Friday, September 17, 2010

panduan sopan santun -

Apa itu Etiket?
“sesungguhnya engkau Muhammad memiliki budi yang pekerti yang agung.”
Perkataan etiket bermaksud adab sopan. Istilah etiket berasal daripada bahasa yunani iaitu Ethos yang bererti adab kebiasaan. Pengertian akhlak atau etika berbeza daripada etiket, kerana orang beradab belum tentu dia berakhlak. Seseorang yang bersopan santun, senyum ketika bertemu dan berjabat tangan, dikatakan beradab, tetapi belum tentu dia berakhlak daripada sudut pakaiannya.
Keperluan beretiket dalam keperluan.
1.Menjadi petunjuk ke arah kebaikan dan kebenaran.
Ilmu etiket islam bukan sekadar menjadi petunjuk kepada sesuatu perlakuan. Tetapi ia memberi menfaat kepada kehidupan manusia. Nabi Muhammad SWT ialah contoh terbaik, kerana baginda memiliki etiket islam yang unggul. Firman Allah dalam surah al-Quran ayat 4 bermaksud, “sesungguhnya engkau Muhammad SWT memiliki budi pekerti yang agung.”
2.Untuk kesempurnaan iman.
Dengan mengamalkan etiket islam,ia menunjukkan kesempurnaan iman seseorang muslim. Apabila iman sempurna, baiklah adabnya. At-Tarmizi meriwayatkan hadis Nabi Muhammad SWT yang bermaksud, “ orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya. Dan sebaik-baik antara kamu ialah yang paling terbaik terhadap keluarga ataupun isterinya.”
3.Untuk kemajuan rohani.
Ilmu pengetahuan bertujuan meningkatkan kemajuan rohaniah, mental ataupun spiritual manusia. Darjat orang berilmu tidak sama dengan orang yang tidak berilmu. Orang lebih utama dan dipandang mulia. Orang yang memiliki etiket islam lebih beradab sopan dalam tingkah lakunya. Firman Allah SWT dalam surah Az-Zumar ayat 9 yang bermaksud, “katakanlah lagi kepadanya, adakah sama orang-orang yang mengetahui atau berilmu dengan orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
4.Mendapat keutamaan pada hari kiamat.
Orang beretiket mendapat kehormatan dan kemuliaan pada hari kiamat. At-Turmizi meriwayatkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “sesungguhnya orang yang sangat aku kasihi dan terdekat padaku pada majlisnya pada hari kiamat ialah orang yang baik budi pekertinya. Dan orang yang sangat aku benci dan jauh daripadaku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bicara, sombong dalam perbicaraannya dan berlagak menunjukkan kepandaiannya.”

MENJAGA TINGKAH LAKU DI MASJID.
“Orang yang memakmurkan masjid adalah tanda orang tersebut beriman kepada Allah dan hari Akhirat”
1. Pergi ke masjid dalam keadaan tenang. Nabi Muhammad SAW mengajar sepotong doa yang selalu baginda amalkan ketika dalam perjalanan menuju ke masjid yang bermaksud, “Ya Allah! Jadikanlah pada pendengaranku cahaya, penglihatanku cahaya dan jadikanlah di belakangku cahaya, di hadapanku cahaya dan di bawahku cahaya, Ya Allah! Berikanlah kepadaku cahaya.
2. Menanggalkan kasut dan melangkah masuk dengan mendahulukan kaki kanan.
3. Ucapkanlah salam kepada sesiapa yang berada di dalam masjid iaitu kepada orang-orang yang tidak bersembahyang.Sekiranya tiada sesiapa di dalam masjid tersebut, maka ucapkanlah “Selamat ke atas kami daripada Tuhan Kami dan atas hamba Allah yang soleh.”
4. Lakukan solat sunat Tahiyyatul masjid iaitu sembahyang kerana menghormati masjid sebanyak dua rakaat sebelum duduk sekiranya sembahyang fardhu berjemaah belum ataupun tidak didirikan.
5. Apabila azan berkumandang sewaktu memasuki masjid,maka berdiri dan jawab ungkapan- ungkapan azan tersebut. Apabila selesai azan, lakukan sembahyang sunat.
6. Apabila memasuki masjid pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, lakukan solat sunat sebelum Jumaat atau qobliah Jumaat secara ringan.
7. Niat iktikaf setiap kali memasuki masjid supaya kita memperoleh pahala.
8. Semasa di dalam masjid, duduk dengan tertib dan menghadap kiblat. Ambil kesempatan dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran, berselawat, berzikir, menyebut nama Allah dan banyakkan berdoa agar Allah SWT membuka pintu rahmatNya.
9. Rendahkan suara ketika di dalam masjid untuk menghormati orang yang sedang bersolat.
10. Elakkan daripada melintas di hadapan orang yang sedang bersolat kerana perbuatan sedemikian dilarang.
11. Lakukan urusniaga di luar masjid.
12. Tidak boleh menghunus pedang atau mencabut senjata sewaktu di dalam masjid.
13. Bentukkan saf dengan tertib dan jangan berebut-rebut. Apabila saf dihadapan sudah penuh, bentukkan saf-saf yang baru di belakang. Rapat dan luruskan barisan mengikut tumit.
14. Jangan menghisap rokok di dalam masjid dan jangan membunyikan jari-jemari tangan dan kaki.
15. Bersihkan najis, sampah ataupun kotoran di dalam masjid kerana besar pahalanya.
16. Apabila memasuku masjid, pakai-pakaian yang sopan bagi lelaki ataupun perempuan.
17. Ketika hendak keluar dari masjid, pohon keampunan dan bimbingan Allah SWT supaya dipelihara semasa di luar. Berazam untuk kembali.
18. Ucapkan salam kepada orang yang masih berada di dalam masjid.
19. Keluar dari masjid dengan mendahulukan kaki kiri sambil berdoa, “ Aku berlindung dengan nama Allah Yang Maha Agung dengan Zat Yang Maha Mulia dan kekuasaanNya yang Qadim daripada syaitan yang terkutuk,” Dan baca doa berikut, ertinya, “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kedapaMu daripada kelebihanMu.
BERJANJI.
Tunaikanlah janji yang dibuat sama ada dengan orang islam ataupun orang bukan islam.
Ramai orang suka berjanji. Islam membenarkan berjanji berkenaan perkara-perkara baik sahaja. Islam melarang umatnya memungkiri janji. Salah satu ciri orang munafik ialah tidak menepati janji. Sebagai seorang muslim, kita mesti tunaikan janji yang dibuat sama ada dengan orang islam ataupun bukan islam. Contohnya ahli perniagaan yang berjanji dengan pelanggannya mesti menunaikan janji tersebut supaya dia dipercayai, menambah keuntungan syarikat dan pelanggan berpuas hati. Itu adalah kepentingan berjanji. Adab-adab berikut mesti di tunaikan apabila berjanji.
1. Sebarang janji yang dibuat mesti ditunaikan, karana janji ibarat hutang yang perlu dijelaskan. Jangan menyalahi janji tanpa alasan yang munasabah. Apabila kita sering memungkiri janji, orang lain tidak lagi mempercayai kita.
2. Perjanjian tersebut mesti bertujuan baik. Elakkan berjanji berkenaan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah SWT seperti melakukan kejahatan dan menganiaya oranag lain kerana haram hukumnya dan haram juga menunaikan janji itu.
3. Pertimbangkan dahulu janji yang hendak dibuat. Sekiranya merasa janji tersebut dapat dipenuhi, maka boleh berjanji. Sebaliknya, apabila merasa tidak mampu ditunaikan,janganlah berjanji kerana dikuatiri kita akan dituduh mengkianati janji sehingga menimbulkan perasaan tidak percaya kepada kita.
4. Pilih masa dan keadaan yang tenang dan selesa semasa berjanji, supaya jelas perjanjian tersebut dan sempat berfikir berkenaan kemampuan untuk menunaikan janji tersebut. Elakkan berjanji dalam keadaan tergesa-gesa, kerana perjanjian tersebut menjadi tidak serius dan tidak jelas.
5. Berjanjilah dalam keadaan baik dan mesra supaya masing-masing reda dengan janji yang dibuat serta ikhlas untuk menunaikannya dengan sempurna.
6. Apabila seseorang berjanji memberikan sesuatu kepada orang lain walaupun dengan kanak-kanak, mesti dipenuhi dan menghormati janji tersebut.
Diriwayatkan semasa kecil Abdullah Ibnu Amir pernah dipanggil oleh ibunya dan berkata, ibunya akan memberikan sesuatu kepadanya. Rasulullah SAW berada di situ dan bertanya, “ Apa yang kamu niatkan untuk diberikan kepadanya?” Ibu Amir menjelaskan, “saya berniat memberikannya sedikit buah tamar.” Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda, “ seandainya kamu tidak memberinya sesuatu maka dosa berjanji ataupun berkata dusta akan dicacatkan buatmu.”
PAKAIAN SOPAN IMEJ MUSLIM.
Pakai pakaian putih.
Manusia memerlukan pakaian bagi menutup tubuhnya. Dalam al-Quran Allah SWT menyuruh manusia, khususnya umat islam supaya memakai pakaian. Firman Allah SWT dalam surah al-A`raaf ayat 23 yang bermaksud, “ wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian yang indah apabila pergi ke tempat ibadat seperti mengerjakan sembahyang ataupun memasuki masjid, makanlah dan minumlah, jangan melampau-lampaui, sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.”
Islam tidak mementingkan bentuk pakaian, tetapi pakaian tersebut mesti menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang muslim. Antara adab berpakaian ialah:
1. Berpakaian menutup aurat. Aurat lelaki menurut ahli hukum islam ialah daripada pusat hingga ke lutut. Aurat wanita ialah seluruh anggota badannya kecuali wajah, tapak tangan dan tapak kakinya.
2. Pakaian tersebut tidak jarang supaya tidak menampakkan tubuh. Pakaian yang jarang menampakkan aurat dan tidak memenuhi syarat-syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan sahaja menampakkan warna kulit, tetapi merangsang nafsu orang yang melihatnya.
3. Pakai pakaian yang tidak ketat supaya tidak menampakkan bentuk tubuh. Pakaian yang ketat menyulitkan pergerakan pemakainya.
4. Tidak menyerupai pakaian golongan bukan islam kerana dikuatiri orang Islam akan meninggalkan keperibadian muslim sendiri. Abu Daud meriwayatkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “ sesiapa meniru atau menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam golongan mereka.”
5. Pakaian lelaki mesti berbeza daripada pakaian wanita. Maksudnya pakaian yang khusus untuk kaum lelaki tidak boleh dipakai oleh kaum wanita,begitu juga sebaliknya.
6. Pakaian lelaki tidak boleh diperbuat daripada sutera kerana pakaian sutera haram dipakai.
7. Wanita muslimah perlu melabuhkan pakaian sehingga menutupi kaki. Pakai tudung yang sesuai bagi menutup kepala,tengkuk,leher dan dada.
8. Lelaki tidak boleh memakai cincin emas.
9. Apabila memakai kasut, mulakan dengan sebelah kanan. Apabila meninggalkannya mulakan di sebelah kiri.
SALAM YANG BERKAT
“Apabila dua orang muslim bertemu dan mereka berjabat tangan, Allah akan mengampunkan dosa mereka sebelum mereka berpisah.”
Ucapan salam adalah ucapan khas agama islam. Ucapan salam adalah ungkapan penghuni syurga dan menjadi pengerat hubungan ukhuwwah antara sesama muslim. Allah SWT memberkati sesuatu pertemuan yang dimulai dengan ucapan salam. Salam juga dapat membezakan antara pertemuan sesama islam daripada pertemuan orang bukan islam.
Umat islam dituntut memberi salam kepada saudara seagama tanpa mengira kedudukan atau status sosial seseorang. Memberi salam memiliki adab-adab tertentu yang perlu diamalkan, antaranya
1. Ucapkan salam kepada saudara seagama dengan wajah yang manis dan gembira sambil berjabat tangan supaya lebih mesra.
2. Sunnah memberi salam seperti cara yang diajarkan oleh Nabi SAW. Muttafaq`alaih meriwayatkan, daripada Abu Hurairah ra, Nabi Muhammad SAW bersabda, “ Orang yang berkenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan kaki, orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang duduk,orang yang sedikit kepada orang yang ramai jumlahnya, dan orang yang lebih muda memberi salam kepada otang yang lebih tua.”
3. Apabila memasuki sesebuah rumah walaupun rumah berkenaan tidak berpenghuni, disunatkan mengucap salam.
4. Apabila memasuki sesuatu majis ataupun meninggalkannya, disunatkan memberi salam kepada tetamu majlis berkenaan.
5. Ucapkan salam kepada ahli keluarga terutama kepada kedua ibubapa setiap kali memasuki rumah, semoga Allah menambah keberkatan kepada seisi keluarga.
6. Disunatkan memberi dan menjawab salam dengan suara yang jelas dan keras, tetapi tidak sampai menggangu orang lain.
7. Seseorang muslin digalakkan memberi salam sebelum memulakan sebarang ucapan atau percakapan.
8. Apabila seseorang muslim memberi salam kepada kita, jawab salam tersebut dengan segera.
9. Mengulangi ucapan salam tiga kali apabila diucapkan di khalayak ramai.
10. Tidak boleh memberi salam kepada orang kafir,ahli kitab ataupun ahli bid`ah.
SOPAN SANTUN KETIKA BERJALAN
“Terdapat lima perkara yang menjadi kewajipan bagi seseorang muslim kepada saudaranya, antaranya ialah menjawab salam.”
Manusia sibuk dengan pelbagai aktiviti kehidupan sama ada di rumah ataupun di luar. Islam mengajar kita etiket yang perlu diamalkan semasa di jalanan. Antaranya adab-adab ialah:
1. Berjalan dengn perasaan rendah diri dan sederhana. Tidak sombong sewaktu berjalan dengan mengangkatkan kepala dan tidak memalingkan muka daripada orang lain dengan rasa takbur.
2. Semas berjalan mesti menjaga pandangan mata sama ada lelaki mahupun kaum wanita.Dalam Islam, sesetengah benda boleh dilihat dan ada yang haram dilihat.
3. Jangan menggangu orang-orang yang sedang menggunakan jalan seperti sengaja bersiul, mengusik, menyapa atau seumpamanya sehingga mereka rasa tidak selesa melalui jalan tersebut.
4. Jangan buang sampah di jalan. Contohnya kotoran dan lebihan makanan supaya tidak menyusahkan orang yang menggunakannya. Jangan membuang air besar atau air kecil di tempat persinggahan manusia termasuk di bawah pokok yang menjadi tempat bernaung dan sebagainya.
5. Apabila seseorang memberi salam kepada kita sama ada kita kenal ataupun tidak, jawab ucapan salam tersebut kerana hukum menjawab salam tersebut adalah wajib. Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “ Terdapat lima perkara yang menjadi kewajipan bagi seseorang muslim kepada saudaranya, antaranya ialah menjawab salam.”
6. Semasa di jalan, berbuat baik sesama manusia dan mengajak mereka membuat kebajikan. Cegah segala kemungkaran yang berlaku mengikut kemampuan kita. Hal ini adalah wajib dilaksanakan oleh setiap muslim.
7. Membuang sesuatu yang menggangu lalu lintas seperti duri, batu, pokok yang tumbang, dahan-dahan pokok yang jatuh dan sebagainya. Ini merupakan sifat mulia dan bernilai sedekah serta membolehkan seseorang muslim masuk syurga.
8. Meberi pertolongan seperti membantu orang buta, orang yang sesat, menegur orang yang berbuat salah dan memberi pembelaan sekadar kemampuan kita kepada orang yang teraniaya.
ADAB BERHIAS
Wanita wajib berhias apabila diminta oleh suaminya.
Dalam kehidupan hari ini, ramai di kalangan umat islam terutamanya wanita, menghiaskan diri secara berlebih lebihan untuk pergi ketempat kerja, ke majlis-majlis keramaian, perkahwinan,dan sebagainya. Wanita lebih suka berhias berbading lelaki. Antara perhiasan yang disukai ialah pakaian, alat solek, barang kemas dan wangi-wangian.
Islam menyuruh umatnya berhias supaya sentiasa dipandang indah danbersih kerana islam adalah agama yang suci. Dalam islam, keindahan berhias diamalkan secara sederhana supaya pemakainya tidak berasa megah atau riak.ketika beribadat, kita digalakkan berhias di samping memelihara kebersihan dan kesucian tempat dan pakaian. Firman Allah SWT dalam surah al-A`raaf ayat 31 yang bermaksud, “..... Pakailah pakaian yang indah setiap kali memasuki masjid....”
Etiket- etiket berhias adalah seperti berikut:
1. Umat islam mesti sentiasa kema. Islam lebih memberikan perhatian dan kelonggaran kepada wanita seperti, wanita dibenarkan memakai sutera dan emas, tetapi kedua-dua perhiasan tersebut tidak dibenarkan kepada kaum lelaki. Wanita yang mentaati Allah SWT dan berpegang teguh dengan agama, hanya berhias di rumah supaya dinikmati oleh orang lain kerana cara itu adalah perilaku golongan Yahudi yang sukakan kehidupan moden.
2. Wanita wajib berhias sekiranya diminta oleh suaminya.
3. Pakaian dan perhiasan wanita muslimah berbeza daripada wanita jahiliah. Dalam Al-Quran, cara wanita jahiliah berpakaian dan berhias disebut sebagai tabarruj jahiliah. Mereka mendedahkan aurat, perhiasan dan kecantikan kepada lelaki bukan mahram. Mereka mempamirkan gaya lenggang lenggok tubuh sehingga menggairahkan lelaki yang memandangnya. Mereka memakai pakaian yang nipis dan ketat dengan gelang di tangan dan kaki mereka.
4. Kebanyakan muslimah suka bersolek dan memakai wangi-wangian secara berlebih-lebihan terutama apabila keluar bekerja. Ada pula wanita yang memakai gincu bibir sehingga bewarna merah menyala. Rasulullah SAW melarang kaum wanita wangi-wangian sewaktu mereka keluar dari rumah.
ETIKET DI RESTORAN
Suami mengambil makanan untuk isteri sebagai lambang suami penberi nafkah kepada isteri
Restauran adalah tempat yang dikunjungi oleh orang ramai bagi menikmati makanan dan minuman. Kesibukkan kerja dan kesuntukkan masa menyebabkan mereka makan dan minum di restaurant. Kite mesti mengamalkan adat atau sopan santun di tempat makan. Antara sopan santun di restaurant adalah:
1. Masuk kedalam restauran dengan tenang, tidak tergesa-gesa atau tergopoh-gapah supaya tidak menarik perhatian orang yang berada disitu. Tergopoh-gapah adalah salah satu amalan syaitan.
2. Sapalah orang-orang islam yang berada didalam restaurant dengan mesra. Ucapkanlah salam kerana rasulullah SAW menganjurkan kita memberi salam kepada orang islam yang kita kenal ataupu tidak.
3. Duduklah dengan tertib dan sopan diatas kerusi dan meja yang disediakan. Hendaklah bertenang dan jangan merungut ataupun marah kepada pelanggan.
4. Apabila restauran tersebut mengamalkan sistem layan diri, beratur dengan tertip dan janganlah berebut-rebut.
5. Apadila suami membawa isteri ke restauran layan diri, suami digalakkan mengambil makanan untuk isteri yang melambangkan suami sebagai ketua dalam keluarga.
6. Jangan berbuat bising sehingga mengganggu orang lain. Islam menegakkan supaya jangan menyusahkan orang lain sebaliknya menyenangkan hati semua orang.
7. Jaga pandangan mata semasa makan. Jangan membuatkan orang lain curiga dengan pandangan kita. Mereka tidak akan merasa selesa semasa makan.
8. Makan dengan tertip dan jang gelojoh. Jaga adap makan kerana Nabi Muhammad SAW mengajar kita supaya beradap dalam semua perkara.
9. Apabila kita menggunakan sudu atau garpu, makanlah dengan baik supaya bunyi sudu atau garpu tidak terlalu kuat hingga mengganggu orang lain.
10. Akhir sekali, bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat menikmati rezeki kurniyaannya.
KEWAJIPAN KEPADA JIRAN
“orang yang beriman kepada Allah berbaib-baik dengan jirannya.”
Sesungguhnya jiran tetangga adalah orang yang terdekat dengan kita. Oleh itu, kita perlu berbaik-baik dan saling tolong-menolong untuk faedah bersama. Menghormati jiran adalah tanda kesempurnaan imam. Imam bukhari meriwayatkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “ demi Allah! Tidak beriman.’ Lalu baginda ditanya, ‘ siapakah mereka itu wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘mereka yang menggangu jiran tetangga.”
Agama islam mengambil berat soal berjiran, supaya menjadi perhatian semua kaum Muslimin. Rasulullah SAW menjelaskan, malaikat Jibrail selalu mengunjunginya serta berpesan supaya baginda sentiasa berbuat baik kepada jiran.
Rasulullah SAW pernah mengungkapkan tatacara, adab dan kewajipan yang mesti dilaksanakan sesama jiran tetangga. Ibnu Majah meriwayatkan hadis yang bermaksud, “ tahukah kamu hak berjiran? Hak-hak berjiran adalah:
1. Apabila jiran memohon pertolongan daripadamu, maka beri pertolongan sekadar yang kamu mampu.
2. Pinjamkan wang apabila dia memerlukannya.
3. Beri pertolongan kepada jiran yang miskin.
4. Ziarah jiran yang sakin dan gembirakan hatinya.
5. Apabila jiran mendapat kesenangan seperti dinaikkan pangkat ataupun baru pulang dari tanah suci, ucapkan tahniah kepadanya.
6. Apabila jiran ditimpa musibah, kesusahan, kemalangan dan sebagainya, ucapkan takziah. Ungkapkan kata-kata yang menghiburkan hatinya dan memimta dia bersabar dengan musibah yang menimpa. Jangan menambahkan kesusahannya.
7. Apabila jiran ataupun keluarganya meninggal dunia, hantar dan uruskan jenazahnya sehingga ke tanah perkuburan. Jangan bezakan antara kaya ataupun miskin, pegawaibesar ataupun rakyat biasa.
8. Jangan mendirikan rumah lebih tinggi daripada rumah jiranmu sehigga menghalang angin memasuki rumahnya kecuali dengan keizinan atau persetujuannya.
9. Jangan menyusahkan jiran dengan bau masakan enak. Berikan kepadanya sebahagian daripada masakan itu.
MENZIARAHI KUBUR
Ziarahi pusara ibu bapa pada hari Jumaat.
Sesungguhnya kubur adalah tempat istirehat terakhir setiap manusia. Semua manusia akan menjadi penghuninya. Masa sahaja yang amenentukannya. Usia muda tidak menjanim kita dapat hidup lama kerana kematian hadir pada bila-bila masa. Oleh itu, kita perlu ingat kepada kematian walaupun sibuk dengan urusan kehidupan dunia. Hari ini kita menyaksikan orang dikebumikan tetapi esok ataupun lusa mungkin kita pula dikebumikan orang.
Terdapat adab-adab menziarahi kubur yang ditetapkan dalam islam. Antaranya ialah:
1. Menziarahi perkuburan dalam keadaan baik dan sesuai.
2. Digalakkan menziarahi kubur pada hari Jumaat dan seelok-eloknya pada setiap Jumaat.
3. Semasa memasuki kawasan perkuburan, ucapkan salam dan berdoa untuk keselamatan penghuni kubur.
4. Pakai pakaian yang sopan dan menutup aurat dan disunatkan berwuduk.
5. Selepas berdoa, berdiri seketika sambil bertafakur dengan mengingati kita juga akan menjadin penghuni kubur ini.
6. Tanah perkuburan adalah tempat untuk menginsafi diri, mengambil iktibar dan mengenang kematian. Elakkan daripada bersenda gurau, menghisap rokok, bersuka ria, membuat bising dan meninggikan suara dengan berbual-bual kosong.
7. Tidak dibenarkan mencium-cium, mengusap-usap kubur dan batu-batu nisan, kerana perbuatan itu adalah adab atau amalan nasrani.
8. Jangan menyebut berkenaan diri mayat kecuali perkara-perkara yang menyentuh kebaikannya sahaja.
9. Disunatkan pada orang yang menziarahi kubur supaya membaca ayat-ayat suci Al-Quran seperti surah Al-Fatihah, Al-Ikhlas dan Yassin.
10. Untuk wanita yang ingin menziarahi kubur, selain disunatkan berwuduk dan berpakaian menutup aurat, tidak digalakkan berhias dan memakai perhiasan secara berlebih-lebihan.
11. Tidak boleh duduk di atas batu nisan dan memijak kubur.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau 
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment