Saturday, April 25, 2009

Apa Itu Islam -

Oleh: Puteri Nabila Hamzah

Apa Itu Islam? Menerangkan Islam Secara Mudah Dan Lengkap

Pengenalan
Islam merupakan agama yang lengkap merangkumi pelbagai aspek kehidupan, dari segi akidah, ibadah dan akhlak. Rasulullah diutuskan oleh Allah untuk mendidik pengikutnya melalui Al-Quran sebagai sumber rujukan utama Islam. Hingga kini, Islam telah diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi ke satu generasi.

Islam merupakan agama yang mempunyai kekuatan sendiri. Ia bersifat unit daripada sudut akidah, ibadat dan juga akhlak di samping symul atau bersifat terbuka kepada seluruh umat manusia. Islam tidak ditujukan kepada masyarakat Arab semata-mata atau mana-mana kaum secara terperinci. Sebaliknya, Islam adalah agama sejagat tanpa mengira kaum dan warna kulit sepanjang zaman.

Allah berkata yang bermaksud:“Dan tiadalah kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). ”Surah Saba’: ayat 28

Islam adalah agama yang berpaksikan tiga landasan utama iaitu akidah, ibadat dan akhlak.

Akidah Islam
Akidah bermaksuh satu ikatan atau simpulan yang diikat dengan kuat dan rapi. Secara istilahnya, akidah membawa maksud percaya dan beriman dengan bersungguh-sungguh supaya ia tersemat mantap di jiwa. Melalui iman yang mantap, ia tidak mudah goyah walaupun apa jua cabaran yang mendatang.

Setiap nabi dan rasul menyeru kaumnya sebagaimana dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran:“Dan sesungguhnya kami mengutus dikalangan tiap-tiap umat seorang rasul (dengan memerintahkannya) menyeru mereka: Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah perkara-perkara yang melampaui batas. ”Surah al-Nahl: ayat 36

Berdasarkan maksud ayat di atas, jelas menunjukkan setiap nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah membawa ajaran akidah yang sama. Tiada perbezaan antara nabi-nabi dan rasul-rasul daripada sudut akidah atau kepercayaan.

Disamping itu, Allah menciptakan sekalian makhluk supaya mereka menyembahnya dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu yang lain. Ini diterangkan dalam al-Quran yang bermaksud:“Dan (ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepadaku. ”Surah al-Zariyat: ayat 56

Asas-asas akidah Islam merangkumi enam rukun iman seperti berikut:
1. Beriman kepada Allah
2. Beriman kepada malaikat
3. Beriman kepada kitab
4. Beriman kepada rasul
5. Beriman kepada hari kiamat
6. Beriman kepada qada dan qadar

Semua enam rukun iman ini terungkap dalam dua kalimah syahadah yang menjadi ajaran paling utama dalam Islam. Seluruh ruang lingkup Islam yang merangkumi aspek ibadah, muamalat dan akhlak adalah berpaksikan di atas dasar syahadah ini.

Dua kalimah syahadah ialah satu pengakuan bagi seorang Muslim bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Ia juga merupakan rukun pertama daripada rukun Islam yang wajib diimani oleh setiap muslim.

Dengan mengikrarkan dua kalimah syahadah, ia bermaksud seorang Muslim itu berjanji dengan sepenuh hatinya dalam pengabdian dirinya kepada Allah. Seluruh kehidupan bergantung kepadanya dan tidak kepada makhluknya yang serba daif seperti dukun, bomoh dan ahli sihir.

Makrifah Allah merupakan tonggak utama yang mendasari rukun iman kepada Allah. Ia juga merupakan satu persediaan seorang muslim bagi meraih mahabbah Allah iaitu cinta yang penuh kudus kepada Allah.

Dalam konteks akidah Islam, makrifah Allah tertegak atas tiga paksi utama. Ia merupakan syarat penting kepada makna beriman kepada Allah.

Tauhid al-Asma’wa al-Sifat
Tauhid al-Rububiyyah
Tauhid al-Uluhiyyah

Allah menurunkan beberapa buah kitab kepada para rasul bagi panduan mereka memimpin manusia ke jalan benar dan selamat. Allah berkata dan bermaksud:“Pada mulanya manusia itu adalah umat yang satu, maka Allah mengutuskan nabi-nabi sebagai pembawa berita gembira dan berita menakutkan dan menurunkan bersama mereka kitab-kitab yang benar bagi menjalankan hokum di kalangan manusia mengenai apa yang mereka selisihkan. Surah Al-Baqarah: ayat 213

Beriman kepada hari kiamat bermakna mempercayai bahawa dunia ini akan berakhir. Seluruh alam akan hancur dan segala makhluk yang bernyawa semuanya akan mati. Selepas itu, Allah yang Maha Kuasa menggantikan pula dengan alam baru dan menghidupkan semula manusia untuk dihisabkan segala amalan yang dilakukan sewaktu hidup di dunia. Kemudian mereka di tempatkan di syurga atau neraka.

Beriman kepada para nabi dan rasul adalah perkara asas dalam mempercayai rukun iman. Para nabi dan rasul merupakan makhluk pilihan Allah bagi menggalas tugas dan tanggungjawab yang besar iaitu sebagai penyampai wahyu Tuhan kepada umat manusia. Para nabi dan rasul juga berperanan untuk membimbing manusia ke jalan yang benar.

Malaikat ialah sejenis makhluk seni yang diciptakan Allah dari cahaya dan dapat menjelma dalam berbagai-bagai bentuk. Mereka tidak berjantina, tidak makan dan tidak minum dan mempunyai pelbagai tugas kepada Allah. Mereka juga tidak pernah melakukan kesalahan dan maksiat kepada Allah. Malaikat adalah makhluk ciptaan Allah yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah yang Maha Esa.

Qadar ialah ketetapan yang ditentukan oleh Allah pada makhluknya sejak azali. Manakala qada’ pula ialah perlaksanaan apa yang ditetapkan oleh Allah kepada makhluknya. Gandingan antara qada dan qadar membawa maksud satu ketetapan yang dilaksanakan oleh Allah sejak azali.

Ibadah Islam

Ibadah adalah antara garis pemisah dan neraca piawaian yang membezakan antara beriman dan kufur kepada Allah. Ibadah bermaksud tunduk dan patuh yang penuh tulus serta taat yang mutlak hanya kepada Allah. Iman dan Islam tidak dapat dipisahkan sama sekali. Oleh itu, seorang yang beriman adalah seorang yang Muslim, begitu juga sebaliknya.

Ibadat sembahyang adalah amalan pertama disoal pada hari akhirat kelak. Ibadat sembahyang diwajibkan secara terus daripada Allah. Malah ibadat ini dikira sebagai neraca piawaian kepada seluruh amalan yang dilakukan oleh setiap individu Muslim.

Ibadat puasa berfungsi bagi menyemai dan menyuburkan rasa takwa dan patuh kepada Allah di dalam hati sanubari setiap Muslim. Seorang muslim yang berpuasa dengan sebaik mungkin, memelihara rukun-rukunnya dan menjauhi perkara yang mencacatkan kesempurnaan puasanya mendapat keampunan daripada Allah seperti yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad:“Siapa yang berpuasa dengan penuh iman dan takwa, maka dia diampunkan baginya segala dosa yang lalu. ”(hadis yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)Makna zakat ialah tumbuh atau bertambah. Zakat turut diertikan dengan bersih atau suci. Ini berdasarkan ayat al-Quran yang bermaksud:“Sungguh beruntung orang yang membersihkan dirinya. ” Surah al-A’la: ayat 14

Zakat adalah kewajipan yang mesti dibayar apabila sampai nisabnya sama ada harta, mahupun badan (zakat fitrah) yang dibayar pada waktu tertentu kepada kelompok tertentu. Zakat mencerminkan sistem sosial dan ekonomi Islam serta sikap mengambil berat terhadap nasib sesama Muslim.

Ibadah haji yang dilaksanakan oleh setiap muslim yang berkemampuan ini sebenarnya mempunyai banyak maksud suci. Terutamanya dalam mengeratkan hubungan antara Allah dan makhluknya. Maksud kedua yang terselit dalam ibadat haji adalah pembinaan kesatuan dan perpaduan ummah yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Maksud yang ketiga yang cuba ditonjolkan melalui ibadah haji adalah untuk memupuk semangat jihad dan daya juang mengharungi arus kehidupan yang mencabar.

Akhlak Islam

Islam menjulang akhlak yang terpuji. Ini antara matlamat utama di sebalik agenda Nabi Muhammad sebagai utusan Allah kepada umat manusia sepenuhnya. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah yang bermaksud:“Aku diutuskan bagi menyempurnakan kemuliaan akhlak (yang terpuji). ”(Hadis yang direkodkan oleh Ahmad)

Peribadi individu terbahagi kepada tiga. Pertama, Muslim yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri. Mereka tidak mempunyai pegangan yang kuat kepada agama Islam. Walaupun mereka mengaku diri mereka sebagai Muslim yang beriman kepada Allah tetapi mereka sanggup membelakangi ajaran agama.

Golongan yang kedua pula adalah Muslim yang bersifat sederhana iaitu Muslim yang ada dalam dirinya ciri dualisme dalam membawa hidupnya. Muslim ini adalah seorang yang mempunyai pegangan kuat dengan ajaran Islam pada satu masa, tapi pada masa lain dia sanggup menyimpang daripada landasan agama dengan melakukan larangan Allah.

Golongan yang ketiga ialah Muslim yang bersegera melakukan kebaikan kepada Allah. Muslim ini mencapai kedudukan istimewa di sisi Allah hingga layak mendapat gelaran yang diberikan sendiri oleh Allah.

Takwa merupakan lambang seorang muslim sejati yang benar-benar beriman kepada Allah. Sifat takwa adalah sifat yang mendasari individu Muslim yang tunduk dan patuh kepada Allah. Ia juga merupakan symbol Islam yang terpahat di hati sanubari individu Muslim.

Setiap muslim dituntut untuk bersyukur kepada Allah setelah menerima nikmat. Syukur itu perlu dinyatakan dan diterjemahkan dalam realiti hidup kita sama ada dengan perkataan dan juga dengan ibadat.

Selain itu juga, setiap manusia sentiasa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran hidup. Allah sentiasa menegaskan di dalam al-Quran, manusia tidak terlepas daripada ujian dan dugaan itu seperti yang disebut dalam surah Muhammad, ayat 31 yang bermaksud:“Dan kami menguji kamu supaya kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu dan supaya kami mengetahui (baik buruk) hal ehwalnya. ”

Sabar adalah keteguhan hati dalam menghadapi apa-apa jua kesulitan dan bahaya menimpa. Di dalam Al-Quran, Allah mengklasifikasikan sifat sabar itu kepada beberapa tingkatan yang berlainan.

Penutup

Inilah asas-asas ajaran Islam yang wajib dihayati dan difahami serta dipratikkan oleh umat Islam. Sesungguhnya berpegang kepada ajaran Islam dapat menyelamatkan diri daripada maksiat dan kesesatan. Ajaran Islam yang diamalkan sejak berkurun lamanya ini mampu melahirkan individu yang bertaqwa, berakhlak mulia serta cemerlang dalam semua aspek lapangan hidup.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment