Saturday, April 25, 2009

Kerajaan Islam -

KERAJAAN KHULAFA AL - RASYIDIN
Nabi Muhammad s.a.w telah berhijrah ke Madinah pada tahun 622M. Baginda telah berjaya membentuk sebuah pemerintahan Islam. Baginda berjaya menyatupadukan golongan Islam dan bukan Islam. Perlembagaan Madinah yang digubal pada tahun 622M lebih menyerlahkan peranan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin kerajaan Islam sehingga Madinah menjadi pusat pemerintahan dan bukan pusat perdagangan semata-mata.
Selepas kewafatan Nabi Muhammad pada tahun 632M, sistem pemerintahan kerajaan Islam yang diasaskan oleh baginda telah diteruskan melalui sistem pentadbiran yang diketuai oleh khalifah. Zaman pemerintahan khalifah dikenali sebagai zaman Khulafa al-Rasyidin. Tokoh-tokoh yang memegang jawatan ini ialah Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Uma bin al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Ali bin Abu Talib.

KHALIFAH ABU BAKAR AS-SIDDIQ
Saidina Abu Bakar as-Siddiq dilahirkan pada tahun 573 Masihi iaitu dua tahun selepas kelahiran Rasullullah. Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Abi Khuhafah. Beliau berasal daripada keturunan Bani Tamim. Beliau diberi gelaran as-Siddiq kerana beliau sentiasa meyakini kebenaran segala kata-kata dan perbuatan Rasulullah. Selain itu, beliau juga bersifat ikhlas, jujur dan setia kepada baginda. Beliau telah menjadi khalifah pertama dan memerintah selama dua tahun dari 11-13 Hijrah (632-634 Masihi) sebelum wafat pada tahun 13 Hijrah (634 Masihi).
Setelah kewafatan Rasulullah, berlaku perselisihan faham antara kaum Ansar dan Muhajirin. Orang Ansar bercadang untuk melantik Saad bin Ubadah untuk menggantikan tempat Nabi Muhammad, apabila perkara ini diketahui golongan Muhajirin; satu pertemuan telah dilakukan untuk membincangkan perkara ini. Setelah berbincang, Abu Bakar telah mencadangkan Saidina Umar dan Ubaidah tetapi cadangan ini telah ditolak sama sekali oleh Saidina Umar. Kemudiannya Saidina Umar telah mencadangkan kembali Saidina Abu Bakar sebagai Khalifah pertama kerajaan Islam Madinah dan cadangan ini telah dipersetujui oleh semua pihak.

SUMBANGAN KHALIFAH ABU BAKAR AS-SIDDIQ
Sepanjang pemerintahannya selama dua tahun sebagai pentadbir kerajaan Islam Madinah, beliau telah berjaya mengatasi perpecahan masyarakat Islam Madinah yang berpunca daripada pelbagai permasalahan yang terbentuk daripada golongan-golongan murtad sebagai contoh. Dalam pemerintahannya, beliau telah berjaya memerangi golongan murtad, nabi palsu dan golongan yang enggan membayar zakat. Hal ini kerana beliau telah berijtihad bahawa orang yang mengingkari kewajipan membayar zakat adalah dikira sebagai menafikan rukun Islam.
Selain itu, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq turut menggerakkan semula tentera Usamah bin Zaid untuk memerangi penduduk Ghasan yang telah membunuh utusan Rasullullah kerana berpendapat beliau tidak patut merubah bendera yang telah diikat baginda. Malah, ketika beliau sedang sakit, kebijaksanaannya telah membantu golongan selepasnya untuk melantik khalifah seterusnya kerana beliau telah menamakan penggantinya iaitu Saidina Umar sebelum beliau wafat.
Seterusnya, sumbangan beliau kepada tamadun Islam pada zaman tersebut turut diteruskan apabila beliau telah berjaya membebaskan negeri-negeri di bawah naungan Rom dan Parsi. Tentera Islam yang diketuai panglima Khalid bin al-Walid turut berjaya mempertahankan Madinah daripada ancaman kuasa luar seperti Parsi di sebelah Timur dan serangan kerajaan Byzantine (Rom Timur) di sebelah Barat.
Di samping itu, beliau turut berusaha untuk melicinkan lagi pentadbiran kerajaan Islam dengan membahagikan lagi Tanah Arab kepada sepuluh wilayah iaitu Makkah, Taif, Yaman, al-Jund, Khalwan, Bahrin, Jarsh, Zabid, Hadhramaut dan Nijran. Dalam dasar pemerintahannya, beliau turut melantik seorang amir atau ketua untuk mentadbir wilayah-wilayah tersebut.
Saidina Abu Bakar as-Siddiq turut memperkenalkan bayaran gaji untuk tentera melalui Ghanimah atau harta rampasan perang. Malah undang-undang tanah seperti bayaran cukai al-Kharaj atau cukai tanah dan Jizyah atau cukai perlindungan bagi orang kafir dan melindungi golongan mawali iaitu orang bukan Arab yang memeluk Islam.
Akhir sekali, sumbangan terbesar Saidina Abu Bakar as-Siddiq ialah beliau telah mengumpul semula semua naskah al-Quran dan mengkitab mukjizat Rasullullah itu menjadi panduan umat Islam sehingga kini. Hal ini kerana beliau telah mula runsing dengan kemunculan golongan murtad dan nabi palsu, maka beliau telah mengarahkan Zaid bin Thabit supaya mengumpulkan semua tulisan ayat al-Quran serta menyalinnya semula. Salinan tersebut telah disimpan olehnya dan telah diamanahkan kepada Saidina Umar bin al-Khattab, Hafsah (isteri kepada Nabi Muhammad) dan Saidina Uthman bin Affan. Sebagai pengiktirafan kepada jasanya itu, beliau telah digelar sebagai Penyelamat Umat Islam.

KHALIFAH UMAR BIN AL-KHATTAB
Saidina Umar bin al-Khattab telah dilahirkan pada 13 tahun selepas kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad iaitu pada tahun 583 Masihi. Nama sebenar beliau ialah Umar bin al-Khattab bin Naufal. Beliau berketurunan Bani A’di daripada golongan Arab Quraisy. Beliau telah diberi gelaran al-Farouk yang membawa maksud pemisah antara hak dan batil; dan beliau sangat terkenal dengan sikapnya yang tegas, berani dan berterus-terang. Tarikh perlantikannya sebagai Khalifah kedua kerajaan Islam ialah pada hari Selasa, 22 Jamadilawal tahun ke 13 Hijrah bersamaan 634 Masihi. Beliau telah memerintah selama 10 tahun 6 bulan hingga tahun 644 Masihi sebelum wafat di usia 63 tahun di bulan Zulhijjah bersamaan tahun 23 Hijrah.
Berkenaan cara perlantikan beliau pula, Saidina Abu Bakar as-Siddiq telah menamakan beliau sebagai penggantinya ketika sedang sakit sebelum Saidina Abu Bakar wafat. Malah, Saidina Abu Bakar turut meminta pendapat dan pandangan orang ramai mengenai keputusannya untuk melantik Saidina Umar sebagai penggantinya. Wasiat Saidina Abu Bakar untuk melantik beliau sebagai waris Khalifah empayar Islam Madinah telah ditulis oleh Saidina Uthman bin Affan.

SUMBANGAN KHALIFAH UMAR BIN AL-KHATTAB
Zaman pemerintahan Saidina Umar bin al-Khattab turut dianggap pengkaji sejarah Islam sebagai zaman keemasan tamadun Islam terutamanya kerajaan Islam Madinah kerana polisi pentadbiran dan pemwujudan beberapa pembaharuan dalam pentadbiran yang telah membawa banyak perubahan yang berjaya kepada kerajaan yang unggul pada ketika itu telah disusun rapi oleh pentadbiran Saidina Umar bin al-Khattab.
Antara sumbangan terpenting Saidina Umar al-Khattab kepada ketamadunan Islam ialah menyusun semula majlis Syura yang dianggotai oleh wakil daripada golongan muhajirin dan ansar. Malah, beliau turut mengisytiharkan penggunaan kalendar mengikut tahun Hijrah. Selain itu, beliau turut menyusun semula undang-undang tanah negara dan menyusun semula pentadbiran tanah yang di bawah penguasaan kerajaan Islam di mana tanah-tanah tersebut dinamakan sebagai harta negara. Saidina Umar juga telah membahagikan jajahan takluk Islam kepada beberapa wilayah dan melantik wali atau gabenor sebagai ketua untuk bertindak sebagai pentadbir awam dan panglima tentera. Malah, wilayah yang telah dibahagikan turut dipecahkan lagi kepada beberapa kawasan seperti Makkah, Madinah, Palestin, Kufah, Jazirah dan Basra untuk melancarkan lagi sistem pentadbiran.
Di samping itu, Saidina Umar al-Khattab juga telah menubuhkan beberapa jabatan penting seperti Jabatan Tentera, Jabatan Polis, Jabatan Percukaian dan Jabatan Perbendaharaan Negara. Seorang khatib atau setiausaha diletakkan di setiap jabatan tersebut untuk mengetuai pentadbiran jabatan tersebut. Selain itu, beliau telah memisahkan Jabatan Kehakiman daripada jabatan lain. Seorang hakim pula telah dibayar gaji bulanan yang tinggi, sekitar 500 dirham untuk mengelakkan salah laku dalam menjalankan tugas.
Dalam bidang sosial, terutamanya pendidikan; Saidina Umar al-Khattab telah mengembangkan pengajaran al-Quran dengan penyediaan madrasah di kawasan masjid dan beliau turut menghantar guru-guru agama ke seluruh wilayahnya untuk mengembangkan sistem pendidikan. Sebagai contoh, Abu Sufyan pernah diutuskan ke kawasan pedalaman untuk mengajar orang Badwi di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Saidina Umar al-Khattab juga telah mempertingkatkan lagi ketamadunan Islam pada masa itu dengan menyusun semula tentera Islam dengan mewujudkan pasukan tentera sukarela dan pasukan tentera tetap. Mereka juga diberikan gaji yang tetap dan pakaian seragam. Markas tentera dan kubu-kubu pertahanan turut dibina di bandar-bandar utama dan sempadan yang menghadap negara musuh seperti di Madinah, Kufah, Fustat dan Basrah. Pada zaman pemerintahannya juga, harta ghanimah tidak lagi diberi kepada tentera Islam setelah sistem gaji diperkenalkan.
Dalam bidang ekonomi pula, beliau juga telah membina terusan dan tali air untuk menambahkan lagi hasil pertanian seperti Empangan Abu Musa di Basrah dan Terusan Amirul Mukminin sepanjang 111 kilometer di Mesir. Rakyat juga telah digalakkan untuk meneroka tanah baru untuk pertanian di samping mengusahakan tanah terbiar. Saidina Umar al-Khattab turut memperkenalkan pelbagai jenis cukai untuk mempertingkatkan lagi pendapatan negara. Contonhya jizyah yang dikenakan kepada golongan zimmi (golongan bukan Islam yang hidup dalam pemerintahan kerajaan Islam) adalah tidak memberatkan mereka. Begitu juga dengan kharaj yang dikenakan ke atas hasil tanaman. Melalui sistem cukai ini, beliau telah berjaya menubuhkan Baitulmal. Saidina Umar bin al-Khattab juga telah diberi gelaran sebagai amirul mukminin atas kepimpinannya.

KHALIFAH UTHMAN BIN AFFAN
Khalifah ketiga dalam kerajaan Islam Madinah ialah Saidina Uthman bin Affan atau nama sebenarnya ialah Uthman bin Affan bin al-Aus bin Umaiyah. Beliau berasal daripada keturunan Bani Umaiyah. Beliau telah dilahirkan pada 576 Masihi iaitu enam tahun selepas tahun Gajah. Beliau telah dilantik pada tahu ke 23 Hijrah bersamaan 644 Masihi untuk menggantikan Saidina Umar al-Khattab yang wafat. Telah memerintah selama 12 tahun sehingga 656 Masihi, beliau dikenali sebagai seorang hartawan dan pakar perniagaan yang sangat dermawan, bersifat lemah lembut, bertolak ansur dan mempunyai sikap simpati terhadap golongan yang memerlukan. Beliau juga terkenal dengan gelaran Zu Nurain kerana beliau telah berkahwin dengan 2 orang puteri Nabi Muhammad. Tarikh kewafatannya ialah pada 18 Zulhijjah tahu 35 Hijrah; beliau telah dibunuh oleh pemberontak ketika sedang membaca al-Quran.
Saidina Uthman bin Affan telah dilantik dengan cara wasiat daripada pemimpin terdahulu iaitu Saidina Umar bin al-Khattab. Saidina Umar telah mencalonkan enam orang sahabat untuk menggantikan beliau ketika beliau sedang sakit. Mereka ialah Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidah, Zubair bin al-Awwam, Saad bin Abi Waqas dan Abdul Rahman bin Auf. Talhah, Zubair dan Saad telah menarik diri manakala Abdul Rahman pula memilih untuk menjadi pemegang amanah di mana beliau telah menemui orang ramai untuk mengumpulakn pendapat apabila hanya tinggal Saidina Uthman dan Saidina Ali yang mendapat undian yang tertinggi. Akhirnya, dengan persetujuan orang ramai, Saidina Uthman bin Affan telah dilantik menjadi khalifah ketiga dalam kerajaan Islam Madinah.

SUMBANGAN KHALIFAH UTHMAN BIN AFFAN
Dari segi politik, Saidina Uthman bin Affan terkenal dengan perluasan kuasa empayar Islam sehingga ke Afghanistan, Samarkand, Cyprus dan Tripoli. Dengan kekayaan yang diperolehi daripada kepintarannya dalam perniagaan, beliau juga telah membelanjakan hampir semua hartanya dalam membentuk pasukan tentera Islam yang terhebat pada zaman itu yang digeruni. Beliau juga telah mengukuhkan lagi keselamatan negaranya dengan menubuhkan pasukan tentera laut pertama Islam dalam sejarah khulafah ar-Rasyidin.
Antara sumbangan terbesar khalifah Uthman ialah apabila jajahan takluk Islam semakin meluas, berlaku pula kepelbagaian cara bacaan (qiraat) ayat al-Quran di pelbagai wilayah tersebut. Maka, untuk menyelaraskan bacaan-bacaan tersebut Saidina Uthma bin Affan telah mengumpulkan dan membukukan al-Quran dalam satu naskah yang dikenali sebagai Mashaf Uthmani untuk memudahkan orang ramai untuk membacanya dengan betul.
Selain itu, pembinaan infrastruktur juga telah berkembang pesat pada zaman pemerintahan beliau. Saidin Uthman bin Affan telah membina banyak sekolah, jalan raya, jambatan dan juga rumah rehat untuk kemudahan pengembara. Beliau telah menyambung konsep pemimpin sebelumnya dalam mengenakan cukai untuk menampung pendapatan negara. Daripada pendapatan yang diperoleh, beliau telah membelanjakannya dengan bijak untuk memajukan lagi negara Islam pada ketika itu.
Melalui harta negara yang begitu banyak, beliau telah melonggarkan syarat-syarat Baitulmal supaya dapat membantu rakyatnya yang susah. Melalui pengurusan Baitulmal yang efisyen pada zaman perintahannya, harta Baitulmal dapat digunakan untuk pembangunan negara contohnya membiayai kos infrastruktur dan mempertingkatkan sistem ketenteraan dengan pembelian peralatan senjata dan kapal-kapal untuk pertahanan negara.

KHALIFAH ALI BIN ABI TALIB
Khalifah terakhir dalam tamadun khulafah ar-Rasyidin ialah Saidina Ali bin Abi Talib. Beliau lahir pada 602 Masihi iaitu sepuluh tahun sebelum Nabi Muhammad menjadi rasul. Beliau merupakan sepupu kepada Nabi Muhammad. Nama sebenar beliau ialah Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib. Beliau berasal daripada keturunan Bani Hasyim dan merupakan golongan Arab Quraisy. Beliau telah berkhidmat sebagai khalifah selama hampir lima tahun hingga 661 Masihi sebelum wafat pada 17 Ramadhan tahun 41 Hijrah kerana dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljan di Kufah. Saidina Ali bin Abi Talib juga turut diberi gelaran sebagai Abu Thurab dan Abu Hasan. Beliau juga merupakan kanak-kanak pertama yang memeluk Islam. Beliau didoakan sebagai karamah allahu wajhah yang membawa maksud orang yang dimuliakan wajahnya atau maruahnya oleh Allah karana tidak pernah menyembah berhala. Malah, beliau juga sangat terkenal dengan sifat keberanian dan kepahlawanannya dan berwatak tegas serta berpengetahuan luas dalam perundangan Islam.
Berkaitan dengan cara pemilihannya pula, Saidina Ali dipilih dan rela menjadi khalifah dalam keadaan negara yang huru hara akibat kewafatan Saidina Uthman bin Affan yang tidak mewasiatkan waris penggantinya. Pihak pemberontak pula telah sebulat suara meminta untuk melantik Saidina Ali bin Abi Talib sebagai khalifah. Memandangkan keadaan negara yang kian meruncing, beliau menerima jawatan tersebut dan disokong oleh ramai pihak berlandaskan kemahiran dan pengetahuan beliau yang luas dan kepakarannya tentang selok belok hukum. Perlantikannya juga telah banyak membantu dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan masyarakat dan undang-undang Islam.

SUMBANGAN KHALIFAH ALI BIN ABI TALIB
Sumbangan terbesar saidina Ali bin Abi Talib kepada kerajaan Islam ialah beliau sanggup menerima jawatan pemimpin tertinggi kerajaan Islam pada ketika itu walaupun pada masa itu berlaku kegoyahan di mana bermulanya titik pertukaran politik negara Islam yang bercelaru apabila ramai pihak yang berebut untuk berkuasa dan menjadi ketua.
Saidina Ali bin Abi Talib telah berusaha bersungguh-sungguh sehingga dibunuh hanya kerana untuk mengekalkan keamanan dalam negara Islam yang telah dibina oleh junjungan mulia Nabi Muhammad. Beliau juga bermati-matian dalam usahanya untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara. Misalnya dalam satu peperangan saudara; iaitu Perang Sifin, walaupun tenteranya hampir mencapai kemenangan dalam peperangan terebut tetapi disebabkan ada dalam kalangan pihak musuh yang rela mengangkat al-Quran, maka beliau sanggup menghentikan peperangan tersebut dan memulakan proses perundingan.
Biarpun mengutamakan keharmonian dan kedamaian, Saidina Ali bin Abi Talib juga tidak melupakan soal pertahanan negaranya. Buktinya, beliau telah membina markas tentera di Parsi dan di sempadan Syria.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment