN NAMA YANG BAIK
Sabda Rasulullah SAW. , “Tiap-tiap anak yang dilahirkan itu tegadai dengan aqiqah. Berkorbanlah(sebagai aqiqah) untuknya di hari yang ke tujuh, dan berilah dia nama serta botakkan kepalanya. “
Hikmah memberi nama yang baik ialah supaya tidak membuat anak-anak berkecil hati jika diberi nama yang tidak baik. Sebaik-baik nama ialah nama nabi-nabi dan nama yang mengiringi Allah seperti Abdullah, AbdurRahman dan sebagainya. Kita juga mestilah menjauhkan dari member nama seperti nama-nama perhambaan kepada tuhan yang lain, nama yang mengandungi cela, dan juga elakkan daripada memberi nama Allah seperti Al-Ahad, As-Samad dan sebagainya.

AQIQAH
Aqiqah itu adalah menyembelih kambing pada hari ke tujuh selepas lahirnya bayi. Untuk anak lelaki, dua ekor kambing yang sederhana(sama umurnya dan bentuk yang seakan-akan) manakala untuk anak perempuan seekor kambing sahaja. Dan menjadi adat agar tidak mematah-matahkan tulang sembelihan itu sama ada ketika menyembelih atau memakannya, agar dapat diberikan potongan yang besar-besar kepada orang-orang miskin dan jiran-jiran. Aqiqah ini juga untuk mengharapkan kesihatan dan keselamatan anggota tubuh anak itu kerana tujuan aqiqah adalah sebagai tebusan untuk menghampirkan diri anak yang lahir kepada Allah pada pertama kali mencium udara kehidupan.

KHITAN
Khitan bererti memotong kulit yang ada pada hujung zakar dan memotong sebahagian yang atas kelentit perempuan. Ada sebahagian ulama berpendapat bahawa wajib bagi lelaki dan sunat bagi perempuan. Sebahagiannya pula berpendapat bahawa sunat untuk lelaki dan satu kemuliaan untuk perempuan. Dan ada juga berpendapat bahawa hukumnya adalah sama di antara lelaki dan perempuan.
Telah diwajibkan khitan itu kerana untuk membezakan antara orang Islam dan orang kafir. Kelebihan utama dalam berkhitan ini ialah untuk menjaga kesihatan bayi dan orang dewasa kerana berkhitan ini dapat menghindarkan diri daripada penyakit kanser.
Berkata Rasulullah SAW. : “ Empat perkara yang menjadi perbuatan Para Rasul ialah : khitan, berwangi-wangian, bersugi dan nikah. ”

PENYUSUAN
Syariat Islam menggalakkan penyusuan anak kepada ibu-ibu dari semenjak bayi lahir hingga usianya dua tahun seperti firman Allah :
“Dan para ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan, dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’aruf. Seseorang tidak dibebani melainkan mengikut kadar kesungguhannya, jangan sampai seorang ibu menderita kerana anaknya atau seorang ayah kerana anaknya. “
(Al-Baqarah : 233)
Dari ayat di atas, ia mewajibkan keatas kedua ibu bapa supaya memahami anaknya, dan menyayangi mereka agar dapat mendidik mereka dengan baik. Bagi ibu pula, hendaklah menyusukan anaknya dengan baik dan redha dengan semulajadi, dan bagi bapa pula hendaklah memberinya makan dan pakaian. Jika bapa meninggal sebelum tamat penyusuan dengan sempurna, waris bapa tadi harus member nafkah kepada si ibu. Dan jika si ibu meninggal atau berpenyakit, boleh mengupah orang untuk menyusukan anak.

MENDIDIK ANAK-ANAK
Rasulullah SAW berkata : “Barangsiapa yang memisahkan di antara ibu dan anaknya, Allah akan pisahkan di antaranya dengan orang yang disayanginya di hari kiamat. ”
Mendidik anak itu menjadi tanggungjawab ibu di sepanjang mereka masih kecil lagi, kemudian digantikan kepada pendidikan bapanya selepas ia boleh menjadi seorang anak yang boleh menguasai dirinya sendiri daripada penjagaan ibunya terhadap dirinya. Jika terjadi hal yang tidak diingini seperti penceraian kedua ibu bapa, seorang hakim mestilah meletakkan penjagaan anak itu di tempat yang baik sama ada di belah pihak bapanya atau di belah pihak ibunya. Hakim ada hak untuk memilih siapakah yang lebih memberi manfaat kepada anak dan yang mampu untuk memelihara anak dengan baik.

MENDIDIK ANAK-ANAK DAN MEMELIHARA MEREKA ATAS NILAI YANG MULIA
Berkata Ali bin Abu Talib RA. : Sebaik yang dijadikan warisan bagi bapa ke atas anak-anaknya ialah pendidikan adab.
Ibnu Mas’ud RA. berkata : Setiap orang yang terdidik mestilah ada nilainya, dan bahawasanya pendidikan Allah pula adalah dengan Al-Quran.
Sebab itulah, maka nyata sekali bahawa nilai pendidikan agama sejak kecil lagi merupakan asas utama dalam pendidikan Islam.

CARA MENDIDIK ANAK DENGAN SEBAIK-BAIKNYA
A.Berlaku benar terhadap anak-anak di dalam pelakuannya.
Perbuatan ibu bapa menjadi contoh buat anak-anak. Nasihat pula akan mendatangkan yang sebaliknya jika seseorang itu menasihati dan melakukan perbuatan yang tidak secocok dengan nasihatyang diberinya. Kedua ibu bapa hendaklah berhati-hati apabila berbicara dengan anak-anak agar tidak berlaku sebarang pembohongan, kerana itu akan menghilangkan kepercayaan
anak-anaknya. Contohnya, jika ada orang mengetuk pintu rumah, lalu ibu atau bapa mengajarkan anak-anak supaya memberitahu orang yang datang kerumah itu ibu dan bapa tiada di rumah. Padahal itu semua bohong. Contoh ini akan memalingkan dari kebenaran dan dia akan rosak dan tiada ubat lagi.
B.Menemani anak ke masjid.
Ibu atau bapa haruslah menemani anak ke masjid supaya mereka merasa rajin untuk menunaikan solat berjemaah di masjid. Allah juga mengurniakan ganjaran pahala bagi mereka yang melangkah berjalan ke masjid dengan niat yang ikhlas dan tanpa mengharapkan balasan.
C.Mendidik anak supaya bersembahyang
Firman Allah :
“Dan orang yang beriman dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang mereka kerjakan. ”
Adalah menjadi kewajipan bagi ibu bapa supaya mengajar anak mereka untuk bersolat kerana ini adalah satu penanaman iman di hati mereka. Sembahyang itu tian agama. Barangsiapa yang mendirikan solat, dia telah mendirikan agamanya dan barangsiapa yang tidak mendirikan solat, dia telah meruntuhkan agamanya. Wajib juga kepada ibu bapa supaya mengajarkan mereka cara untuk bnerwudhuk, mendengar azan, berjalan menuju ke masjid dan keluar daripadanya. Ketika kedengaran azan, ajarlah anak-anak supaya menjawab azan. Juga ajarlah anak-anak ketika masuk ke masjid, jangan lah ia duduk sehingga ia mendirikan sembahyang sunnat dua rakaat. Ibu bapa tidak harus cuai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka yang ini kerana ia akan membuatkan anak-anak mereka jahil dalam perkara-perkara ini.

D.MENDIDIK ANAK SUPAYA BERPUASA.
Wajib mengajar anak supaya berpuasa semenjak mereka kecil lagi.
Rabi’ binti Mu’awwidz pernah menghiburkan anaknya dengan pelbagai permainan apabila dia berpuasa untuk melalaikannya sehinggalah tamat waktu puasanya.

E.MENGAJAR ANAK-ANAK AL-QURAN DAN HADITH
Wajib juga kepada ibu bapa supaya memberi semangat kekuatan kepada anak-anak apabila mereka menghafal ayat-ayat Al-Quran dan hadith- hadith dengan kata-kata yang baik dan memberikan hadiah dan mendoakan mereka.
Sabda Rasulullah SAW. : “Hak anak ke atas ibu bapanya ialah mengajarnya membaca Al-quran, dan berenang dan tidak memberinya rezeki melainkan yang baik. ”

F.MENGAJAR ANAK-ANAK BERZIKIR
Mengajar anak-anak berzikir adalah supaya mereka mengingati Allah SWT. berzikir boleh dilakukan dimana-mana sahaja. Sebelum solat dan selepas solat supaya diri didekatkan kepada Allah SWT. kemudian mengajarkan mereka berdoa. Berdoa pada setiap apa yang dilakukan agar mendapat keredhaan terhadap segala pekerjaan yang dibuat. Contohnya berdoa sebelum dan selepas makan, berdoa sebelum masuk dan keluar dari tandas dan sebagainya.

G.MEMISAHKAN ANAK-ANAK DARIPADA TEMPAT TIDURNYA.
Wajib memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan semenjak kecil lagi. Terutama bagi saudara perempuan. Hikmahnya, apabila sudah sampai umur sepuluh tahun iaitu hampir usia baligh, kerana dalam usia yang sedemikian wajiblah mengajar mereka supaya mempunyai sifat malu. Anak perempuan yang sudah mencapai umur sepuluh tahun, hendklah dia tidur jauh dari saudaranya yang lelaki. Ini adalah kerana untuk memelihara dirinya daripada saudara-saudara lelaki.
Demikian juga bagi anak lelaki, mereka harus tidur jauh dari saudara perempuan mereka supaya mereka dapat menjaga pandangan mereka. Itu semua untuk memelihara dirinya supaya tidak melencong seperti yang kebanyakannya berlaku pada pemuda zaman sekarang.
Juga, tidut berjauhan daripada saudara lelakinya juga dapat memelihara diri mereka daripada terjebak dengan liwath.

H.MENGAJAR ANAK-ANAK HUKUM REMAJA DAN BALIGH
Ibu bapa haruslah mengajar anak-anak akan perihal berkenaan baligh. Bagaimana mereka mencapai baligh dan apa yang harus dibuat selepas baligh. Kerap kali kita mendengar anak muda kita baligh tapi mereka jahil tentang ilmu ini. Mereka tidak mengetahui bagaimana cara untuk bersuci. Jadi, ibu bapa memainkan peranan mengajarkan semua ini kepada anak-anak agar mereka mengetahui hal ini dan dapat menjalankan ibadah dengan yakin tanpa ragu-ragu.

Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Wan Nur Farrahin Binti Wan Ali

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com