Saturday, April 25, 2009

Wanita & Puasa -

Oleh: Nur Izzati Bt. Ibrahim

Puasa dari segi bahasa ialah menahan. Manakala menurut istilah syarak ialah menahan diri selama sehari dari segala yang membatalkannnya. Iaitu bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari sesuai dengan syarat-syarat tertentu mengikut syarak.

Terdapat beberapa syarat wajib puasa yang perlu diikuti oleh setiap orang. Syarat wajib puasa ialah islam, baligh, berakal dan berkemampuan berpuasa. Manakala rukun puasa pula ialah niat,meninggalkan makan, meninggalkan minum, meninggalkan jimak bagi suami isteri di siang hari dan menjaga diri dari muntah yang sengaja.

Perkara yang membatalkan puasa pula ialah memasukkan sesuatu ke dalam perut, memasukkan sesuatu ke dalam rongga-rongga, memasukkan ubat ke dalam qubul ataupun dubur, muntah dengan sengaja, jimak di siang hari, haid, nifas, gila dan murtad.

Apabila dikatakan tentang puasa, terdapat empat jenis-jenis puasa. Yang pertama ialah puasa fardu iaitu wajib. Puasa ini ialah puasa di bulan Ramadhan atau mengqadhahkan di bulan lain. Selain itu, ia merupakan puasa kaffarah atau lebih dikenali sebagai puasa membayar denda dan puasa nazar.

Jenis puasa yang kedua ialah puasa haram. Ia dikatakan haram apabila berpuasa pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha kecuali pada haji tamattu’ atau haji qiran. Bagi kedua haji itu boleh berpuasa dua hari selepas Aidiladha dan berpuasa pada hari keempatnya adalah makhruh. Puasa yang diharamkan juga ialah puasa sunat oleh wanita tanpa izin suaminya atau suaminya mengetahuinya tetapi tidak meredainya.

Selain itu, jenis-jenis puasa yang lain ialah puasa sunat. Diantaranya puasa bulan Muharam. Yang lebih afdal mengerjakannya ialah pada hari kesembilan dan kesepuluh bulan tersebut. Kemudian puasa tiga hari tiap-tiap bulan. Disunat mengerjakannya pada 13,14 dan 15 tiap-tiap bulan dari bulan Hijrah. Puasa sunat juga ialah puasa hari isnin dan khamis tiap-tiap minggu. Selain itu, puasa enam hari di bulan Syawal atau lebih afdal kalau dikerjakan berturut-turut selepas hari raya Aidilfitri.

Jenis puasa yang terakhir ialah puasa makhruh. Puasa ini ialah puasa pada hari syak atau ragu. Puasa sehari pada Jumaat atau hari Sabtu sahaja dan makhruh pula berpuasa satu atau dua hari sebelum bulan Ramadhan.

Persoalan yang sering bermain di fikiran wanita ialah kedudukan wanita haid dan nifas ketika berpuasa. Haid dan nifas adalah dua jenis keuzuran yang menyebabkan wanita wajib berbuka. Seandainya seorang wanita yang sedang berpuasa tiba-tiba dating haid dan nifas, maka wajib ke atasnya berbuka dan haram baginya berpuasa. Walaupun dia berpuasa, puasanya batal sedangkan dia wajib mengqadha. Di antara syarat wajib wanita untuk berpuasa ialah suci daripada haid dan nifas. Maka tidak sah wanita yang mengalami haid dan nifas berpuasa. Oleh itu mereka wajib membayar atau qadha puasa Ramadhan yang ditinggalkan.

Sesiapa yang batal puasanya ketika berpuasa Ramadhan, dia wajib menahan puasa selama waktu yang masih tinggal untuk memuliakan dan menghormati bulan Ramadhan. Bila puasa yang batal itu bukan puasa Ramadhan, umpamanya puasa nazar atau puasa sunat, maka tidak wajib baginya menahan puasa sepanjang waktu yang masih ada pada hari itu.

Begitu juga keadaannya apabila uzur yang membolehkan seseorang berbuka puasa Ramadhan yang terbatal di siang hari. Seperti wanita haid jadi suci atau musafir sampai di tempat tujuan dan menjadi mukim dan dia wajib menahan sepanjang waktu yang masih pada hari itu kerana menghormati Ramadhan.

Apabila seseorang yang berpuasa sebelum siang hari tetapi sudah berniat akan berbuka puasa dengan mengadakan sesuatu yang belum ada, maka menurut Maliki orang itu wajib membayar kaffarah ataupun membayar denda. Contohnya seorang wanita biasa datang haid pada hari-hari tertentu, lalu pada malamnya dia berniat tidak akan berpuasa pada keesokan harinya kerana menyangka akan dating haid. Wanita itu wajib membayar denda sekalipun dia memang datang haid pada hari itu.

Sekiranya wanita itu haid atau nifasnya suci sebelum fajar walaupun hanya sedikit, menurut mazhab Maliki dia wajib berniat puasa pada malam itu. Kata Imam an-Nawawi : “apabila darah haid atau nifas telah habis malam hari, kemudian fajar terbit sebelum wanita itu mandi wajib, puasanya sah dan dia wajib menyempurnakan puasanya walaupun dia belum mandi wajib dengan sengaja atau terlupa sama ada kerana uzur atau tidak seperti kerana junub”

Haid telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada anak-anak wanita Adam. Sebagaimana yang telah diterangkan di dalam hadis secara sahih, wanita muslimah tidak dilarang untuk berbuka pada waktu haid lalu mengqadha hari-hari yang ditinggalkan pada waktu yang lain sebagaimana yang telah dilakukan oleh ister-isteri para kaum salafus soleh. Memakan ubat yang dapat mengatur atu melambatkan haid ketika berpuasa tidak pernah dilarang oleh agama kerana tidak ada dalil yang melarang sekiranya tidak memudaratkan. Oleh itu, cara yang terbaik ialah berjumpa dengan doktor pakar dan mengadakan perbincangan dengan doktor tersebut. Seorang gadis tidak elok memakan ubat-ubatan seperti ini. Para ulama mutaakhirin telah menyatakan bahawa memakan ubat yang dapat mengatur atau melambatkan haid hukumnya boleh.

Bagi wanita yang bersuami, mereka diharamkan berpuasa tatawwu’ ataupun puasa sunat tanpa izin suaminya. Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dari Abu Hurairah r. a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda :

“ tidak halal bagi wanita yang bersuami berpuasa ketika suaminya hadir, melainkan dengan izin suami. Dan janganlah kamu mengizinkan seorang masuk ke rumahnya melainkan dengan izinnya (suami)”

Hadis ini menerangkan bahawa Rasulullah S.A.W melarang isterinya berpuasa sunat ketika suaminya ada kecuali setelah mendapat izin daripada suaminya. Para ulama mengatakan larangan itu menetapkan hokum haram puasa dan membolehkan bagi suami membatalkan puasa isterinya seandainya si isteri berpuasa tanpa izin suami. Larangan ini hanya ditujukan kepada puasa selain puasa pada bulan Ramadhan yang dijelaskan dalam hadis. Puasa pada bulan Ramadhan sesungguhnya tidak memerlukan izin daripada suami. Apabila suami sakit atau suami tidak sanggup melakukan hubungan kelamin dengan isterinya kerana lemah umpamanya maka hukumnya seperti hukum ketika suami tiada atau musafir. Dalam keadaan tersebut isteri boleh berpuasa tanpa izin suami.

Di dalam al-Fiqh Alal Madzaahibil Arba’ah dijelaskan bahawa : “haram hukumnya berpuasa sunat bagi wanita bersuami yang melakukan tanpa izin suami atau tidak tahu mengenai keredaan suaminya kecuali apabila suami tidak memerlukan hubungan kelamin dengannya. Seperti ketika suami berjalan jauh, sedang ihram atau sedang iktikaf”

Kedudukan wanita hamil dan sedang menyusukan ketika puasa adalah dibolehkan untuk berbuka apabila dia takut janin yang dikandungnya akan mudarat kalau dia berpuasa. Begitu juga wanita yang menyusukan bayi apabila takut bayinya akan sakit. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :

“. . dan untuk orang-orang yang sangat berat baginya mengerjakan puasa itu, hendaklah ia membayar fidyah memberi makan orang-orang miskin. ”( al-Baqarah : 184 )

Orang yang makan dan minum ketika berpuasa kerana terlupa tidak membatalkan puasa. Malah perkara ini merupakan rezeki yang diberikan oleh Allah kepadanya. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :

“ apabila orang yang sedang berpuasa makan dan minum kerana lupa, sesungguhnya itu adalah rezeki yang diberikan kepadanya oleh Allah dan tidak wajib membayar qadha. ”

Terdapat beberapa ciri orang yang tidak wajib berpuasa Ramadhan. Pertama, orang yang dilarang berpuasa di bulan Ramadhan dan wajib menggantikannya di bulan lain ialah wanita yang sedang haid serta wanita yang sedang nifas. Bagi orang yang boleh menunda puasa ke bulan lain ialah orang yang bermusafir dan orang yang sakit tenat. Selain itu, orang yang boleh menggantikan puasanya dengan fidyah satu mud atau setengah liter makanan setiap hari ialah orang yang sudah tua dan lemah serta orang yang sakit tenat atau kronik. Di samping itu, wanita yang sedang hamil atau menyusukan jika dikhuatiri berpuasa boleh memudaratkan diri dan bayinya, dia boleh menggantikan puasanya dan membayar fidyah.

Terdapat banyak keistimewaan-keistimewaan di bulan Ramadhan. Diantara keistimewaan bulan Ramadhan ialah bulan Ramadhan merupakan bulan yang berkat dimana bulan turunnya al-Quran. Selain itu, bulan Ramadhan terdapat malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan. Ketika bulan Ramadhan, amalan-amalan sunat digantikan sama dengan amalan-amalan fardhu di bulan ini dan amalan wajib dinilai dengan tujuh puluh kali ganda. Rezeki orang yang beriman akan dilipatgandakan pada bulan Ramadhan bulan yang mulia ini.

Awal Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan manakala akhirnya ialah pembebasan dari api neraka. Setelah tibanya bulan Ramadhan, syaitan diikat, pintu neraka ditutup dan pintu syurga dibuka. Ia juga meringankan beban orang lain termasuk pembebasan diri dari api neraka. Ketika bulan yang mulia ini, pahala sedekah menjadi berlipat kali ganda. Begitu juga orang yang banyak melakukan kebaikan serta amalan yang dituntut di dalam Islam.

Berpuasa itu mempunyai banyak faedah yang amat besar bagi orang yang mengerjakannya sama ada dari segi rohani dan jasmani. Di antaranya ialah untuk menimbulkan rasa takwa dan syukur kepada Allah di atas nikmat yang dilimpahkanNya sehingga terpelihara dari dosa dan maksiat. Selain itu juga, faedah yang boleh kita perolehi jika berpuasa ialah mendidik perasaan kasih saying terhadap golongan anak-anak yatim serta fakir dan miskin, kerana dengan berpuasa dia dapat merasakan sendiri keadaan lapar yang dialami oleh orang yang tidak berkemampuan.

Disamping itu, jika kita berpuasa kita dapat mendidik sifat sabar dalam menghadapai kesukaran hidup kerana ia telah biasa mengalami kesukaran tidak dapat makan dan minum ketika berpuasa. Sifat amanah dapat dididik melalui berpuasa dan dapat dipercayai oleh orang lain. Puasa itu adalah amanah Allah yang tidak boleh dikhianati walaupun orang yang berpuasa itu seorang diri dan tidak ada orang yang melihat perbuatannya.

Faedah yang dapat kita perolehi dengan berpuasa ialah kita dapat melatih otak dan fikiran supaya kuat dan tajam. Selain itu, kita dapat menjaga kesihatan badan kerana selama tempoh berpuasa alat-alat pencernaan diberi rehat daripada bekerja keras yang mudah menimbulkan pelbagai jenis penyakit. Jelas dinyatakan bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan yang mulia serta penuh dengan keberkatan. Sambutlah bulan Ramadhan dengan rasa gembira dan lakukanlah ibadat dengan ikhlas untuk mengejar dunia dan akhirat.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment