Saturday, April 25, 2009

Faktor Berlakunya Hijrah

Oleh: Mohamad Asrafudin Fakhrullah Bin Zakari

Pengenalan

Hijrah dari segi bahasa bererti perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dari segi sejarah, hijrah bermaksud perpindahan Nabi dan umat Islam dari kota Mekah ke kota Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa ini telah menjadi satu titik peralihan dalam hidup Nabi dan juga perkembangan agama Islam. Penghijrahan ini dilakukan secara diam-diam bagi mengelakkan diketahui oleh musyirikin Mekah. Mereka berpindah dalam kumpulan yang kecil. Nabi sendiri hanya ditemani oleh Abu Bakar sebelum bertolak ke Madinah. Mereka bersembunyi di Gua Thur untuk beberapa hari.

Faktor Berlakunya Hijrah

Bai'at Aqabah

Termeterainya Bai'at Aqabah mempercepatkan lagi proses Hijrah. Melalui Bai'at ini, Nabi telah dapat menjangka sambutan penduduk Madinah adalah lebih baik. Dalam Bai'at Aqabah pertama, hanya 12 orang yang terlibat manakala dalam Bai'at Aqabah kedua, bilangannya telah meningkat kepada 73 orang. Orang Madinah bukan sahaja mahu menerima Islam tetapi sanggup memberi perlindungan kepada Nabi dan orang Islam.

Tekanan Musyirikin Mekah

Tekanan / Ancaman dari musyirikin Mekah telah mendorong Nabi dan orang Islam berhijrah ke Mekah. Nabi dan orang-orang Islam telah dihina, diseksa dan dipulau. Malah, Nabi sendiri telah diancam untuk dibunuh. Orang-orang musyirikin mula menunjukkan penentangan mereka apabila Nabi menyebarkan Islam secara terbuka. Mereka bimbang kedudukan mereka dari segi politik, ekonomi dan sosial akan terjejas.

Kegagalan Dakwah di Taif

Kegagalan dakwah di Taif menyebabkan Nabi cuba mengalihkan perhatian ke tempat lain, iaitu Madinah. Kedatangan penduduk Madinah ke Mekah dan kesungguhan mereka untuk menerima dan menyebarkan Islam memberi satu gambaran yang baik kepada Nabi. Penduduk Taif ternyata tidak mahu menerima Islam memandangkan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan orang Quraisy di Mekah.

Kematian Abu Talib dan Khadijah

Kematian Abu Talib dan Khadijah telah menyebabkan Nabi kehilangan tempat untuk berlindung. Ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan ke atas Nabi. Khadijah adalah seorang isteri yang sangat setia dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Nabi dan orang Islam. Abu Talib pula walaupun tidak menerima Islam, tetapi beliau tetap melindungi Nabi dari ancaman.


Mencari Tempat Baru untuk Berdakwah

Nabi berhasrat untuk mendapatkan sebuah tempat baru untuk berdakwah memandangkan sambutan dari penduduk Mekah kurang menggalakkan. Nabi agak kecewa dengan sikap penduduk Mekah. Di Mekah selama 13 tahun, bilangan yang menerima Islam agak kecil berbanding dengan tempoh 10 tahun Nabi berdakwah di Madinah.

Persediaan Penduduk Madinah Menerima Nabi

Persediaan penduduk Madinah menerima Nabi telah mendorong Nabi berhijrah ke sana. Penduduk Madinah sangat berharap Nabi dapat membantu mereka menyelesaikan perbalahan antara orang Arab dan Yahudi, juga antara orang Arab dan Arab, khususnya antara Aus dan Khazraj. Perbalahan ini berpunca dari perebutan kuasa di Madinah.

Kedudukan Madinah yang Strategik

Kedudukan Madinah di tengah-tengah jalan perdagangan antara Syam dan Yaman sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam. Ia juga berpotensi menyaingi kedudukan Mekah sebagai pusat perdagangan. Dengan ini, Madinah bukan sahaja dapat dijadikan sebagai sebuah negara yang kukuh dari segi politik tetapi juga ekonomi.

Penduduk Madinah Hampir dengan Agama Samawi

Penduduk Madinah kebanyakannya sudah mengetahui serba sedikit tentang agama Samawi, terutamanya melalui cerita-cerita yang dibawa oleh orang Yahudi. Pengetahuan ini memudahkan mereka memahami dan menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi. Lagipun, penduduk Madinah mempunyai sifat-sifat semulajadi yang lebih lembut berbanding penduduk Mekah.

Wahyu

Hijrah berlaku apabila Nabi menerima wahyu dari Allah yang mengizinkan orang Islam berhijrah. Wahyu tersebut ialah ayat 30, Surah al-Anfal. Ayat tersebut mengingatkan Nabi tentang pakatan yang dilakukan oleh orang musyirikin Mekah terhadap Nabi. Wahyu ini menggesa Nabi supaya segera berhijrah ke Madinah.

Kepentingan Hijrah

Perubahan Pusat Gerakan Islam

Pusat gerakan Islam berpindah ke Madinah dimana kegiatan Islam dapat dijalankan dengan lebih aman dan bebas dari ancaman kaum Quraisy. Penyebaran Islam mula dapat dijalankan secara bebas dan terbuka tanpa ancaman kaum Quraisy. Ajaran-ajaran Islam diamalkan dengan bebas tanpa kekhuatiran dimana-mana sahaja bahagian kota Mekah.

Penyebaran Islam Semakin Meluas

Ajaran Islam dapat disebarkan dengan lebih meluas dan pesat. Penyebarannya begitu meluas sehingga melepasi sempadan politik Mekah dan Madinah. Nabi Muhammad telah menghantar utusan kepada pemerintah Rom, Farsi, Habsyah, Ghassan, Mesir, Bani Bakar dan sebagainya yang menyeru mereka kepada agama Allah. Di antara yang menerima utusan tersebut ialah Heraclius (Maharaja Byzantine), Muqaucis (pemimpin golongan Qibbi di Mesir), Najashy (Maharaja Habsyah) dan Kisra Farsi.

Perubahan Kedudukan Nabi

Baginda tidak lagi diancam secara fizikal atau dihina oleh kaum Quraisy. Malah baginda menjadi pemimpin utama Madinah yang dihormati dan disegani. Semasa di Madinah, baginda turut menjadi hakim, ketua negara, panglima perang, guru agama, pemimpin umat dan sebagainya. Peranan itu tidak dapat dimainkan semasa baginda di Mekah.

Pertambahan Umat Islam

Umat Islam semakin bertambah dan terdiri dari 2 golongan iaitu golongan Ansar dan Muhajirin. Golongan Ansar ialah orang Madinah yang menganut agama Islam. Majoritinya ialah kaum Aus dan Khazraj. Golongan Muhajirin ialah umat Islam Mekah yang mengikut Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Muhajirin bermakna "penghijrah". Pertumbuhan masyarakat Islam ini mewujudkan sebuah ummah Islamiyah. Umat Islam menjadi semakin kukuh dan mampu mempertahankan diri mereka.


Penubuhan Negara Islam

Kota Madinah menjadi negera Islam yang pertama di dunia apabila Nabi berjaya membentuk Piagam Madinah. Ia menukarkan imej kota Madinah yang hampir dikuasai oleh kaum Yahudi kepada sebuah kota Islam. Piagam ini dianggap sebagai perlembagaan bertulis yang pertama di dunia kerana ia mempunyai negara yang ditentukan kawasannya, mempunyai ummah yang tertentu dan menyentuh hak-hak seluruh masyarakat.

Perubahan Kehidupan Masyarakat Madinah

Sebelum Nabi Muhammad berhijrah, penduduk Madinah hidup dalam suasana Jahiliah tanpa sistem undang-undang yang teratur. Keadilan terletak pada kekuatan. Manusia yang lemah sering ditindas. Dengan kedatangan Nabi, sistem perundangan yang teratur diperkenalkan. Peraturan ini meliputi hampir keseluruhan aspek kehidupan masyarakat seperti bidang ekonomi, kekeluargaan, pemerintahan dan sebagainya. Semua penduduk Madinah hidup bebas dari penindasan.

Menamatkan Permusuhan Tradisi Golongan Ansar

Konflik diantara suku Aus dan Khazraj ditamatkan dengan mempersaudarakan mereka dengan ikatan semangat Ukhuwwah Islamiyah. Sebelum itu, mereka saling bermusuhan. Peperangan sering tercetus sesama mereka. Peperangan yang terakhir ialah Perang Bu'ath pada 618 M di antara suku Aus dan Khazraj yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.

Permulaan Kalendar Hijrah

Tarikh penghijrahan Nabi Muhammad dijadikan sebagai titik terawal bagi pengiraan sistem kalendar Islam iaitu Tahun Hijrah. Hal ini dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab pada 634 M. Takwim ini mengikut peredaran bulan. Dalam setahun mengandungi 12 bulan atau 354 hari. Setiap bulan mempunyai 29-30 hari.

Perubahan Dasar Politik

Umat Islam mula menjalankan dasar politik bercorak offensive iaitu menentang apa sahaja penentangan Quraisy secara kekerasannya. Perubahan dasar ini dilakukan setelah turunnya Suruh al-Hajj. Sebelum itu, mereka hanya bertahan dan bersabar.

HIJRAH SEBAGAI IKTIBAR UNTUK MENGHADAPI CABARAN

Mengimbau kembali lipatan sejarah 1424 tahun yang lalu, Allah swt telah mentakdirkan satu peristiwa hijrah yang besar dan teragung yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Pada tanggal 1 Muharram setiap tahun, umat Islam seluruh dunia akan memperingati dan meraikan peristiwa hijrah sebagai tanda permulaan tahun Islam. Namun seramai mana umat Islam generasi kini dan akan datang dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa hijrah tersebut sebagai panduan meniti cabaran dunia yang semakin global dari segi kemanusiaan, peradaban akhlak, kegawatan ekonomi mahupun pergolakan dunia yang semakin menuju kehancuran akibat peperangan yang berlaku.

Sebelum itu, ingin diterangkan maksud iktibar bermaksud pengajaran, contoh, ibarat dan teladan. Manakala cabaran bermaksud takut, ejekan atau celaan yang membawa perihal menguji kewibawaan seseorang.

Hijrah juga boleh difahamkan sebagai meninggalkan sesuatu yang dilarang. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Habsyi, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud “Orang-orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah. Ini membuktikan bahawa hijrah adalah satu jihad bukannya “pelarian” dan “arbitrasi” seperti yang ditafsirkan oleh sesetengah orientalis barat yang sengaja mahu menenggelamkan pengertian suci hijrah itu sendiri.

Sesungguhnya hijrah baginda Rasul saw dan para sahabat adalah satu peristiwa sejarah yang amat penting dalam perkembangan dan penyebaran Islam dipelusuk dunia kerana penghijrahan itu, memberi ruang yang lebih luas kepada pelaksanaan ajaran Islam baik dari aspek aqidah, syariat dan akhlak serta kaitannya kepada hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia dan hubungan dengan alam sekitar.

Hijrah merupakan langkah penting melalui perancangan dan strategi yang cukup teratur untuk mengubah wajah dan perwatakan dunia serta menentukan arah masa depan sejarah manusia ke arah kesejahteraan, kebahagiaan, kemajuan serta kejayaan pembangunan manusia.
Peristiwa hijrah bukan sahaja meninggalkan sejarah untuk dikenang dan dirayakan, malah membawa iktibar dan pengajaran yang cukup bermakna dalam arus cabaran kehidupan masa kini. Penghijrahan baginda Rasul saw itu sendiri adalah awal dari tekad perubahan atau dalam istilah apapun samada reformasi, tajdid, islah dan sebagainya dari situasi yang tidak menguntungkan kepada situasi yang lebih dinamik dan berkesan.

Cabaran masa kini yang harus diambil iktibar dan rujukan

1. CABARAN HIJRAH AQADIYYAH/PEGANGAN

Iaitu tekad dan komitmen penuh untuk melakukan hijrah dari berbagai tuhan dalam hidup kita seperti mengagungkan manusia seperti artis atau tokoh, harta, kedudukan, persepsi dan sebagainya daripada mengagungkan Allah swt. Betapa kekaguman kita terhadap seseorang artis contohnya dimana sebahagian sikap umat Islam memberhalakan mereka dengan mencontohi cara hidup yang jelas bertentangan dengan aqidah tanpa memikirkan kesan sebaliknya kepada generasi manusia akan datang, sesudah perpindahan atau hijrah yang positif ke arah yang lebih positif.
Jelas jika kita renung kembali penghijrahan Baginda Rasul saw ke Madinah dimana setiap muslim dididik supaya patuh, menyerah dan menyembah Allah serta taat kepada ajaran Islam yang didasarkan kepada panduan Al-Quran dan As-Sunnah. Berasaskan kekuatan aqidah tersebut terbinanya sebuah masyarakat Islam yang kukuh dalam mentaati perintah dan larangan Allah.

2. CABARAN HIJRAH TERHADAP PENGIBADATAN
Iaitu tekad dan komitmen penuh dari umat Islam untuk melakukan perubahan konsepsi terhadap ibadah dalam Islam. Selama ini umat Islam masih memahami makna ibadah sebagai kegiatan ritual yang terlepas dari masalah sosial dalam kehidupannya. Konsekwensinya, terjadi personaliti yang berlainan atau sebaliknya di mana dalam satu keadaan merasa menjadi hamba yang soleh namun alam keadaan yang lain tanpa disedari menjadi hamba yang muflis dalam berbagai bentuk kehidupan.

Pemahaman terhadap konsepsi ibadah di atas sudah masanya direformasikan atau diubah supaya umat Islam tidak lagi kehilangan banyak kunci-kunci syurga dalam bentuk amal kemasyarakatan, pengelolaaan bangsa dan negara, pentadbiran ekonomi dan kemakmuran akhlak. Sebab dengan menyedarkan umat Islam akan makna ibadah dalam proses amal ma’aruf, penegakan keadilan dan penanaman motivasi agar umat bangkit melakukan kewajiban dunia dan akhirat selaras dengan sabda baginda Rasul saw yang bermaksud : “Beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esoknya dan bekerjalah kamu seolah-olah kamu hidup selama-lamanya. ”

3. CABARAN HIJRAH AKHLAK DAN TINGKAHLAKU
Iaitu perubahan tingkahlaku dari dari segi lahir atau batin ke arah akhlak Islamik. Akhlak yang diajarkan oleh Islam sesungguhnya adalah akhlak manusia yang universal. Contohnya, ketika di musim haji, kita akan merasakan betapa “attitude” manusia akan beragam, termasuk yang melampaui batas sehingga melompat di atas kepala jemaah haji lain yang sedang duduk berzikir, sedangkan dalam hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu duduk di antara dua orang tanpa izin keduanya, lalu bagaimana melompati kepala orang ?
Cabaran akhlak yang paling ketara masa kini ialah krisis identiti diri dalam semua peringkat umur. Di mana kita sering dilaporkan tentang keruntukan akhlak remaja, sumbang mahram oleh golongan dewasa dalam keluarga, kekeruhan hubungan antara jiran tetangga, masyarakat atau hubungan diplomatik antara negara. Jelas kekurangan peratus nilai murni akhlak semakin susut selari dengan perkembangan global dunia tanpa sempandan yang bersumberkan teknologi tinggi yang boleh disalurkan dari rumah ke rumah dengan hanya memetik butang dan peristiwa negatif terpampang jelas di depan mata jika tidak dibendung secara sihat.

4. CABARAN HIJRAH USRAWIYYAH/KEKELUARGAAN
Iaitu tekad dan komitmen baru untuk melakukan perubahan dalam pola pembangunan keluarga. Keluarga disebutkan secara khusus kerana keluarga merupakan institusi terpenting untuk melakukan perubahan-perubahan dalam kehidupan sosial kemasyarakatan. Gagalnya institusi keluarga merupakan kegagalan dalam institusi kemasyarakatan yang lebih luas.
Kalau selama ini, sebahagian umat Islam terlalu mementingkan duniawi kebendaan dalam membangun kehidupan keluarganya, mungkin sudah masanya dilakukan perubahan yang lebih seimbang antara material dan spritual. Jika umat Islam terlalu termotivasi untuk mendidik anak ke peringkat tertinggi dalam bidang akademik, kini masanya keseimbangan pendidikan tertinggi itu diselaraskan dengan pendidikan rohani. Pengisian hijrah ke arah kehidupan keluarga Islamik yang sebelumnya dinodai oleh kekaburan dunia akan merubah konsepsi masyarakat bukan Islam kepada cara hidup Islam yang sebenar berlandaskan aqidah, ibadah, akhlak dan perundangan.

5. CABARAN HIJRAH MEMBUDAYAKAN AKAL BUDI
Iaitu tekad untuk memurnikan sistem pemikiran dan persepsi seorang muslim kepada penggunaan akal secara maksimum melalui kemampuan intelektual dalam membezakan perkara baik dan buruk, halal atau haram dan sebagainya. Penyalahgunaan akal kepada sesuatu yang tidak boleh dimanfaatkan akan menghadirkan implikasi yang besar kepada pandangan umum terhadap sesuatu perkara yang akhirnya diikuti tanpa dirujuk secara waras. Contohnya melihat cara hidup barat dalam pergaulan dan berpakaian serta cenderung untuk mengikutinya tanpa memikirkan kesan disebalik cara tersebut yang boleh meruntuhkan akhlak dan tanpa disedari terjebak dalam sebuah penjajahan baru yang dipanggil penjajahan intelektual.

Begitulah antara cabaran hijrah daripada banyak cabaran lain yang tidak dapat diungkapkan di sini yang perlu diberi perhatian agar iktibar hijrah baginda Rasul saw yang lalu dapat digunakan untuk memimpin generasi manusia kini dan akan datang supaya tidak lari lebih jauh dari ajaran Islam sebenar seimbang dengan kemodenan cara hidup yang sedia ada.

Kesimpulan

Pertama sekali adalah jika kita benar-benar mengimani wahyu Allah, tentu kita mempunyai sikap optimis terhadap perubahan kehidupan dari yang buruk kepada yang baik. Kemudiankita perlu sedar bahawa cabaran hidup masa kini dapat meningkatkan kesedaran dan kepekaan terhadap nasib umat Islam akan datang supaya lebih terpimpin ke jalan yang benar dan diredhai Allah.

Seterusnya, umat Islam dapat mempelajari sejarah perjuangan baginda Rasul saw dan para sahabat dalam membangunkan sejarah gemilang peradaban manusia, politik pemerintahan berasaskan syariat. Terakhir adalah kita semua harus mempersiapkan generasi Islam kini agar lebih memahami dan menghayati akhlak Islamiyyah yang tulis dalam pembentukan tingkahlaku peradaban manusia.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

HP: 013-4006206
PJ: 04-9882701
RU: 04-9882597

No comments:

Post a Comment