Saturday, April 25, 2009

Kejahatan-Kejahatan Lidah -

Oleh: Nurul Nabila Bt Zulkifli

Bab pertama menceritakan tentang kejahatan-kejahatan lidah manusia. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud : Barangsiapa memelihara lidahnya, Allah akan menutup kecelaannya. Dan barangsiapa menahan kemarahan, Allah akan melindunginya dari azab-Nya. Dan barangsiapa yang menyatakan keuzurannya kepada Allah, Allah akan menerima uzurnya

Kejahatan lidah manusia yang pertama ialah berkata yang tidak perlu. Sesungguhnya modal seseorang manusia itu di dunia ini adalah waktunya. Selagi ia menghabiskan dan membuang waktunya pada perkara-perkara yang tidak perlu dan tidak mendatangkan apa-apa faedah atau mendatangkan keuntungan pahala di akhirat, maka orang itu telah mensia-siakan modalnya. Dan di akhirat nanti menjadi orang miskin papa tanpa apa-apa keuntungan.

Kejahatan yang kedua ialah mengambil tahu hal orang lain. Kita tidak dibenarkan berkata-kata tentang hal ehwal orang lain yang tidak ada kena mengena dengan diri kita, atau yang menyakitkan orang lain. Kerana itu janganlah kita berkata-kata dengan perkataan yang tidak ada kaitan dengan kita, kalau pun ada kaitan dengan diri kita maka hendaklah berkata dengan ringkas dan padat sahaja, jangan panjang menjela-jela.

Kejahatan yang ketiga ialah melibatkan diri dalam kemungkaran. Sabda Rasulullah bermaksud : Sebesar-besar dosa seseorang di hari kiamat nanti ialah orang yang melibatkan diri dalam perkara-perkara kebatilan. Melibatkan diri dalam kebatilan atau kemungkaran itu ertinya berbual-bual dalam hal-hal yang bersangkutan dengan maksiat. Seperti menceritakan tentang majlis minum arak, suasana panggung wayang, hal-hal dan keadaan wanita, duduk bersama-sama dengan orang fasik, menceritakan tentang orang yang takabur mengenai rancangan-rancangan mereka yang keji dan watak yang buruk. Kita tidak sepatutnya melibatkan diri dalam ini semua, perkara-perkara maksiat terlalu banyak kerana orang yang hanya berkata-kata atau melakukan apa-apa yang perlu dan penting sahaja mengenai urusan agamanya dan faedah dunianya.

Kejahatan yang keempat ialah berbantah-bantah dan bertengkar. Sifat berbantah-bantah atau berbahas itu ialah menyanggah percakapan orang lain dengan melahirkan kekurangan dan kelemahan dalam percakapan mereka sama ada dalam lafaz atau maknanya atau dalam maksud perbicaraannya. Meninggalkan sifat berbantah-bantah atau berbahas-bahas itu ialah dengan mengawal diri agar tidak menyanggah pendapat orang lain. Setiap percakapan orang lain yang kita dengar sekiranya kata-kata itu benar, maka hendaklah kita terima. Sekiranya salah dan dusta sedangkan ia tidak ada kena mengena dengan hal agama, maka hendaklah berdiam sahaja.

Kejahatan yang kelima ialah pertengkaran. Pertelingkahan adalah sifat-sifat yang terkeji dan dilarang oleh agama. Ia adalah ekoran dari pertengkaran dan berbantah-bantah (berbahas-bahas). Dengan banyak berbantah-bantah dan mengadu (berlawan) pendapat untuk memperolehi keuntungan dunia yang berupa wang, kemenangan,markah ataupun sesuatu hak yang tertentu mendorong seseorang itu berbahas-bahas dan membantah-bantah serta bertelingkah. Ingatlah permusuhan itu berpunca dari segala kejahatan, begitu juga dengan sifat suka berbantah-bantah atau bertengkar-tengkar. Oleh itu janganlah hendaknya dibukakan pintu untuk perkara yang terlarang ini, kecuali dalam keadaan yang amat darurat sekali, itu pun hendaklah dipelihara lidah baik-baik dan hati dari kata yang terlanjur.

Kejahatan yang keenam ialah meniru percakapan yang indah-indah. Ertinya bercakap lancar yang dibuat-buat, memaksa diri berkata-kata dengan bersajak atau meniru cara orang lain, semua ini termasuk diri yang tercela dan terlarang dalam agama menyampaikan kata-kata yang berbunga-bunga yang tak perlu, maka itu termasuk dalam perkara yang tercela.

Kejahatan yang ketujuh ialah bercakap kotor-kotor, maki hamun dan lidah lancang. Rasulullah s.a.w pernah melarang para sahabat daripada memaki kaum musyrikin yang terbunuh dalam peperangan Badar itu, sebab caci maki itu tidak memberi kesan apa-apa kepada mereka, bahkan akan menyakiti orang-orang yang masih hidup (keluarga si mati). Ketahuilah bahawasanya kata yang kotor itu adalah suatu kejahatan. Bercakap kotor seperti mencarut-carut, memaki hamun, mengeji, mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengar dan lain-lain perkataan kotor lagi aib, semuanya itu adalah buruk lagi tercela. Oleh kerana itu hendaklah kita sebagai seorang muslim menjauhinya dari diri kita.

Kejahatan yang kelapan ialah melaknat. Ketahuilah bahawa melaknat itu dalam Islam terlarang lagi tercela. Laknat melaknat ini tidak sepatutnya terjadi atau berlaku pada umat Islam. Kerana perkara ini ditegah dan dilarang oleh Islam. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud : Seorang mukmin yang sejati bukanlah orang yang suka melaknat. Nyatalah bahawa dari hadis di atas dengan tegas Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa orang Islam yang tulin yang dan sejati itu tidak akan melaknat sesiapa pun. Jelaslah bahawa perbuatan melaknat itu adalah tercela. Kesimpulannya perbuatan melaknat adalah perbuatan yang dilarang. Oleh itu wajiblah kita menghindarinya segera.

Kejahatan yang kesembilan ialah menghina atau mengejek-ngejek. Memandang rendah atau sengaja melahirkan kekurangan atau kelemahan orang lain untuk dijadikan bahan ketawa lalu hati orang ditujukan kelemahan itu menjadi terusik dan sakit, maka inilah yang dikatakan perbuatan mengejek. Ejekan dan penghinaan yang sedemikian adalah haram hukumnya. Oleh itu, jika kita bersifat demikian maka tinggalkanlah dan bertaubatlah kepada Allah SWT serta minta maaf dari orang yang kita ejek dan hina itu. Jika tidak, maka kitalah orang yang jahat dan hina sebenarnya. Dan di akhirat nanti kita akan dihukum terjun terjunam ke dalam neraka yang azab dan hina.

Kejahatan yang kesepuluh ialah membuka rahsia. Rahsia ialah sesuatu perkara yang telah diamanahkan kepada kita agar menyimpannya dari disebarkan kepada orang lain. Sebarang rahsia seseorang yang kita ketahui yang perlu kita jaga hendaklah kita amanah menjaganya jangan sampai rahsia itu bocor. Orang yang suka membocor rahsia orang lain terutama sesuatu rahsia keaibannya ia adalah orang yang khianat terhadap sahabatnya. Sesungguhnya sesiapa menutup keaiban seseorang yang lain maka Allah SWT akan menutup keaibannya pula di akhirat nanti.

Kejahatan yang kesebelas ialah mungkir janji. Memungkiri janji yang telah dipersetujui itu adalah satu kesalahan yang dilarang melakukannya. Sabda Rasulullah bermaksud : Tiga perkara ; Siapa yang berada di dalamnya, maka ia adalah munafik, sekalipun ia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya Islam. Iaitu bila berbicara ia berbohong dan apabila berjanji ia memungkirinya dan apabila menerima amanah ia mengkhianatinya. Hadis tersebut jelas memaparkan kepada kita betapa sifat memungkiri janji adalah sifat munafik yang tidak sepatutnya berlaku pada seseorang yang mengaku dirinya Islam. Lidah manusia memang bersifat lembut kerana ia tidak bertulang. Sebab itulah mudah membuat janji-janji sedangkan di dalam hati tetap bersikap tidak mahu menunaikannya. Oleh kerana itu marilah kita tinggalkan perangai dan sifat suka memungkiri janji bila berjanji. Sebab ia sifat yang tercela yang tidak disukai oleh Allah SWT, oleh Rasulullah s.a.w serta tidak disukai oleh fitrah manusia. Jika pernah memungkiri janji, maka bertaubatlah dan mintalah maaf kepada orang yang kita mungkiri itu.

Kejahatan yang kedua belas ialah menyanyi dan bersyair. Menyanyi dan bersyair –syair yang mengandungi ungkapan yang tercela, seperti perkataan-perkataan haram, perkataan mengajak para pendengar melakukan sesuatu yang haram, memuja-muja masa muda seseorang tertentu lalu menaikkan semangat orang lain untuk melakukan perkara buruk itu. Juga seperti menggalakkan pendengar supaya bercampur gaul dengan orang yang rosak akhlaknya atau menggalakkan percampuran bebas lelaki perempuan yang ajnabi (bukan muhrim), atau suka bergurau melampau-lampau batas atau yang menghabiskan masa dalam perkara yang melalaikan. Lebih-lebih lagi menyanyi dan bersyair dengan iringan bunyian alat muzik yang dibunyikan secara gesek. Alat muzik yang diharuskan ialah bunyian yang dibunyikan secara tepuk dengan tangan seperti rebana dan kompang.

Kejahatan yang ketiga belas ialah bergurau senda. Bergurau senda yang kerap sangat dilakukan serta dengan gurauan yang melampaui batas, maka senda gurau inilah yang tercela. Ia boleh menimbulkan kemarahan serta hilang rasa malu dan hilang sifat hormat-menghormati antara satu sama lain. Adalah menjadi satu kesalahan dan keaiban besar jika seseorang itu menjadikan bergurau senda itu sebagai perangai dan tabiat hidup setiap hari. Lebih-lebih lagi bagi orang yang telah tua atau dewasa. Jika kita bergurau boleh hanya dengan kata-kata yang hak dan benar sahaja tanpa menyakiti orang lain, tanpa berlebih-lebihan, tanpa menjadikannya sebagai satu perangai tabiat hidup atau amalan harian atau tidak berbentuk mengada-ngada kebudak-budakkan, maka gurauan itu dibolehkan. Jadikan diri seorang yang berwatak matang, berhemah,berperibadi sebagai seorang dewasa dan terpelajar. Jagalah mulut jangan sampai merepek-repek tidak tentu pasal. Bertaubatlah segera.

Kejahatan yang keempat belas ialah mengumpat orang. Menceritakan kekurangan pada anggota badannya seperti kita kata ia pendek, juling atau lain-lain kekurangan bila diketahuinya ia merasa benci, atau tentang kekurangan pada keturunannya atau kekurangan pada rupa parasnya, atau kekurangan dalam urusan dunianya atau kekurangan-kekurangan dalam urusan keagamaannya, itu semua kalau didengar olehnya ia rasa benci maka itulah yang dikatakan umpatan. Untuk membersihkan diri dari dosa mengumpat agar jangan dihukum di akhirat nanti, maka wajib baginya rasa meyesal dan bertaubat atas dosa-dosanya itu, ini jika ia mampu melakukannya dan tidak dikhuatiri terjadi sesuatu bahaya.

Kejahatan yang kelima belas ialah berbohong dalam percakapan dan sumpah. Bohong ertinya menceritakan atau memperkatakan sesuatu yang tidak benar. Hendaklah kita faham bahawa bercakap bohong adalah diharamkan. Tetapi kadang-kadang bila bohong itu mengandungi maslahat untuk kebaikan maka itu dibolehkan. Begitu juga bohong itu bertujuan untuk mengelakkan dari berlaku penzaliman, kalau bercakap benar boleh membahayakan, seperti seseorang yang telah luka dizalimi lari bersembunyi ke dalam rumah kita dan ia meminta perlindungan dari kezaliman tersebut, lalu datang orang yang menzaliminya itu dan bertanya, “awak Nampak si anu sekian-sekian rupa?” maka kita katakan “tidak ada, dan tak pernah nampak”, maka ini dibolehkan. Atau untuk mendamaikan dua orang yang bergaduh atau untuk mengeratkan perhubungan suami isteri yang barangkali memerlukan berbohong,,maka ini diharuskan.

Kejahatan yang keenam belas ialah mengadu-dumba. Hakikat mengadu-dumba itu ialah membocorkan rahsia orang lain dan mencabul maruahnya. Mendedahkan hal-hal yang tidak patut dihebohkan. Sama ada perkara itu dibenci oleh orang yang diadu-dumbakan atau orang ketiga yang mendengarnya. Sama ada melalui perkataan isyarat, perbuatan atau tulisan. Pengadu-dumba itu adalah golongan yang berusaha memutuskan atau melonggarkan perhubungan silaturrahim antara seseorang dengan seseorang yang lain. Sebab itu jangan percaya segala kata-katanya. Dia termasuk dalam golongan orang-orang yang jahat. Walaupun dia seseorang ahli ibadah atau seseorang pejuang agama, jika ia bersifat suka mengadu-dumba, maka hendaklah tolak kata-katanya, jangan dipercayainya.

Kejahatan yang ketujuh belas ialah bermuka-muka. Orang yang bermuka ini dikata juga orang yang lidah bercabang. Kalau ada dua orang atau dua puak yang berkrisis (bergaduh) maka dia jadi orang tengah untuk menyemarakkan lagi api pergaduhan itu ia pergi ke pihak pertama memuji pihak pertama dan mencaci pihak kedua, kemudian di masa lain dia pergi ke pihak kedua memuji pula pihak kedua dan mencaci pihak pertama. Dan berjanji untuk menolong atau menyokong setiap pihak yang ditemui. Inilah kerja pengadu dumba. Tidak syak lagi inilah tanda orang itu seorang munafik. Orang pengadu dumba ini gembira bila dapat melihat orang lain bermusuh.

Kejahatan yang kelapan belas ialah memuji. Memuji-muji orang itu adakalanya dilarang, kerana dalam pujian itu ada bahayanya, pada pemuji dan yang kena puji. Bahaya kepada pemuji ialah berlebih-lebihan dalam pujiannya hingga akhirnya jadi dusta pula. Selain itu, dengan dia memuji itu timbul riak dalam dirinya seolah-olah ia menunjukkan sayangnya terhadap orang dipujinya itu. Bahaya pada yang kena puji ialah dengan dipuji itu, akan timbul dalam dirinya perasaan bongkak dan ujub iaitu rasa sombong dan merasa diri hebat. Sifat ini adalah sifat tercela. Tambahan lagi, dengan menerima puji-pujian hatinya akan merasa senang tentang kesalahannya. Dan menganggap dirinya sudah sempurna lalu ia tidak menambah usaha lagi untuk berbakti kepada Allah.

Kejahatan yang terakhir ialah pertanyaan yang pelik-pelik. Untuk memperbanyakkan amal soleh tidaklah dilarang pada orang awam, tetapi kadang-kadang yang timbul berbagai-bagai pertanyaan yang bukan-bukan yang belum sampai ke peringkatnya, dia belum mampu sampai darjah kefahaman tersebut, tetapi dia sengaja bertanya sedangkan ilmunya sangat cetek. Jadi kalau nak bertanya, tanyalah perkara yang mampu kita jangkau mengikut mengikut ilmu kita. Pertanyaan yang sesuai dengan kita. Jangan bertanya yang bukan-bukan atau yang pelik-pelik, nanti ditakuti mendatangkan kekeliruan di hati kita, ini lagi bahaya. Sebenarnya sengaja syaitan gambarkan pertanyaan yang pelik-pelik sehingga orang itu berani berkata yang terkeluar dari garis keimanan. Kalau begitu pertanyaan-pertanyaan orang-orang awam mengenai masalah yang pelik-pelik atau rumit-rumit dalam agama, termasuk perkara yang merbahaya, seharusnya dilarang mereka daripada bertanya sedemikian rupa.

Bab kedua ini menceritakan tentang rupa-rupa wajah manusia ketika dibangunkan di Padang Mashyar di akhirat nanti. Meyakini kedatangan hari kiamat adalah wajib. Sesiapa yang menolak adanya hari kiamat, maka orang itu tidak berada lagi dalam golongan orang mukmin. Kalau mati ia dalam keadaan demikian tanpa bertaubat, maka matilah ia dalam kejahatan yang terlalu besar. Di akhirat nanti kekal pula dalam neraka.

Kedatangan hari kiamat itu tidak seorang makhluk pun yang dapat mengetahuinya, kecuali Allah sahaja. Namun begitu Allah Taala lahirkan juga tanda-tanda kedatangan hari kiamat itu untuk pengetahuan manusia. Ada tanda yang kecil dan ada tanda-tanda yang besar. Di antara tanda-tanda kecil itu ialah: masa terlalu cepat berlalu, ramai orang kaya harta dan banyak berlakunya gempa bumi. Dan banyak lagilah tanda-tanda kecil hari kiamat. Setelah semua tanda-tanda kecil itu lahir, maka lahirlah pula tanda-tanda besar atau tanda-tanda hampir kiamat. Maka ketika itu: naik matahari dari sebelah barat, munculnya binatang-binatang yang aneh-aneh, keluar Imam Mahdi, keluarnya dajjal, turunnya Nabi Allah Isa, menyambung syariat Rasulullah s.a.w, keluarnya yakjuj dan makjuj, bumi dipenuhi oleh asap (selama 40 hari), kaabah mula diruntuh dan dirosakkan orang, hilang Al-Quran dari mashaf (buku/kertas) dari hafalan hati dan semua manusia menjadi kafir, sehingga tidak ada seorang manusia pun ketika itu yang menyebut nama Allah.

Maka ketika itulah, Allah perintahkan malaikat Israfil meniup sangkakala yang pertama. Tiupan itu datangnya secara mengejut sahaja, hinggakan seluruh manusia terpinga-pinga dan kelam-kabut tidak menentu. Kerana kuatnya tiupan itu (dengan kehendak Allah) seluruh manusia mati, gunung-ganang hancur lebur, lautan-lautan menyemburkan airnya ke darat, segala cakrawala berguguran ke bumi, maka matilah segala yang bernyawa serta musnahlah dunia ini semusnah-musnahnya, kecuali Allah yang Maha Suci lagi Maha Kaya.

Setelah semuanya telah hancur-lebur bagaikan debu berterbangan, entah berapa lama pula masanya, maka Allah pun memerintahkan malaikat Israfil : “Wahai Israfil, bangunlah dan tiuplah sangka-kala pembangkitan!”. Lalu dengan kehendak Allah hiduplah semula Israfil dan seterusnya meniup tiupan sangka-kala yang kedua, seraya menyeru: “Wahai roh-roh yang keluar, tulang-tulang yang hancur, tubuh-tubuh yang busuk, otot-otot yang putus, kulit-kulit yang koyak, rambut-rambut yang runtuk (gugur)! Bangunlah kamu semua! Untuk memutuskan hukuman (nasib kamu). ” Lalu bangunlah semuanya dengan perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud: Apabila matahari telah digulung (telah hilang cahayanya) dan apabila bintng-bintang telah bertaburan (berjatuhan), dan apabila gunung-ganang telah diperjalankan (hancur jadi debu). Ketika Rasulullah ditanya orang tentang pengertian firman Allah ini, lalu Rasulullah s.a.w yng mulia itu menangis hingga debu-debu menjadi basah disebabkan cucuran air matanya yang mulia itu. Kemudian Rasulullah s.a.w pun bersabda: Wahai orang yang bertanya, engkau bertanya kepadaku tentang persoalan yang besar. Bahawasanya kaum-kaum dari umatku kelak di hari kiamat akan dibangkitkan menjadi dua belas puak.

Puak yang pertama dibangkitkan (dari kubur) dalam keadaan berupa kera,mereka adalah orang-orang yang suka membuat fitnah di antara manusia. Firman Allah bermaksud: Dan fitnah itu lebih dahsyat (bahaya) dari pembunuhan. Jadi orang yang suka melakukan fitnah sama ada melalui khabar atau surat-surat khabar, melalui lisan atau pun tullisan. Awaslah kamu tidak boleh lari lagi di akhirat kelak. Maka ketika itu kamu akan dibangunkan dari kubur berupa seperti kera yang hodoh, itulah rupa muka bagi orang yang suka sangat menabur fitnah, sama ada fitnah pada diri perseorangan atau pada sesuatu kumpulan manusia. Bertaubatlah kamu!

Puak yang kedua dibangkitkan (dari kubur) dengan berupa seperti babi. Mereka ini adalah orang yang suka makan yang haram. Ingatlah wahai mereka-mereka yang suka sangat menerima berita-berita bohong, khabar-khabar yang belum tentu salah-benarnya (berita angin), serta mereka yang suka memakan atau meminum yang haram. mereka yang berilmu dan orang yang menjadi pemimpin kepada sesebuah keluarga, kampong, daerah, negeri atau negara, jika kamu melanggar hukum-hakam Allah sama ada benda yang dimakan itu benda dah jelas haram, seperti arak, tuak, daging babi dan lain-lain lagi. Ataupun hasil-hasil yang diperolehi itu dari punca yang haram, seperti dari hasil judi, tipu, rompak, curi, riba, perniagaan yang haram dan lain-lain lagi. Ingatlah kamu akan dibangunkan kelak di akhirat nanti dalam satu puak/kumpulan yang berwajah babi yang hodoh lagi hina. Walau sehebat mana kamu, namun kamu tidak dapat melarikan diri lagi pada hari itu. Bertaubatlah!

Puak yang ketiga dibangkitkan (dari kubur) dalam keadaan buta lagi bingung. Sedangkan badannya digayuti dan dipegangi oleh manusia yang ramai. Mereka ini adalah orang yang sama-sama melanggar hukum-hakam Allah (sedang mereka adalah orang yang alim atau menjadi pemimpin kepada suatu kaum). Ingatlah! Wahai mereka-mereka yang berilmu dan orang yang menjadi pemimpin kepada sesebuah keluarga, kampung, daerah, negeri, atau negara, jika kamu melanggar hukum-hakam Allah dan tidak pula mengadili manusia dengan peraturan yang datang dari Allah, maka terimalah nasib kamu di akhirat nanti. Di antaranya kamu akan dibangunkan dalam keadaan buta lagi kebingungan serta badan kamu digayuti pula oleh orang-orang jagaan dan pimpinan kamu, untuk menuntut haknya terhadap kamu. Walaupun di dunia ini kamu hebat, tetapi di sana nanti tidak ada lagi kehebatan kamu bahkan kamu akan dihinakan. Bertaubatlah!

Puak yang keempat dibangkitkan (dari kubur) dalam keadaan bisu lagi pekak. Mereka adalah orang yang ujub (kagum) dengan amalannya. Mereka-mereka yang telah merasa hebat dengan amalan-amalannya, ilmunya, serta kebolehan-kebolehan dirinya, lalu memandang orang lain yang kurang darinya sebagai rendah dan tidak setaraf dengannya. Dengan sebab itu dia menyombong diri kerana telah itu dia merasa ujub pula (yakni kagum dengan dirinya sendiri). Maka ingatlah, walau setinggi mana ilmu kamu, kebolehan kamu, darjat kamu, sijil kamu, ijazah kamu, bahkan walaupun setinggi mana kehebatan kamu, kalau kamu bersifat ujub dan sombong, nanti kamu akan dibangunkan di padang mahsyar kelak dalam keadaan bisu lagi pekak. Ketika itu nanti sedarlah kamu bahawa semua yang kamu sombongi dan ujubkan itu tidak bererti lagi. Bahkan ketika itu kamu berada dalam keadaan hina dan merempat, dan akan dijunamkan ke kawah api neraka. Kecualilah kalau kamu sempat bertaubat sebelum kamu mati, maka terselamatlah kamu. Sesungguhnya orang yang mulia di sisi Allah itu hanyalah orang yang bertaqwa.

Puak yang kelima dibangkitkan dalam keadaan mengalir nanah dari mulutnya, serta mengalir darah dari lidah-lidahnya. Mereka ini adalah orang-orang yang alim (dalam ilmu agama Islam) yang tidak bertepatan cakap dengan perbuatannya. Mereka yang berilmu atau orang tahu selok-belok agama Islam, mereka ini kalau mengajar dan bercakap soal-soal agama cukup mahir. Mereka menyuruh orang ramai yang belajar dengannya supaya melakukan sesuatu kebaikan dan meninggalkan sesuatu larangan Allah. Tetapi yang malang, dirinya sendiri pun tidak mahu berbuat demikian. Bahkan kadang-kadang ada perkara yang jelas wajibnya pun tidak diambil berat olehnya, lebih-lebih lagilah perkara-perkara sunat itu dianggapnya sebagai suatu perkara yang remeh-temeh yang tidak perlu diambil kira. Jadi bagi mereka-mereka ini yang “cakap tak serupa bikin” kepada “bikin serupa cakap”. Oleh itu janganlah kamu berbangga dan menyombong diri dengan keilmuan kamu, jika kamu tak amalkan, insyaallah kamu akan mendapat kemurkaan Allah.

Puak yang keenam dibangkitkan dalam keadaan badannya penuh dengan luka-luka yang parah (lagi menyakitkan), mereka ini adalah saksi-saksi palsu. Dari zaman silam hinggalah ke zaman ini, seterusnya hinggalah ke hari kiamat, akan terdapat orang-orang yang suka menawarkan dirinya menjadi saksi dalam sesuatu hal, sedangkan dia adalah saksi yang palsu lagi dusta. Terutama di zaman ini (zaman rosak). Kerana nak bela kawan, jiran, kaum keluarga atau sengaja nak cari untung (upah) sanggup mereka ini tampil ke hadapan untuk menjadi saksi yang dusta demi membela kebatilan dan kejahatan orang lain. Jadi pada mereka ini diingatkan, bahawa mereka akan dibangunkan di akhirat nanti dalam keadaan luka yang sangat parah.

Puak yang ketujuh dibangkitkan berkeadaan tapak kakinya tersangkut di keningnya serta terikat pula pada ubun-ubunnya, sedangkan bau badannya terlebih busuk dari bangkai. Mereka ini adalah orang yang suka memuaskan hawa nafsunya serta mencari keseronokan dengan jalan yang haram. Celaka bagi mereka-mereka yang mencari kesenangan, keseronokan dan kepuasan di dunia ini dengan melalui kerja-kerja haram, menurut saja ajakan dan pujukan hawa nafsu dan syaitan. Seperti : menari, menyanyi, berzina, penipu, perogol. Penagihan dadah, penagihan arak, pemarah, pemeras, dan seribu satu macam lagi keseronokan-kesoronokan yang didorong oleh nafsu yang jahat serta ajakan syaitan yang terkutuk yang membawa kepada kemurkaan Allah Robbuljalil. Insaflah wahai kamu sekalian! Sesungguhnya kenikmatan, keseronokan, hburan, kesenangan dan kemewahan yang kamu perolehi secara haram itu adalah terlalu rendah nilainya di sisi Allah. Dan itu semua merupakan keseronokan yang terlalu sedikit dan tidak pula kekal jika dibandingkan dengan keseronokandan kenikmatan di akhirat. Manusia seperti ini Allah akan jadikan mereka serendah-rendah taraf.

Akhirnya kamu akan mati dan ketika itu tidak ada ertinya lagi semua yang kamu perolehi itu. Kerana waktu itu tidak ada lagi siapa pun yang boleh menolong kamu (lebih-lebih lagi kenikmatan dan keseronokan dunia dulu), kecuali Allah saja yang menjadi raja dan penolong pada hari itu. Sedangkan semasa kamu hidup di dunia dulu, Allah dan Rasul-Nya kamu lupakan, kamu angkuh serta sombong padanya. Nah! Bila kamu dibangunkan dari kubur di akhirat nanti, kamu berada dalam keadaan yang dahsyat dan mengerikan. Kedua-dua belah tapak kaki kamu tergantung di kening yang terikat pula pada ubun-ubun kamu, serta bau badanmu lebih busuk dari bau bangkai. Inilah ganjaran awal kamu di akhirat nanti bagi kerja-kerja terkutuk kamu itu, sebelum kamu dilemparkan oleh para malaikat ke dasar neraka yang meluap-luap kepanasan, yang mana dulu kamu (di dunia) memperolok-olokkannya dan kurang yakinmu padanya.

Puak yang kelapan dibangkitkan dalam keadaan mabuk (yang amat sangat), rebah ke kiri dan ke kanan (menuju padang mahsyar), mereka ini adalah orang yang mencegah, menahan hak Allah. Di akhirat nanti orang-orang yang bakhil di dunia ini untuk mengorbankan harta bendanya yang halal pada jalan Allah maka dia akan dibangunkan di dalam keadaan mabuk yang amat sangat sehinggakan ia jatuh ke kiri, kemudian bangun kembali, jatuh pula ke kanan, bangun kembali, begitulah seterusnya dalam berjalan menuju ke padang mahsyar. Mereka-mereka ini di antara sifatnya di dunia dulu ialah, kalau harta atau wang ringgit itu digunakan untuk menambah kekayaan dirinya atau jalan maksiat, atau untuk kemahuan dirinya atau untuk pembaziran, maka dia sangat mudah serta tidak terasa berat mengorbankan wang ringgitnya untuk tujuan tersebut. Tetapi jalan untuk jalan Allah, seperti membantu fakir miskin, membantu pejuang-pejuang agama Allah, membantu menegakkan Islam,membantu mereka-mereka yang meminta pertolongan untuk mengembang serta menegakkan Islam, maka mereka sangat payah, leceh serta banyak alasan juga bakhil untuk mengeluarkan wang ringgitnya untuk tujuan tersebut.

Puak yang kesembilan dibangkitkan dengan dipakaikan pakaian dari minyak tar (yang panas). Mereka adalah orang-orang yang suka mengumpat dan tidak mahu menjauhkan diri daripadanya. Umpat-mengumpat, kata-mengata, mencari-cari kesalahan orang lain, ini adalah perbuatan orang-orang yang terkutuk, mereka nampak kelemahan dan kesilapan orang lain, tetapi mereka lupa tentang diri mereka yang inilah orang yang jahat lagi terkutuk. Ingatlah mengumpat itu adalah kerja orang munafik, nanti di akhirat kamu akan dibangunkan dengan berpakaian minyak tar yang amat panas.

Puak yang kesepuluh dibangkitkan dalam keadaan keluar lidahnya daripada tengkuknya. Dia adalah orang yang suka mengadu-dumba. Puak ini di dunia suka mengadu-dumba, melaga-lagakan orang, seronok bila dia lihat orang bergaduh. Mereka ini mengadu dumba dalam berbagai bentuk,bentuk lisan, tulisan dan perkhabaran. Mereka sengaja mengadakan cerita-cerita dan membesarkan cerita yang kecil dengan niat biar orang berlaga (bergaduh). Jahat sungguh perbuatan ini. Ingat lidah kamu akan terlipat ke belakang keluar melalui tengkuk di akhirat nanti, itulah balasan amal bagi ibadah yang durjana. Inilah perangai kaum munafik.

Puak yang kesebelas dibangkitkan dalam keadaan mabuk (yang teramat sangat). Mereka adalah orang yang suka bercakap hal-hal dunia di dalam masjid. Firman Allah bermaksud: Dan sesungguhnya masjid itu adalah kepunyaan Allah.

Puak yang kedua belas dibangkitkan dalam keadaan rupa babi, mereka adalah orang yang suka makan riba. Perbuatan riba ini telah menjadi cara hidup orang-orang fasik (derhaka). Dosa memakan dan memberi riba adalah sama beratnya. Mereka ini hendak cari mudah dan senang saja, tidak kiralah perbuatan itu riba atau tidak.

Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal ra katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Jika datang hari kiamat, hari kerugian atau hari penyesalan, maka umatku akan dibangkitkan menjadi duabelas golongan. ”

Dua belas golongan dibangkitkan di hari akhirat. Golongan pertama dibangkitkan dari kuburnya dengan tidak berkaki dan tidak bertangan, kemudian menyeru dari sisi Tuhan : “Mereka itu adalah orang-orang yang menyakiti jirannya dan mati mereka dengan tidak bertaubat, itulah balasan bagi mereka dan tempat kembali mereka adalah neraka. ”

Golongan kedua dibangkitkan dari kuburnya dengan berupa binatang, dikatakan berupa babi, kemudian diseur dari arah Tuhan yang Maha Pemurah: “Mereka adalah orang-orang yang meringankan fardhu sembahyang. Kalau sampai mati tidak bertaubat, maka itulah balasan bagi mereka dan tempat kembali mereka adalah neraka”.

Golongan yang ketiga dibangkitkan dari kubur berkeadaan perut seperti bukit yang dipenuhi ular-ular dan kala jengking yang besarnya seperti seekor (sebesar) keldai lalu dipanggil oleh zat pemanggil arah Tuhan: “Merekalah orang-orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat dan tidak bertaubat hingga mati. Maka itulah balasan bagi mereka dan tempat kembalinya ialah di dalam neraka. ”

Golongan yang keempat dibangkitkan dari kuburnya keluar darah mengalir dari mulutnya, isi perutnya keluar terburai ke bumi dan keluarlah api dari mulut-mulut mereka, maka menyerulah zat penyeru dari sisi Allah: “ Mereka itulah orang-orang yang dusta dalam jual beli dan menipu sukatan (timbangan), maka mereka mati tanpa bertaubat maka itulah balasan bagi mereka dan tempat kembalinya ialah neraka. ”

Golongan yang kelima ialah dihalau dari kuburnya dalam keadaan menyamar dari para manusia, bau badan mereka lebih busuk dari bangkai. Dan menyerulah zat peyeru dari sisi Allah s.w.t: “ Mereka itulah orang-orang yang menyembunyikan kemaksiatan dari diketahui oleh manusia lain-lain. Tetapi hati tidak sekali-kali malu dan takut kepada pengawasan Allah swt. Maka mati mereka itu dalam keadaan demikian tanpa sempat bertaubat. Maka itulah balasan atas mereka dan tempat kembali mereka itu adalah di dalam neraka”.

Golongan keenam ialah mereka ini dihalau dari kuburnya dalam keadaan semuanya leher terputus-putus (luka-luka yang mengerikan) dari tengkoknya. Dan memanggillah zat pemanggil dari sisi Allah: “Mereka itulah orang-orang yang menjadi saksi palsu lagi berdusta. Mereka mati dalam keadaan tidak bertaubat. Itulah balasan mereka dan tempat kembali semua mereka itu adalah ke dalam neraka. ”

Golongan ketujuh ialah mereka dihalau dari kuburnya dalam keadaan tidak berlidah. Darah dan nanah mengalir keluar dengan banyaknya dari mulut-mulut mereka. Maka menyerulah zat pemanggil dari sisi Allah swt: “Mereka itulah orang-orang yang mencegah (menghalang) persaksian dalam perkara benar (hak). Mereka mati dalam keadaan belum bertaubat. Maka itulah balasan mereka dan tempat tinggal mereka seterusnya adalah di dalam neraka. ”

Golongan yang kelapan ialah mereka dihalau dari kubur-kubur mereka dalam keadaan tunggang-langgang iaitu kepalanya ke bawah, kaki ke atas kepala. Dari kemaluan mereka keluar mengalir nanah-nanah yang panas mendidih lagi busuk. Dan menyerulah zat dari sisi Allah swt. Dengan serunya: ‘Mereka itu semua adalah orang-orang yang melakukan perbuatan zina, liwat (homosex). Dan mereka mati dalam keadaan masih tidak bertaubat. Maka itulah balasan bagi mereka. Dan tempat tinggal mereka seterusnya adalah di lembah neraka jahanam. ”

Golongan kesembilan ialah mereka dihalau dari kubur dalam keadaan wajah (muka) mereka berwajah hitam renting matanya terkeluar dan perutnya penuh dengan bara api yang panas membakar. Maka menyerulah zat penyeru dari sisi Allah swt. Dengan seruannya: “Mereka semua itu adalah orang-orang yang makan harta anak yatim dengan jalan belot. Dan mereka mati dalam keadaan masih belum bertaubat, itulah balasan ke atas mereka dan tempat kembali mereka seterusnya adalah ke dalam neraka. ”

Golongan kesepuluh ialah mereka dihalau dari kubur-kubur mereka dalam keadaan badannya penuh dengan kudis yang bias lagi berbelang-belang. Menyerulah zat penyeru dari sisi Allah swt dengan seruan-Nya: “Mereka semua itu adalah orang-orang yang menyakiti kedua ibubapanya atau salah seorang darinya. Dan mereka mati dalam dosa demikian dan tidak bertaubat. Itulah balasan mereka dan tempat mereka seterusnya adalah di dalam kawah api neraka jahanam. ”

Golongan kesebelas ialah mereka dihalau dari kubur-kubur mereka dalam keadaan buta hati (bodoh), gigi mereka sebesar tanduk lembu, bibir-bibir mereka besar terjulur hingga menutupi dadanya, lidahnya mereka menjilat-jilat perutnya sendiri, perut mereka besar hingga menutupi pehanya dan dari perutnya keluar nanah-nanah yang busuk lagi panas mendidih. Maka menyerulah zat penyeru dari sisi Allah swt. Dengan seruan-Nya: “Mereka semua itu adalah orang-orang meminum arak. Dan mereka mati dalam keadaan belum bertaubat, maka itulah balasan bagi mereka dan tempat kembali mereka seterusnya adalah ke dalam neraka yang menjulang apinya. ”

Golongan yang terakhir ialah mereka digiring dari kubur mereka dalam keadaan wajah-wajah mereka berseri-seri keriangan dan kepuasan seperti sinar bulan purnama. Mereka melintasi titian Silatulmustaqim seperti kilat yang memancar lajunya. Maka menyerulah zat penyeru dari sisi Allah swt. Dengan seruan-Nya : “Mereka inilah orang-orang yang sentiasa patuh melaksanakan perintah Tuhannya (perintah Allah) dan tidak melakukan larangan Tuhannya. Dan mereka mati dalam keadaan telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah swt. Inilah ganjaran daripada Allah swt. ” Inilah ganjaran bagi mereka dan tempat tinggal tetap mereka seterusnya adalah di dalam syurga yang penuh dengan nikmat yang tidak terhingga. mereka masuk ke dalam syurga dengan keampunan, rahmat dan keredhaan Allah swt kerana mereka redha kepada Allah dan Allah pula redha ke atas mereka.

Demikianlah rupa wajah dan keadaan manusia ketika bangun dari kubur di hari kiamat nanti untuk dihalau berkumpul di padang masyhar. Seluruh rupa wajah dan bentuk itu adalah mengikut perangai dan sikap serta perbuatan kita semasa hidup di dunia ini. Oleh itu kita pilihlah perbuatan yang baik-baik agar kita termasuk orang-orang yang bergembira di hari akhirat nanti. Dan jangan sesekali memilih jalan-jalan yang kotor dan berdosa, kerana ianya akan menyusah dan menyeksakan kita di hari kemudian. Kejarlah kehidupan syurga di akhirat nanti dan tinggalkanlah kehidupan jahat dan dosa di dunia ini.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

013-4006206
04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment