Saturday, September 18, 2010

Pentingnya Pengurusan Masa Di Dalam Islam -

Islam menggariskan kehidupan manusia bermula dari saat kelahiran hinggalah kesaat kematian. Kehidupan dunia ini umpama ladang untuk kita bercucuk tanam dengan tanaman yang baik, subur dan berkualiti, kemudian seluruh hasil tanaman tersebut akan dipetik di akhir kelak sebagai satu ganjaran kepada usaha yang kita lakukan semasa hidup di dunia, lantaran itu amat rugilah jika kita tidak memanfaatkan kehidupan ini dengan menguruskan masa kita.

Pengurusan masa amat penting dalam kehidupan seharian, kerana ia adalah aset yang bernilai dalam kehidupan kita, semua perkara bergantung kepada ketentuan masa sama ada ia memberi keuntungan atau kerugian. Ia juga bergantung kepada sejauh mana kita pandai menyesuaikan masa tersebut. Allah berfirman : ( Surah Al Asr, ayat 1 – 3)

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.

Berdasarkan firman Allah tersebut, Islam amat menitik beratkan tentang penggunaan masa, sehingga di akhir nanti Allah SWT. akan mempersoalkan mengenai (umur) masa dan bagaimana ia diuruskan.

Islam telah menjadikan pengurusan masa sebahagian daripada hidup manusia, jadi seseorang yang peka akan pengurusan dan penggunaan masanya dengan bijak. Jika ianya diabaikan walaupun sesaat, kita akan menghadapi berbagai-bagai konflik dan penyakit, pelbagai tekanan, kecelaruan sehingga memberi kesan negatif terhadap budaya kerjanya.

Pepatah kita pula ada menyatakan : masa itu emas. Pepatah arab pula menyebut : masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya, nescaya ia akan memotong kamu.

Sesetengah kita melihat masa itu sama sahaja, tetapi perlu diingat, ia amat berbeza, kerana dalam setiap masa ada kelebihan yang tersendiri, seumpamanya waktu satu per tiga malam, adalah waktu yang terbaik untuk berdoa dan beribadat kepada Allah SWT.

Allah SWT. berfirman : ( Surah Al Isra’, ayat 79)

Dan bangunlah dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga tuhan mu membangkitkan dan menempatkan mu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

Berdasarkan ayat ini, jelas menunjukkam bahawa masa atau waktu ini sangat istimewa dan terdapat beberapa kelebihan. untuk mencapai dan mengecapi kelebihan dan keistimewaan itu bergantung kepada kebijaksanaan kita atau seseorang itu menguruskan masanya. Gesaan ini juga menunjukkan supaya kita merebut peluang keemasan yang ada pada masa-masa tersebut. Jangan biarkan peluang ini berlalu begitu sahaja, kerana masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.

Seseorang itu amatlah rugi sekali, jika kita mempersoalkan atau merungut tidak ada masa atau tidak cukup masa untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Sebenarnya kerana masa itu tidak di urus dengan baik, maka menyebabkan kerja-kerja kita gagal mencapai seperti yang dirancang. Kadangkala kita terlalu banyak menghabiskan masa di gerai-gerai minuman, tempat hiburan, berbual-bual kosong tanpa faedah sehingga sampai larut malam. Bagi mengelakkan terjadinya hal ini, maka kita hendaklah memperuntukkan masa itu seperti berikut :

1.Masa beribadat, bermaksud beramal kepada Allah dengan mengerjakan solat, puasa, menunaikan haji, berzikir dan lain-lain.

2.Masa belajar atau masa untuk menambah ilmu sama ada pembelajaran formal atau tidak, pembacaan, pendengaran, perbincangan, menghadiri majlis ilmu yang dapat meningkatkan kemantapan dan keintelektualan.

3.Masa bekeluarga, setiap individu perlu kepada kebahagian, ia menjadi tanggung jawab bersama dalam sesebuah rumah tangga, terpulanglah kepada kebijaksanaan mereka untuk mengurus dan membahagikan masa tersebut.

4.Masa bermasyarakat dan bersosial. setiap individu memerlukan hidup bermasyarakat dan perlu bantuan orang lain. Oleh itu kerja-kerja kemasyarakatan hendaklah diperuntukkan masa yang sesuai dan khusus supaya hubungan antara satu sama lain bertambah erat dan mesra. Sebagai contoh mengadakan aktiviti gotong-royong, bersukan, berpersatuan, melakukan kerja-kerja amal dan sebagainya.

5.Masa berehat, setiap individu perlu kepada kerehatan setelah penat memerah keringat dan tenaga melakukan sesuatu pekerjaan, masa rehat penting memulihkan tenaga dan buah fikiran bagi meneruskan kehidupan. Jadi kita hendaklah memastikan waktu di gunakan kepada perkara-perkara yang berfaedah. Ini sebagai langkah supaya setiap masa itu dapat diimbangi sepenuhnya.

Kita tidak terlepas dari melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Bermula dari awal pagi hinggalah ke malam. Segala kegiatan harian perlu di susun mengikut jadual. Sebagai contohnya, seseorang pekerja di pejabat dikehendaki memulakan tugas mulai jam lapan pagi, namun dalam masa yang sama, dia masih tidak terlepas dari tangggungjawab di rumah. Oleh kerana itu, dia dikehendaki bangun lebih awal bagi menyiapkan kerja-kerja di rumah sebelum ke tempat kerja. Ketika di tempat kerja tumpuan hendaklah diberikan sepenuhnya kepada kerja-kerja yang diamanahkan kepadanya sehinggalah selesai waktu pejabat. Selepas itu tumpuan diberikan pula kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan termasuk rekreasi dan bimbingan keluarga.

Pada waktu malam tumpuan hendaklah di berikan untuk membimbing keluarga dan melakukan ibadat secara berjemaah serta menghadiri majlis ilmu. Setelah selesai menjalankan tugas atau aktiviti tersebut sampailah masanya untuk berehat.

Demikianlah perlunya masa itu diuruskan dengan sebaik mungkin dan setiap orang muslim perlu mengatur serta menyusun jadual harian kepada dua bidang tanggungjawab iaitu :

1.Tanggungjawab umum, melaksanakan tugas yang di amanahkan.

2.Tanggungjawab khusus, melaksanakan tugas khusus untuk dirinya sendiri. Rasulullah SAW. membahagikan masanya untuk :

- Bermunajat kepada Allah SWT.

- Bermuhasabah diri.

- Berfikir kepada kekuasaan dan ciptaan Allah.

- Memenuhi keperluan hidup.

Kesimpulannya, islam mememandang masa itu amat berharga. Islam juga melarang supaya tidak melakukan segala bentuk pembaziran. Begitulah juga dengan pembaziran masa sekiranya ia tidak diurus dengan baik.

ISLAM MEMBIMBING KEDAMAIAN SEJAGAT

Islam adalah agama bertunjang atas dasar penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. serta ajaran yang managanjrkan umatnya ke arah kedamaian dan kesejahteraan. Ini adalah antara misi utama di sebalik perutusan islam kepada alam semesta. Bukanlah dari ajaran islam yang membenarkan keganasan, permusuhan, pembanggunan, jenayah dan seumpamanya.

Pengertian kalimah islam itu sendiri sudah membawa maksud penyerahan, kedamaian dan kesejahteraan abadi untuk sekalian alam.

Allah SWT. berfirman (Surah Al Anbia’, ayat 107)

Dan tiadalah kami mengutuskan engkau( wahai Muhammad), melainkan untuk menjadikan rahmat bagi sekalian alam.

Jesteru itu, Islam bermakna penyerahan diri untuk tunduk dengan ikhlas kepada Allah sebagai tuhan pencipta semesta alam. Makna keselamatan dan perdamaian itu pula seruan Allah SWT. kepada sekalian manusia supaya mencari tempat yang selamat, sentosa dan Dialah juga akan memberi petunjuk mengikut peraturanNya.

Ajaran Islam yang di syariatkan kepada umat Islam itu sebenarnya bermatlamatkan memimpin umat manusia ke arah kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan sama ada di dunia ataupun di akhirat.

Islam tidak mengajar umatnya supaya berserah diri secara membabi buta tanpa pegangan ilmu dan panduan yang betul, lalu ia hanya mendiamkan diri sahaja dan tidak mempertahankan diri, biarpun hartanya di rampas, maruh dan dirnya dijual beli, sedangkan Islam adalah Ad-Deen, yang menitik beratkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummat, maka Islam dari awal-awal lagi menaganjurkan umatnya supaya bertolak ansur dan bekerjasama dengan umat lain untuk mentadbir dan memakmurkan bumi ini, lebih-lebih lagi bumi ciptaan Allah ini, bukannya milik individu atau kepunyaan istimewa sesutau kaum, sebaliknya bumi yang terbentang luas ini adalah umpama hidangan istimewa yang di sediakan oleh Allah SWT. untuk dikongsi bersama oleh semua makhlukNya.

Usaha umat Islam menuju kekemuncak kejayaan bukan mudah dicapai atau boleh dipandang ringan, sebaliknya mempunyai syarat tertentu yang wajib dipatuhi sejajar dengan apa yang ditegaskan oleh Allah SWT. dengan firman Nya yang bermaksud : “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu wahai umat Muhammad, bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintah di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka, khalifah yang berkuasa; dan ia akan mengotakan dan mengembangkan agama mereka yakni agama Islam yang telah diredhainya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan dari ancaman musuh, mereka terus beribadat kepadaku dan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan ku. Dan ingatlah, sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik”. (Surah An Nur, ayat 55)

Maksud ayat yang dijelaskan sebentar tadi adalah antara formula dan rahsia bagi meninggikan darjat umat Nabi Muhammad dan para sahabat, sebagai umat terbaik dan contoh kepada warga alam sejagat. antara formulanya ialah beriman kepada Allah dan rasulnya, tanpa sebarang rasa syak dan ragu yang boleh mencacatkan hubungan seseorang muslim dengan Allah. dalam masa yang sama setiap muslim dituntut patuh dan tunduk kepada segala perintah Illahi dan menjauhkan segala laranganNya.

Begitulah kecintaan kepada Allah dan rasulNya, hendaklah mengatasi segala kecintaan kepada dunia, anak isteri, harta, pangkat serta kedudukan dan sebagainya. Seterusnya konsep ibadat dalam Islam sewajarnya dihayati dan diterjemahkan secara keseluruhannya di alam realiti kehidupan semasa. Ini amat penting, kerana ibadat membawa maksud ketundukan dan kepatuhan yang tulus ikhlas terhadap apa yang diperintahkan Allah sama ada yang berkaitan dengan ibadat, muamalat, jenayah, politik, kemasyarakatan, kekeluargaan dan lain-lain lagi.

Ini beerti seluruh detik kehidupan yang dilalui oleh setiap insan adalah satu bentuk ibadat atau pengabdian diri kepada Allah SWT.. Selain itu, semangat jihad dan gagasan amar maaruf serta nahi mungkar wajib dijulang sebagai agenda masyarakat Islam dalam usaha memertabatkan kembali Islam sebagai teras utama yang mendasari setiap aspek kehidupan manusia sejagat. Ini kerana umat Islam hari ini terpinggir jauh dari landasan sebenar, tidak hairanlah umat Islam kini begitu sinonim di labelkan sebagai umat mundur, berpecah-belah, jahil dan lain-lain lagi jolokan yang mencalar maruah dan imej umat islam.
di tambah lagi, umat Islam dewasa ini begitu cetek tahap keimanannya, jahil terhadap penghayatan Islam disamping penampilan akhlak mereka pula mencacatkan pandangan. Inilah antara senario terkini yang telah menghimpit umat Islam sekian lamanya, semenjak kejatuhan khalifah Othmaniah pada tahun 1924 yang lampau.

Untuk mencapai kedamaian dan kesejahteraan, Islam wajar dijadikan teras dalam kehidupan manusia, kerana ia diiktiraf sebagai Ad-Deen yang paling sempurna dan lengkap dengan sistem atau cara kehidupan yang menyeluruh. Islam bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah bukan sekadar relevan untuk masa kini, sebaliknya wajib dikembalikan kedudukan sebagai tunggak sumber perundangan dan cara hiduo sejagat. Islam wajib dihayati secara keseluruhannya, bukan sekadar diambil sebahagian dan ditolak sebahagian yang lain. Maka sudah menjadi tanggungjawab kepada individu muslim, khususnya pemimpin dan rakyat jelata berjuang menegakkan syariat Allah di muka bumi ini.

Dalam masa yang sama. agenda pembanggunan insan yang menjurus kepada pemantauan akidah, pengisian pelbagai disiplin ilmu, keterampilan akhlak yang terpuji dan dipertingkatkan bagi melengkapkan usaha mendaulatkan Islam. Umat Islam sewajarnya berpegang teguh kepada ajaran Islam dan jangan menyimpang dari landasan yang sebenar.

Sabda Rasulullah SAW. :

Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh pada kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya, iaitu, kitab yakni Al-Quran dan sunnah rasulNya yakni hadith.

Sesebuah masyarakat itu tidak akan mencapai kedamaian, kesejahteraan, keamanan dan kejayaan dalam apa jua bidang dan kegiatan, sekiranya umat Islam tidak ada perasaan bertanggungjawab. jesteru itu agama Islam menggesa dan mengingatkan penganutnya, supya berpegah teguh kepada perkara-perkara yang berhubung dengan menyuruh berbuat baik dan melarang segala perkara yang salah dan keji. Inilah kesimpulan bagi segala kebaikan dalam Islam.

HURAIAN DAN PENGAJARAN HADITH

Hadith pertama

TINGGAL YANG MERAGU-RAGUKAN DAN AMBIL YANG TIDAK MERAGU-RAGUKAN

Daripada Abi Muhammad iaitu Al-Hassan Bin Ali Bin Abi Talib cucunda Rasulullah SAW. dan kesayangannya ia berkata: Aku telah menghafaz daripada Rasulullah SAW. sabdanya: “Tinggallah barang yang meragukan anda kepada apa-apa yang tidak meragu-ragukan anda”.

Huraian

Hadith ini menunjukkan kepada kita tentang kewajipan melakukan sesuatu yang diyakini keadaannya dengan meninggalkan sesuatu yang diragukan atau yang disyaki sama ada dalam perkara ibadat mahu pun dalam hukum lain. Contoh: Seorang yang yakin sucinya yakni berwuduk kemudian ia ragu atau syak tentang hadasnya adalah dikendaki supaya ia tetap dalam kesuciannya kerana ini yang menjadi keyakinan sedang keraguannya adalah dalam perkara yang belum dipastikan. Lain halnya kalau ia diyakinkan berhadas dan ragu tentang kesuciannya maka hendaklah ia melakukan menurut keyakinannya.

Pengajaran

1.Hendaklah ditinggalkan segala pekerjaan yang mendatangkan keraguan.

2.Pilihlah perkara yang tidak merasa ragu-ragu.

3.Perasaan syak atau ragu-ragu adalah sifat yang tidak baik.


Hadith kedua

JANGAN MENGANGGU URUSAN ORANG LAIN

Daripada Abi Hurairah RA ia berkata : rasulullah SAW. telah bersabda : Salah satu daripada kebaikan seseorang itu ialah meninggalkan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah kepadanya.

Huraian

Hadith ini menerangkan mengenai kelebihan keelokan dan kebagusan Islam dengan amalan yang rapi dan niat yang suci, menjauhi perkara yang tidak membawa manfaat kepada diri( sepertu berkata perkara yang tidak ada faedah dan kebaikannya).

Pengajaran

1.Dilarang menganggu urusan orang lain.

2.Mengganggui urusan orang lain adalah tercela.

3.Tinggalkan perkara-perkara yang tidak faedah.

4.Islam menggalakkan umatnya mengerjakan perkara-perkara yang berfaedah.

5.Membuat perkara-perkara yang berfaedah akan diberi pahala.

6.Mengganggui urusan orang lain adalah berdosa.


Hadith ketiga

PERSAUDARAAN SEJATI DALAM ISLAM

Daripada Abi Hamzah iaitu Anas Bin Malik RA khadam Rasulullah SAW. daripada Nabi SAW. sabdanya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinnga menyintai saudaranya sebagaimana ia menyintai dirinya”.

Huraian

Hadis ini menceritakan adab yang baik bagi seseorang Islam terhadap saudaranya supaya silaturrahim kasih sayng selalu terjalin dengan baik dan damai dalam masyarakat. Kepentingan kasih dan sayang ini hingga dikaitkan dengan iman dan perasaan tersebut serta kesempurnaan dan kekurangan kerana perasaan itu.

Ini menunjukkan betap pentingnya perasaan kasih sayng tersebut didasarkan kepada iman untuk menjadi asasnya yang kuat kerana dasar inilah yang dapat diletakakn persatuan yang berjiwa persaudaraan, terhindar daripada anasir perpecahan dan permusuhan.

Pengajaran

1.Iman tidak sempurna jika tidak ada rasa kasih sayang antara satu sama lain.

2.Islam mengalakkan umatnya hidup berbaik-baik dan harmoni.

3.islam memerintahkan umatnya suoaya bersikap baik sesama mereka.

Disediakan untuk : Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh : Azif Nazreen Bin Mohd Zahari


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

1 comment:

  1. bandar togel online indonesia

    Agen TOGEL 4DPOIN,Online Terpercaya.
    Minimal Deposit Dan Withdraw 20.000
    Keterangan Lebih Lanjut, Anda Bisa Hubungi Disini.
    ★ Pin BBM : D1A279B6
    ★ Pin BBM : 7B83E334
    ★ Whatsapp : +85598291698
    ★ Skype : Poin.4D
    ★ Line : +85598291698

    ReplyDelete