Saturday, September 18, 2010

Keadaan Dan Gambaran Tentang Suasana Di Dalam Neraka -

Segala puji bagi Allah yang menciptakan syurga bagi orang beriman serta beramal soleh dan menciptakan neraka untuk orang kafir atau orang jahat. Selawat dan salam dicurahkan kepada insan yang diutus sebagai rahmat bagi seluruh alam iaitu Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya ada diantara ulama salaf yang mengigil dan meremang bulu roma apabila mendengar azab Allah. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat suci Al-Quran terutamanya menceritakan tentang keadaan di neraka. Hati mereka sememangnya lembut dan cepat mengambil iktibar dan pengajaran. Namun, generasi masa kini yang hanya mengikut hawa nafsunya yang suka mengabaikan solat, derhaka kepada ibu bapa serta melebihkan urusan dunia daripada urusan akhirat. Generasi yang lupa daratan dan sentiasa abaikan suruhan Allah akhirnya akan merugikan diri sendiri mereka juga.

Pernahkah anda menangis kerana menbayangkan diri anda dimasukkan ke dalam neraka?Pernahkah anda menbayangkan jeritan atau tangisan orang yang diseksa didalam neraka?Tidakkah anda takut tergelincir daripada titian As-siratal Mustaqim lalu terjatuh ke dalam neraka yang menyala-nyala?Pernahkah juga anda membayangkan buah zaqqum yang menjadi makanan penghuni neraka?Fikirkanlah betapa ruginya bagi setiap makhluk-makhluk ciptaan Allah yang dimasukkan ke dalam neraka. Oleh itu, di sini saya ingin menceritakan tentang keadaan di dalam neraka Jahannam yang azabnya sungguh dahsyat. Semoga huraian saya ini dapat memberi keinsafan kepada setiap individu yang membacanya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan lagi Maha Penyayang. Wallahualam..

NERAKA
Neraka ialah tempat balasan seksa yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang kafir dan orang Islam yang mengingkari perintahNya. Hukum beriman pada kewujudan neraka adalah wajib. Mereka yang tidak meyakini akan kewujudan neraka adalah dalam kalangan golongan murtad. Firman Allah SWT:

MAKSUDNYA:…peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu yang disediakan bagi orang kafir.

Allah SWT menceritakan kepada kita mengenai pintu neraka Jahannam dengan firmanNya yang bermaksud:”Jahannam itu mempunyai tujuh pintu. Setiap pintu (telah ditetapkan)untuk golongan tertentu daripada mereka. ”(AL-HIJR:44)

Firman Allah SWT yang bermaksud:“Orang kafir dibawa ke neraka Jahannam berombong-rombongan. Sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu, dibukakanlah pintu-pintunya dan berkatalah kepada mereka penjaga-penjaganya :Apakah belum pernah datang kepada kamu rasul-rasul diantara kamu yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kepada kamu akan pertemuan dengan hari ini?Mereka menjawab:Benar(telah datang). Tetapi telah pasti berlaku ketetapan azab terhadap orang kafir.
Dikatakan (kepada mereka):Masuklah pintu-pintu neraka Jahannam itu, sedang kamu kekal di dalamnya. Maka neraka Jahannam itulah seburuk-buruk tempat bagi orang yang menyombong diri. ”(AL-ZUMAR:71-72)

Neraka paling tinggi ialah neraka Jahannam. Jahannam ini disediakan adalah tempat untuk orang Islam yang berdosa.

Nama-nama neraka:
  • Jahannam
  • Laza
  • Al-Huthamah
  • Sa’ir
  • Saqar
  • Jahim
  • Hawiyah

Neraka Jahannam:
Neraka ini dinamakan Jahannam kerana ia bermuka masam atau bengis sewaktu menyambut mangsanya yakni orang yang berdosa. Jahannam akan memakan daging(membakar) orang yang memasukinya. Namun, di antara neraka yang tujuh itu, neraka Jahannam lebih terkenal kerana neraka ini adalah tempat kembalinya orang Islam yang berdosa.

Neraka Laza:
Keadaan neraka Laza pula telah dinyatakan didalam Al-Quran surah Al-Maarij ayat 15 hingga 16 yang bermaksud:”Sekali-kali tidak dapat. Sesungguhnya neraka Laza adalah api yang bergejolak, yang mengelupaskan kulit kepala. ”

Neraka Saqar:
Bagi keadaan di dalam neraka Saqar pula Allah SWT telah berfirman didalam surah Al-Muddathir(27-28) yang bermaksud:”Tahukah kamu apa neraka Saqar itu?Saqar itu tidak meniggalkan dan tidak membiarkan. ”
Tidak meninggalkan dan tidak membiarkan membawa maksud apa yang dilemparkan ke dalam neraka itu diazabnya sampai binasa kemudian dikembalikannya semula untuk diazab kembali.

Neraka Al-Huthamah:
Untuk mengetahui keadaan di dalam neraka Al-Huthamah perhatikan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan tahukah kamu apa Huthamah itu?Iaitu api(yang disediakan)Allah yang dinyalakan, yang membakar sampai ke hati. (Al-Humazah:5-7)
Api didalam neraka Al-Huthamah itu membakar tulang-tulang mereka serta membakar sampai terasa sakit di hati atau jantung. Mereka diseksa bermula daripada tumitnya dan api menjalar sampai ke hati dan membakar kulit mereka dan juga seluruh tubuh mereka. Mereka menangis sekuat-kuatnya tetapi tiada sesiapa yang menolong. Mereka berterusan menangis sehingga kehabis air mata. Disebabkan kehabisan air mata maka darahlah yang keluar melalui mata mereka. Darah itu mengalir berterusan sehingga banyak dan dapat menghanyutkan sebuah sampan.

Neraka Jahim:
Neraka Jahim adalah neraka yang besar bara apinya. Firman Allah dalam surah Al-Syu’ra:9
Maksud:“Dan diperlihatkanlah dengan jelas neraka Jahim kepada orang yang sesat. ”

Neraka Hawiyah:
Firman Allah SWT menceritakan neraka Hawiyah yang bermaksud:
Dan adapun orang yang ringan timbangan kebaikannya, maka tempat kembalinya adalah neraka Hawiyah. Dan tahukah kamu apa neraka Hawiyah itu?iaitu api yang sangat panas. (Al-Qari’ah:8-11)

Neraka Sa’ir:
Firman Allah yang menyebut neraka Sa’ir:

Ertinya:”Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya, dan mereka akan masuk ke dalam api yan menyala-nyala(neraka Sa’ir). (Al-Nisa’:10)

Untuk mengetahui keadaan api neraka, api itu pada mulanya dinyalakan selama seribu tahun sehingga ia menjadi merah. Dibiarkan menyala selama seribu tahun lagi sehingga ia menjadi warna putih. Dibiarkan lagi menyala seribu tahun lagi sehingga ia berwarna hitam. Maka jadilah ia hitam gelap.

LUASNYA JAHANNAM DAN KEADAAN APINYA.

Alangkah luasnya neraka Jahannam itu dan alangkah besar pagarnya. Al-Suradiq ialah pagar yang mengelilingi orang yang di dalam neraka Jahannam.

Ibnu Abbas bertanya kepada Mujahid:”Tahukah engkau bagaimana luas neraka Jahannnam itu?setelah Mujahid menjawab tidak kepada soalan itu lalu Ibnu Abbas berkata:Mungkin anda belum tahu bahawa orang yang masuk ke dalam neraka itu menjadi besar badannya. Antara telinga mereka dengan tengkuknya perjalanan tujuh puluh tahun, yang mana di situ ada lembah tempat mengalir kahak dan darah.
Mujahid bertanya:Adakah disana sungai?Ibnu Abbas menjawab:Tidak, di sana hanya ada lembah. Ibnu Abbas bertanya lagi:Tahukah anda luas titian Jahannam?Mujahid menjawab:Tidak. Ibnu Abbas berkata:Aisyah RA bercerita kepadaku bahawa beliau bertanya kepadaRasullulah tentang maksud ayat:
Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya, pada hal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat, dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. (Al-Zumar:67)
Mendengar ayat itu Aisyah bertanya:Kalau begitu di mana manusia ketika itu?Rasulullah menjawab:Diatas titian neraka Jahannam. Disebabkan luas dan besarnya pagar neraka Jahannam itu maka tiada siapa pun dapat lari daripadanya. Panas neraka Jahannam, sememangnya jauh lebih panas daripada api di dunia iaitu 1 pertujuh puluh daripada api neraka Jahannnam. Rasulullah berkata:Api neraka itu digandakan lagi 69 kali daripada panas api didunia.

GEMURUH NERAKA DAN GELEDAKNYA.

Jahannam itu neraka yang kabut, berasap dan hitam. Keseluruhan neraka itu hitam gelap, airnya hitam, pokoknya hitam serta orang yang diseksa di dalamnya juga hitam. Sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
Pada hari yang diwaktu itu ada muka yang putih berseri, dan ada pula muka yang hitam muram. (Ali Imran:106)

Wajah dan badan mereka semua hitam terkena asap dan debu Jahannam. Tidak ada sesuatu yang menyejukkan, sama ada yang menyejukkan hati atau badan. Semuanya dalam keadaan panas dan menyakitkan. Dalam surah al-furqan ayat 12, ada disebut kata-kata Al-Zafir. Al-Zafir bermaksud suara keras. Contoh seperti orang sedang bersin. Dalam surah Al-Mulk pula ada kalimah Shahiq, bermaksud suara keras seperti suara himar atau keldai. Dalam ayat itu juga ada kalimah Tamayyazu, ertinya suara keras seperti suara orang sedang marah. Tegasnya neraka Jahannam itu menggelegak seperti suara air mendidih dalam periuk.

UKURAN KEDALAMAN NERAKA

Dengan kuasa Allah SWT neraka itu pun pandai berkata-kata seperti manusia. Neraka bercakap dan mengadu kepada Tuhannya. Firman Allah yang bermaksud:Dan ingatlah akan) hari yang hari itu Kami bertanya kepada Jahannam:Apakah kamu sudaj penuh?Neraka itu menjawab:Masih adakah tambahan?(Qaf:30)

Sememangnya kita akan hairan melihat orang yang ingin diselamatkan daripada neraka tetapi mereka masih lagi nyenyak tidur dan tidak beramal. Begitu juga orang yang ingin masuk syurga akan tetapi mereka masih juga tidak beramal malah sentiasa menghabiskan masanya dengan tidur.
Neraka Jahannam itu sememangnya sungguh dalam. Seandainya dicampakkan batu ke neraka itu , tujuh puluh tahun barulah batu itu sampai ke dasarnya.

Riwayat Abu Hurairah yang mengatakan:Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah, tiba-tiba beliau mendengar suara kuat yang memeranjatkan. Beliau berkata:Tahukah kamu suara apa itu?Kami menjawab:Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu. Beliau berkata:Ini adalah suara batu yang dilemparkan ke neraka semenjak tujuh puluh tahun yang lalu dan sekarang ia baru sampai ke dasarnya.

Neraka itu panasnya bersangatan, dasarnya jauh, alat pukulnya besi dan azabnya bersangatan.
Pintu-pintu neraka Jahannam ditutup rapat, neraka mengepung dan membakar mereka daripada segenap penjuru. Ini menandakan bahawa penyeksaan yang bermula di dalam neraka Jahannam itu bermula dengan sungguh-sungguh. Mereka diseksa dengan azab yang amat dahsyat. Begitulah keadan neraka dan sesungguhnya neraka itu juga mempunyai kedalaman yang jauh dan setiap yang membuat dosa akan dicampakkan ke dalam neraka. Allah menjadikan neraka itu dalam supaya setiap makhluk Allah yang mengingkari perintah Tuhannya, semuanya akan diseksa dan tidak ada yang terkecuali melainkan mereka yang beriman dan yang beramal soleh.

RANTAI DAN CAMBUK DI NERAKA

Di neraka juga tersedia alat-alat seksaan yang terdiri daripada kekang, belenggu, rantai, cambuk besi dan sebagainya. Sesungguhnya kekang neraka itu besar. Satu kekang neraka sahaja ditarik oleh 70,000 malaikat. Firman Allah SWT yang bermaksud:Ketika belenggu dan rantai dipasang di leher mereka, sambil mereka diseret ke dalam air yang sangat panas, kemudian mereka dibakar dalam api. (Ghafir:71-72)

Firman Allah yang bermaksud: (Allah berfirman):Peganglah dia, kemudian belenggulah tangannya ke lehernya. Kemudian masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala. Kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta. (Al-Haqqah:30-32)

Kata Ibnu Abbas, ukuran hasta ialah hasta malaikat dan rantai yang membelit itu masuk melalui duburnya kemudian terus ke dalam perut dan keluar daripada halkumnya, kemudian ia dibengkok melengkung terus bercantum ubun-ubun kepalanya dengan kedua-dua tapak kakinya sehingga ia tidak dapat bergerak. Ada orang yang dicampakkan ke dalam neraka dalam keadaan tangan berikat pada lehernya. Kedua-dua tangan mereka dihimpunkan ke leher kemudian diikat dengan kuat.
Orang yang diazab di dalam neraka itu diikat atau dibelunggu bukan bermaksud Allah takut mereka lari, tetapi sebagai penghinaan bagi mereka. Sama seperti penjahat yang dibawa ke mahkamah, tangannya digari walaupun dia dikelilingi oleh pengawal. Selain daripada yang disebutkan itu, neraka Jahannam juga ada alat pemukul daripada besi besar, yang mana gunung pun akan hancur jika dipukul dengan pemukul itu. Oleh itu bertaubatlah kita sebelum terlambat.

LEMBAH DAN GUNUNG DI NERAKA JAHANNAM.

Kalau disebut neraka, mungkin kita akan terbayang api yang besar dan tinggi sahaja. Sebenarnya di dalam neraka Jahannam juga terdapat lembah dan gunung. Dalam Al-Quran banyak disebut kalimah Al-Wail. Ramai ulama terdahulu yang mengatakan Al-Wail itu bermaksud lembah atau wadi.

Ata’ bin Yasar berkata:Al-Wail maksudnya lembah daripada api neraka Jahannam, yakni tempat membakar orang kafir. Seandainya gunung yang ada di dunia dicampakkan ke lembah itu akan menjadi debu kerana panasnya.

Di neraka Jahannam juga ada terdapat gunung yang dalam Al-Quran diistilahkan dengan Al-Sa’ud. Syafi Al-Asbahiy berkata:Di neraka Jhannam ada gunung yang disebut Al-Sa’ud. Orang kafir akan disuruh mendaki gunug itu, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:Aku akan membebaninya mendaki pendakian yang menyusahkan. (Al-Muddathir:17)

Di neraka Jahannam juga menpunyai istana yakni istana api yang dipanggil Hawa’. Dicampakkan padanya orang kafir, yakni ke atasnya, kemudian empat puluh tahun barulah sampai ke dasarnya.

Di neraka Jahannam juga ada wadi(lembah)yang dipanggil Atsam dan di situ banyak ular dan kala. Pada mulutnya dapat memuat tujuh puluh kolah racun berbisa. Kala yang ada di neraka itu besar seperti keldai. Kala itu mengigit penghuni neraka. Kala itu tahan dengan keadaan panasnya api neraka kerana ia dicipta Allah untuk menyeksa penghuni neraka.

Dineraka Jahannam ada juga lembah yang dipanggil Ghayya. Ia menampung nanah dan kahak orang yang diseksa di dalam neraka Jahannam.

PAKAIAN DAN TIKAR AHLI NERAKA.

Sesungguhnya pakaian penghuni neraka itu adalah pakaian yang dibuat daripada api dan Allah telah menciptakan tikar daripada api buat penghuni neraka. Di neraka Jahannam tersedia tikar tempat tidur dan juga selimut. Tikar atau tilamnya bukan daripada span tetapi daripada api. Selimutnya juga bukan daripada kain tetapi daripada api.

Firman Allah SWT yang bermaksud:Mereka mempunyai tikat tidur daripada api neraka dan di atas mereka ada selimut(api neraka). Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang yang zalim. (Al-A’raf:41)

Hasan Basri berkata ketika ada orang menyebut tentang neraka di hadapannya:Dipakaikan kepada mereka terompah atau selipar daripada api, baju daripada tar yang panas. Makanan mereka daripada api, minuman mereka daripada api, tikar mereka daripada api selimut daripada api dan rumah daripada api. Itulah tempat yang paling malang dan menyakitkan.

Sedangkan Wahab bin Munabbih mengatakan:Adapun orang yang diazab di dalam neraka itu, mereka betul-betul sengsara. Mereka tidak pernah tidur, mereka tidak akan mati, mereka berjalan di atas api, duduk di atas api, minum daripada peluh dan nanah penghuni neraka. Makanan mereka adalah buah zaqqum(buah berduri) yang panas. Tikar dan selimut mereka daripada api, baju mereka daripada tar panas dan mereka dikepung oleh api.

ULAR DAN KALA NERAKA JAHANNAM.

Firman Allah SWT yang bermaksud:Orang yang kafir dan menghalangi manusia daripada jalan Allah, Kami tambahkan untuk mereka seksaan di atas seksaan disebabkan mereka selalu membuat kerosakan. (Al-Nahl:88)

Ibnu Mas’ud berkata seksaan itu maksudnya kala besar yang lehernya panjang seperti pohon kurma.

Diriwayatkan oleh Mujahid RA, bahawa neraka Jahannam itu mempunyai telaga yang didalamnya ada ular sebesar leher unta dan juga kala sebesar keldai.


BADAN MEREKA DIBESARKAN ALLAH

Orang yang diseksa didalam neraka sengaja Allah besarkan badannya supaya mereka lebih merasaka perit azab neraka itu. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:Ertinya:Gigi geraham orang kahir seperti gunung Uhud dan tebal kulitnya perjalanan tiga hari bagi penunggang yang cepat. (Muslim)

Sesungguhnya azab api neraka itu sangatlah sengsara. Oleh itu marilah kita memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT supaya kita terhindar daripada azab api neraka. Atha’ bin Yasar Al-Khurasany menyeru kawan-kawanya yang sama-sama musafir dengannya:Wahai polan. wahai polan…malam hendaklah kita solat malam dan siang kita berpuasa. Itu semua jauh lebih ringan lagi daripada dipaksa mium peluh dan nanah di neraka dan memakai pakaian api. Bayangkan kita sekarang seolah-olah berdiri di hadapan pintu neraka Jahannam menyaksikan asapnya yang emngepul, apinya yang membara dan juga suaranya yang menggelegak. Anda sangat menyesal kerana dahulu membuat maksiat dan tidak mengerjakan printah Allah. Untunglah ini masih khayalan dan belum berlaku. Kita masih berpeluang untuk menyelamatkan diri daripada neraka yang azab itu. Oleh itu, marilah kita banyak-banyak memohon supaya dijauhkan daripada neraka itu. Sekadar berdoa tidak cukup, tetapi harus disertai dengan usaha atau amalan

Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Zeti Norasila Bte Zainal

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment