Saturday, April 25, 2009

Kedamaian Jiwa Itu Akan Terbit -

Oleh: Siti Norashikin Mat Takir

PENDAHULUAN

Kedukaan, keresahan dan kebimbangan dalam hidup sudah sebati dalam hidup manusia. Semua orang sudah tahu betapa peritnya diri yang menanggung. Adakalanya terasa jiwa sudah tiada lagi kedamaian, dan tidak hairanlah mengapa kes bunuh diri semakin meningkat.

Namun, Allah tidak menjadikan kita didunia ini untuk meratapi kehidupan dengan perasaan sedih, gelisah, dan bimbang. Dengan pesanan dan nasihat dari Al-Quran dan Sunnah, kita boleh mencapai kedamaian jiwa supaya hari-hari yang dilalui lebih ceria, tenang dan penuh harapan.

Kesulitan-kesulitan dunia yang kita alami tiadak akan menyebabkan jiwa kita tidak tenteram dan hati kita tidak gembira. Hari-hari yang kita lalui juga tidak seceria dulu sehingga kita meletakkan kebahagian material di atas sekali. Sudah menjadi hakikat kehidupan dimana kehendak material tidak pernah ada batas dan penghujungnya.

Kadamaian dalam jiwa akan diniikmati apabila kita pandai mengimbangi cinta dunia dan akhirat. Berhentilah menjadi hamba dunia dan kembalilah menjadi hamba Allah. Orang yang seronok dengan kebendaan tidak akan seronok dengan kerohaniannya. Orang yang hamper dengan Allah adalah orang yang hampir dengan kedamaian dan ketenangan.

Menyintai Allah dan hari akhirat tidak bererti terlepasnya kesempatan untuk kita mengecapi nikmat- nikmat kesenangan dan keindahan dunia. Rasulullah pernah bersabda yang ber maksud :

“Beramallah kamu untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya. Dan beramallah kamu untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari. ”

1. Sedar Allah lebih tahu baik atau buruknya sesuatu itu untuk diri kita

Apabila tidak berjaya memperolehi pekerjaan yang kita idamkan, kita merasa sedih dan putus harapan. Apabila tali pertunangan diputuskan, kita akan merasa kecewa yang teramat sangat. Begitu juga apabila gagal melanjutkan pengajian tinggi, kita akan merasa dukacita.

Inilah akibatnya jika mempunyai jiwa yang rapuh. Jiwa begitu mudah berada dalam keadaan kecewa, sedih dan dukacita apabila sesuatu atau seseorang yang kita inginkan tidak berjaya dimiliki.

Hikmah :

Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Setiap kejadian yang berlaku dimuka bumi ini sudah diatur dan dirancang dengan kehendakNYA. Ia juga merupakan qadak dan qadar Allah dan setiap ketetapanNYA adalah yang terbaik untuk kita.

Ringkasnya, Allah tidak akan mengabulkan hajat kita jika bagiNYA hajat tersebut akan membawa keburukan kepada kita, walaupun mengikut pendapat kita hajat itu akan membawa kebaikan. Sesungguhnya Allah itu Maha penyanyang lagi Maha Mengasihini. , dan oleh kerana 2 sifat itulah Allah akan memastikan setiap peristiwa dan kejadian yang dilalui oleh kita itu akaqn membawa kebaikan atau rahmat.

• Allah mungkin ingin menganugerahkan sesuatu atau seseorang yang lebih baik untuk kita sebagai ganti yang asalnya. Misalnya, Allah telah menetapkan calon tunang kita yang jauh lebih baik dari sebelum itu. Mungkin itu penyebab pertunangan kita yang pertama gagal.

• Allah juga ingin mengelakkan bala bencana yang kebih besar menimpa kita akibat daripada terlaksananya hajat asal kita. Misalnya, Allah menggagalkan tali pertunangan tadi kerana Dia tahu ia akan berlarytan hingga ke alam perkahwinan dan kita mungkin akan menjadi pasangan isteri atau suami yang tidak bahagia dan aman.

• Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang paling sesuai dan cocok untuk kita dalam menentukan keputusan. Apabila kita telah sedar akan maksud perancangan dan ketetapan yang berakhir dengan kebaikan itu, InsyaAllah, jiwa tidak akan bergolak lagi. Maka tidak perlulah berasa kecewa, dukacita, dan sedih apabila sesuatu yang kita rasa baik tidak kesampaian.

2. Bala bencana itu adalah tanda Allah rindu pada umatnya

“Apabila allah telah menyintai hambanya, maka Dia akan turunkan bala keatas hambaNYA. Apabila hamba itu berdoa, maka para malaikat pun berkata :wahai Tuhanku, sampaikan hajat hambaMu itu.
Allah menjawab : usah campuri urusan hambaku itu. Sesungguhnya aku cinta dan sayang mendengar suaranya berdoa dan bermunajat ”

Hidup dalam kemewahan dunia ini sering menghanyutkan kita dengan seribu macam perkara. Maka, hati dan fikiran pula asyik tertumpu dengan hal-hal dunia sehinggakan masa untuk berhubung mesra dengan Allah pun terlalu singkat.

Sepertimana sayag dan kasihnya kita kepada seseorang hingga terbit rasa rindu untuk berhubung mesra dengannya, maka begitulah juga dengan Tuhan kita. Namun cara yang digunakan sahaja berbeza, Allah mempunyai caraNya yang tersendiri. Tetapi saying sekali kerana sangat sedikit daripada kita yang sedar dan faham cara Allah menyeru dan memanggil kita untuk mendekati dan mendampinginya.

Hikmah:

• Apabila kita lupa kepadaNya, maka Allah akan menurunkan bala tersebut dan apabila kita kembali mengingatinya, Allah akan mengangkat atau menukar bala itu menjadi satu rahmat untuk kita.

• Itulah maksud sebenar bala yang menimpa kita, dimana Allah sentiasa menunggu waktu dan ketika hambanya meluangkan masa untuk bersamanya. Setiap kali kita mengharungi kesusahan dan kepayahan hidup, itu bermakna Allah mahu kita berusaha merapatinya melalui sembahyang, doa dan munajat.

• Dengan memahami maksud dan perancangan Allah itu, maka kita tidak harus lagi meletakkan jiwa kita kekecewaan, kebimbangan jika malapetaka kehidupan menimpa kita. Sebaliknya, terima dan sambutlah segala kesusahan itu dengan hati yang terbuka dan jiwa yang damai. Ingatlah bahawa segala kesusahan itu menandakan kerinduan Allah untuk mendengar suara kita berdoa dan berhubung denganNya.

3. Sedar akan pesan Allah supaya tidak berputus asa dari RahmatNya

“…dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiadalah yang berputus asa melainkan kaum kafir…. ”( SurahYusuf : 87 )

Disebabkan tidak berjaya mencapai hajat dan impian, kita mudah membiarkan jiwa kita kecewa dan sedih. Akibat kesusahan demi kesusahan yang terpaksa dilalui, kita lejas hilang semangat dan patah hati untuk terus berikhtiar. Pendek kata, kita mudah berputus asa menunggu kejayaan dan kebahagiaan yang kita cari-cari.

Ikhtiar dan usaha kita, sama ada untuk mencari rezeki dan wang atau untuk menyelesaikan masalah, mestilah sentiasa berterusan. Teguhkan pendirian dalam perjuangan hidup dan janganlah hilang semangat disebabkan rintangan demi rintangan yang terpaksa ditempuhi.

Niali sebuah kejayaan itu tinggi dan memerlukan pengorbanan kita diperingkat awal. Begitu juga dengan nilai rahmat Allah yang memerlukan kesabaran menunggu sehingga rahmat itu sampai. Kegagalan pada peringkat awal tidak bermakna sudah tiada peluang untuk mencuba lagi.

Hikmah :

• Kejayaan dan rahmat Allah pasti datang apabila tiba saat dan ketika yang paling sesuai untuk kita menyambutnya. Apabila Allah berpesan supaya tidak berputus asa menunggu rahmatnya, ini bermakna rahmat itu pasti akan tiba jua. Impian dan harapan yang baik pasti akan dikabulkan jika kita tidak berputus asa dan menukar arah tujuan hidup kita. Cuma adakalanya impian dan harapan asal kita mungkin digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

• Apabila kita telah sedar bahawa kejayaan dan nikmat hidup yang kita cari-cari itu akan sampai jua apabila tiba masa yang sesuai, maka kita tidak perlu lagi mengeruhkan jiwa dengan rasa kecewa, sedih dan putus asa. Malahan, jiwa kita akan merasa damai kerana yakin dengan pesanan Allah itu.

• Dan ingatlah bahawa gagal sekali tidak bermakna gagal untuk selama-lamanya. Selagi ada kemahuan dan usaha yang tinggi insyaAllah kita akan mengecapi kejayaan tersebut, tetapi kesabaran yang tinggi juga diperlukan. Perbanyakkanlah berdoa dan bertawakal kepada Allah disamping usaha yang gigih itu.

4. Memahami putaran hidup yang telah ditentukan

“Jika kamu mendapat luka (dalam perang uhud), sesungguhnya kaum musyrik itu pula mendapat luka yang serupa (dalam perang badar). Dan demikian itulah keadaan hari-harididunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan dan kekalahan. Kami talah gilirkan antara sesame manusia…. ”( Surah Al- Imran : 140)

Jiwa dan fikiran tidak seharusnya kusut dan duka memandang masa depan dan keadaan hiduo kita. Ini kerana keadaan hidup manusia telah diatur dan ditentukan mengikut giliran masing-masing. Mungkin kita hidup dalam keadaan susah pada hari ini, dan itu mungkin satu ujian kepada kita untuk mengecapi kehidupan yang lebih sempurna dan selesa pada masa depan nanti.

Ini bermakna setiap hari yang kita lalui tidak akan terlepas dari proses putara hidup. Orang yang miskin akan bertukar menjadi kaya. Orang yang lemah brtukar menjadi kuat. Orang yang duka akan bertukar bahagia.

Hikhmah :

• Allah yang maha adil tidak akan mensia-siakan doa, harapan dan usaha kita. Dia pasti akan kabulkan setiap permintaan yang baik apabila tiba masa yang sesuai. Itulah janji dan pesanan Allah kepada kita.

• Kalaupun kita susah, lemah atau tidak sebahagia orang lain, namun masa depan yang cerah tetap ada asakkan kita terus berusaha dan berdoa kepada Allah. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat umatnya.

• Berkat usaha dan doa hambaNya pasti termakbul setimpal dengan ikhtiar yang kita lakukan. Untuk mendapat hasil yang lebih kita hendaklah berusaha dengan lebih gigih.


5. Dapat merasai pertolongan dan Rahmat Allah itu hampir

“…. bilakah datangnya pertolongan Allah? Ketahuilah sesunggunhnya pertolongan Allah itu dekat asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah”( Surah Al-Baqarah : 214)

Jiwa tidak akan damai jika dilanda masalah peribadindan rumahtangga. Jiwa juga akan tertekan debgab masalah kewangan, kerjaya, dan pelajaran. Begitu jua jika kita ditimpa kesakitan, kemalangan atau kehilangan sesuatu atau seseorang yang kita sayangi.

Kita harus lalui segala ujian ini dengan ceria dan bersemangat agar jiwa kita stabil, tenteram dan lebih terkawal. Kita dilarang meratapi setiap ujian yang minimpa kita. Jika kita tidak boleh menerima ujian tersebut, ini bermakna kita tidak menerima qadak dan qadar Allah.

Hikmah :

• Pertolongan Allah ityu sentiasa hampir dengan kita. Namun ia tidak akan sampai jika kita pandai bersabar dalam menunggu pertolongan tersebut dan tidak pandai menunjukkan ketaatan kepada Allah dengan berpegang teguh kepada suruhan dan larangannya.

• Apabila kita bersabar, taat kepada Allah dan berusaha, kita tidak perlu lagi runsing dan resah memikirkan masalah yang melanda. Jika kita yakin dengan pertolongan Allah, mungkin ia semakin menghampiri kita.

6. Sedar tiada yang betul- betul sempurna dan lengkap didunia ini

Setiap orang mempunyai pelbagai impian, harapan dan cita-cita, baik besar mahupun kecil. Kita idamkan jawatan yang tinggi serta memiliki wang dan harta yang cukup. Kita mahu isteri dan suami yang penyayang dan berketurunan baik. Kita juga inginkan hidup yang sihat dan cergas serta mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang.

Namun, didalam situasi ini tidak semua impian dan harapan kita tercapai. Kita dapati Allah memperkenankan sebahagian sahaja impian kita. Kita dapat melihat dengan jelas tentang kekurangan dan kelebihan yang ada pada setiap manusia.

Ada orang yang dilebihkan Allah dengan kekayaan dan harta, tetapi pada masa yang sama terdapat jua kekirangan iaitu dengan masalah kesihatan dan keturunan yang tidak baik. Ada orang yang ditinggikan Allah dengan paras rupa yang baik tetapi direndahkan Allah dengan peribadi dan pendidikan yang tidak seberapa.

Hikmah :

• Kita tidak terkecuali dari dikurniakan kelebihan dan kekurangan diri. Ingatlah bahawa tiada seorang pun yang sempurna diatas muka bumi ini. Jika demikian rupa janganlah berasa dukacita kerana tidak menjadi orang yang sempurna dan memperolehi segala-galanya seperti yang diimpikan.

• Kita mampu melihat kelemahan seseorang, tetapi kita tidak tahu kehebatan dan kelebihan yang terselindung disebalik kelemahan itu. Dan mungkin dia lebih hebat dari apa yang kita sangkakan. Maka, janganlah menilai seseorang dari sudut luaran sahaja.

• Apa yang penting ialah bersyukur dengan apa yang kita miliki dan jangan bandingkan diri dengan kehidupan orang lain. Sememangnya ada kelebihan- kelebihan yang Allah kurniakan untuk kita kecapi dan bersyukur kepadanya.

7. Sabar menunggu rahmat dan pertolongan Allah

“ Akan dikabulkan doa seseorang kamu selama dia tidak terburu-buru, sehingga dia mengatakan : Aku sudah berdoa tetapi tidak dikabulkan bagiku. . ” ( Hadis riwayat Bukhari Muslim)

Apabila kita sudah berupaya untuk tabah dan bersabar, kita tidak perlu lagi kecewa jika hajat kita belim membuahkan hasil. Usaha dan pengharapan kita itu akan dikabulkan apabila sampai tempoh dan masa.

Maksud dan rancangan Allah untuk kita amat murni. Rahmat, bantuan dan nikmat Allah untuk kita sentiasa dipadankan dengan tahap keupayaan kita untuk menerimanya.

Contohnya kita mungkin dilambatkan untuk memperolehi jawatan yang tinggi pada tahap keupayaan dan usia kita sekarang kerana mengikut ilmu Allah kita akan menjadi seorang yang lalai dan lupa diri. Kita mungkin juga dilambatkan untuk mendapat jodoh kerana semua pasangan yang kita pilih sehingga kini tidak sesuai dengan kita atau mungkin apabila kita memilikinya kita akan meluangkan masa lebih kepadanya daripada Allah.

Hikmah :

• Allah sengaja melambatkan turunnya rahmat dan pertolongan kerana m,ahu menegur dan menginsafkan kita terlebih dahulu. Rahmat dan pertolongan Allah itu sudah sedia ada, Cuma menunggu masa untuk kita menginsafi diri sebelum ia diturunkan.


• Begitulah rancangan dan maksud Allah yang maha mengatur dan mengabulkan doa terhadap cita-cita kita dan memberikan penyelesaian terhadap masalah kita.

• Jiwa kita akan lapang kerana kita sedar bantuan Allah akan sampai jua pada masa yang sesuai jika kita pandai bersabar dan tidak terburu-buru.

PENUTUP

Kedamaian dalam jiwa akan timbul dengan mudah jika kita berpegang tuguh kepada tali Allah.
Pucuk pangkal terserah pada diri kita sendiri, tepuk dada tanya iman. .
Jika kita yakin dengan peraturan qadak dan qadar Allah nescaya kita akan berada dekat dengannya.
Sesungguhnya Allah sentiasa berada dikalangan orang-orang yang sabar.

Nikmat yang kita kecapi itu adalah sementara sahaja, ia adalah ujian semata- mata untuk melihat tahap keimanan seorang hamba Allah. Jika dia benar-benar hamba yang soleh, dia akan bersyukur yang tidak terhingga dan jika dia hamba yang munafik dia akan membelakangkan Allah.

Penuhilah jiwa yang kosong itu dengan asas rohani yang kuat dan nescaya kita akan berasa aman dan tenteram walaupun ditimpa masalah yang berat.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment