Saturday, April 25, 2009

Definisi Institusi Kekeluargaan Dan Modal Insan

Oleh: Siti Nazihah Binti Sarpin

PENDAHULUAN

Keluarga merupakan satu komponen penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat dan seterusnya membentuk sebuah negara. Tanpa institusi kekeluargaan, pembentukan sesebuah negara tidak akan sempurna. Islam memandang institusi kekeluargaan sebagai sebuah institusi yang akan menjadi pencorak kepada masyarakat yang bakal dibina. Dalam agama Islam, tanggungjawab sebagai ketua keluarga pada asasnya terletak dibahu kaum lelaki. Walaubagaimanapun, bagi memastikan kejayaan dan kelancaran sesebuah institusi kekeluargaan, kedua-dua pihak, iaitu ibu dan bapa memainkan peranan yang sama pentingnya. Sebagai seorang suami dan bapa, tanggungjawab asasnya ialah menyediakan keperluan asas buat keluarganya seperti makanan tempat tinggal dan pakaian. Bukan itu sahaja, sebagai seorang bapa dan suami yang bertanggungjawab beliau juga harus memberikan pendidikan akademik yang penting untuk perkembangan minda dan juga pendidikan agama untuk kesejahteraan rohani dan fizikal supaya tidak tersimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Bagi seorang ibu dan isteri pula, tanggungjawab utamanya ialah memastikan keharmonian dan kelancaran dalam sistem rumah tangga. Bagi yang bergelar suami isteri dan ibu bapa, mereka perlu memastikan institusi kekeluargaan yang dibina disulami dengan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati.

Malangnya, pada zaman teknologi yang serba canggih ini, semakin ramai manusia Islam yang telah jauh menyimpang daripada landasan Islam yang sebenar. Tiada lagi manusia yang mengamalkan nilai-nilai moral dan kemanusiaan yang terkandung di dalam al-Quran. Fenomena ini amat berbeza jika hendak dibandingkan dengan zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w. , serta sahabat-sahabat yang lain. Nilai moral kini sangat berubah dan menyimpang. Saban hari, bilangan anak Melayu Islam yang terlibat dengan perkara-perkara yang tidak diingini semakin meningkat. Peratusan anak-anak Melayu Islam yang terlibat dalam perkara-perkara negatif semakin meningkat dari sehari ke sehari. Hal ini amat membimbangkan kerana anak-anak sekarang merupakan pemimpin masa hadapan.

DEFINISI INSTITUSI KEKELUARGAAN DAN MODAL INSAN

INSTITUSI KEKELUARGAAN

Secara amnya, keluarga didefinisikan sebagai unit kecil dalam sesebuah masyarakat dan unit terkecil dalam sesebuah negara. Namun, impak negatif dan positif sesebuah masyarakat dan negara semuanya bermula daripada institusi kekeluargaan.

Definisi keluarga mengikut Kamus Dewan ialah seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami dan isteri sahaja atau bersama anak-anak. Keluarga juga merupakan asas sesebuah masyarakat yang di dalamnya terjalin interaksi dari segi kognitif atau efektif antara ahli keluarga. Pembangunan dan pembentukan sesebuah institusi kekeluargaan dalam sesuatu masyarakat itu akan menjadi faktor penentu dalam pembangunan sesebuah negara.

Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud:“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam ) itu pasangannya (isteri – Hawa) dan yang juga membiakkan dari kedua-dua zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu. ” (Surah An-Nisa' : 1)

MODAL INSAN

Modal insan bermaksud individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan santun, berdisiplin, inovatif, dinamik, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Hal ini sejajar dengan apa yang telah terkandung di dalam al-Quran, yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. ” (Surah al-Zumar : 9)

PERANAN INSTITUSI KEKELUARGAAN DALAM PEMBANGUNAN MODAL INSAN

PERANAN SUAMI dan BAPA

Islam telah menetapkan bahawa seorang lelaki merupakan insan terpenting dalam sesebuah keluarga. Lelaki, suami dan bapa memikul tugas yang sangat berat sebagai khalifah di bumi Allah. Hal ini kerana mereka merupakan ketua keluarga didalam sesebuah institusi kekeluargaan. Sebagai seorang suami atau ketua, mereka berhak untuk menentukan perjalanan institusi keluarga di bawah pimpinannya. Namun begitu, sebagai seorang isteri yang taat dan solehah, mereka tidak boleh mengamalkan sifat lepas tangan kerana setiap individu memiliki tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam menentukan kelancaran dan kejayaan rumahtangga tersebut. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu bertanggungjawab atas rakyat yang berada di bawah jagaannya. Para lelaki (suami), adalah penjaga kepada ahli keluarganya dan bertanggungjawab atas rakyat bawahannya. Perempuan (isteri) adalah penjaga di dalam rumah suaminnya dan bertanggungjawab atas rakyatnya. Maka setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap rakyat masing-masing. ” (H. R. Bukhari dan Muslim)

Antara tanggungjawab terbesar seorang suami dan bapa ialah beliau perlu menyelamatkan diri dan ahli keluarganya daripada kemurkaan Allah S.W.T. Suami dan bapa haruslah memastikan perjalanan rumahtangga yang diketuainya berada di landasan Islam yang betul dan tidak menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Beliau juga harus memastikan bahawa rakyat bawahannya sentiasa taat dan patuh kepada perintah Allah dan syariat Islam.

Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang- orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu. (Surah al-Tahrim : 6)

Selain daripada tugas terbesar di atas, suami dan bapa juga mempunyai tanggungjawab yang lain dalam memastikan perjalan rumah tangga dibawah pimpinannya berjalan dengan lancar dan dalam keadaan baik. Suami dan bapa perlu memahami bahawa keluarga merupakan amanah yang diberi oleh Allah yang wajib dipimpin dengan sebaik-baiknya. Selain itu, suami dan bapa perlu mencurahkan kasih sayang kepada setiap ahli keluarga tanpa mempunyai sikap pilih kasih sama ada terhadap anak-anak mahupun isteri-isteri (jika beristeri lebih daripada satu). Di samping itu, suami dan bapa perlu menunjukkan perasaan belas kasihan dan dan kesedian untuk bekorban demi kebahagiaan keluarga serta memberikan pendidikan Islam yang sempurna kepada isteri dan anak-anak. Seorang suami dan bapa juga perlu melindungi setiap ahli keluarganya daripada sebarang kecelakaan. Seorang suami dan bapa perlu menyediakan keperluan asasi kepada keluarganya iaitu tempat tinggal, pakaian dan makanan yang mengikut kemampuannya. Suami yang bertanggungjawab perlu berlaku adil dan bergaul baik dengan ahli-ahli keluarganya. Suami dan bapa juga perlu menyelesaikan segala permasalahan yang berkaitan dengan rumah tangga, jiran tetangga dan rakan-rakan dengan baik dan bijaksana. Suami dan bapa yang baik akan menghormati hak-hak isteri-isteri dan anak-anak. Dan juga menyelesaikan mahar kepada isterinya jika masih lagi belum menyelesaikannya.

PERANAN ISTERI dan IBU

Selain suami dan bapa, isteri dan ibu juga mempunyai tanggungjawab yang tersendiri. Antara tanggungjawab terbesar bagi seorang isteri dan ibu ialah memastikan perjalanan rumahtangga yang dibina bersama suami berjalan dengan lancar dalam keadaan yang sempurna dan diredhai oleh Allah s.w.t.

Mendapat isteri yang solehah merupakan kenikmatan dan kemewahan hidup yang paling bernilai di dalam rumahtangga. Sebaliknya, jika mendapat isteri yang tidak solehah merupakan bebanan sepanjang hidup dan akan mempengaruhi susur galur keluarga sehingga ke anak cucu. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Dunia ini adalah kenikmatan hidup, sebaik-baik kenikmatan hidup ialah isteri yang solehah. ” (H. R. Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Hibban yang bermaksud:“Empat perkara yang membawa kebahagiaan ialah isteri yang baik, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. . . ”

Sabda Rasulullah s.a.w yang telah diriwayatkan oleh al-Dailani pula bermaksud: “Empat perkara yang membahagiakan seseorang iaitu isteri yang solehah, anak-anak yang terdidik, sahabat yang baik dan rezeki yang ada di negeri sendiri. ”

Antara tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu yang solehah ialah wajib bersikap “al-Mawaddah” dan “al-Rahmah” sebagaimana yang diwajibkan ke atas seorang suami dan bapa. Seorang isteri dan ibu juga harus patuh dan taat kepada perintah suami selagi mana perintah tersebut tidak bertentangan dengan perintah Allah dan RasulNya, serta syariat Islam. Isteri yang solehah perlu pandai menjaga kehormatan diri, suami dan keluarganya serta menjaga harta benda dan rahsia rumahtangga dengan kemas. Selain daripada itu, seorang isteri hendaklah sentiasa berhias untuk suami agar sentiasa kelihatan kemas dan menarik serta menjaga kebersihan, kesihatan, dan kebajikan anak-anak supaya sentiasa teratur dan sempurna. Di samping itu, seorang isteri dan ibu yang solehah tidak boleh meninggalkan rumah tanpa izin daripada suaminya, melainkan di dalam keadaan yang darurat. Demikianlah merupakan sebahagian tanggungjawab isteri-isteri dan ibu-ibu yang solehah dalam rumahtangga dalam memastikan keluarga mereka merupakan institusi kekeluargaan yang bahagia dan diredhai oleh Allah s.w.t.


PERANAN ANAK-ANAK YANG SOLEH DAN SOLEHAH TERHADAP IBU BAPA

Dalam mewujudkan sebuah institusi kekeluargaan yang bahagia, aman dan makmur, Islam telah menggariskan beberapa panduan untuk diikuti oleh anak-anak. Antara tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa mereka ialah taat atas segala arahan mereka selagi mana ia tidak bercanggah dengan perintah Allah s.w.t dan RasulNya serta syariat Islam. Selain itu, sebagai anak-anak yang soleh dan solehah, adalah menjadi tanggungjawab untuk menjaga dan memelihara harta dan maruah serta diri kedua ibu bapa apabila mereka telah tua. Menjaga makan dan minum mereka dan juga menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk mereka. Anak-anak yang soleh dan solehah juga wajib mendoakan kedua ibu bapa mereka tidak kira semasa kedua ibu bapa masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Demikianlah yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran yang bermaksud :

“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa jika salah seorang daripadanya atau kedua-dua sekali sampai ke umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan satun). Dan hendaklah engkau merendahkan diri kepadanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa aku masih kecil. ” (Surah al-Isra' : 23-24)

Demikianlah gambaran serba ringkas mengenai institusi kekeluargaan yang telah digariskan oleh Syariat Islam. Ia merupakan manifestasi keagungan dan kekuasaan Allah yang telah menciptakan al-Din untuk hamba-hambanya. Ini dapat diketahui melalui firmanNya di dalam al-Quran yang bermaksud : “Di antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T, Dia menciptakan untuk kamu pasangan hidup dari jenis kamu, supaya kamu bersenang-senang dengannya. Dan mengurniakan kamu perasaan kasih sayang dan mengasihani antara kamu, yang demikian menjadi bukti bagi kaum yang mahu berfikir. ” (Surah al-Rum : 21)

PERANAN MASYARAKAT

Masyarakat lahir daripada gabungan anggota-anggota keluarga. Masyarakat Islam akan terbina secara sendirinya apabila pada peringkat peribadi dan keluarga berjaya disempurnakan dari segi pendidikan intelektual, spiritual dan emosionalnya (akhlak dan moralitinya). Sebagai anggota masyarakat, terutama sekali yang telah diberi amanah dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin seharusnya mampu melaksanakan tugas dan amanah tersebut melalui masyarakat. Kejayaan seseorang mengurus masyarakat dapat diukur melalui kejayaan-kejayaan yang telah dicapai dari segi membebaskan masyarakat daripada gejala sosial dan galakkan kerja-kerja kebajikan. Kejayaan ini adalah sejajar dengan kenyataan yang terdapat di dalam al-Quran yang menyifatkan golangan berjaya sebagai khayr ummah. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud :“Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan untuk manusia; kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah. . . ” (Surah al-Imran : 110)

Terdapat beberapa tugas dan peranan masyarakat dalam pembangunan masyarakat. Antaranya ialah dapat mengukuhkan ukhuwah islamiah dan sifat kasih sayang antara anggota masyarakat. Sebagai contoh tindakan Rasulullah s.a.w. yang telah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar merupakan satu tindakan yang bijak dan telah menjadi sunnah dan sepatutnya dicontohi oleh masyarakat sekarang. Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :

“Perumpamaan orang-orang yang beriman dari segi kasih sayang dan hubungan kemesraan antara mereka, sepertilah satu jasad apabila salah satu anggota mengadu sakit, nescaya saling bersimpatilah antara mereka untuk berjaga malam dan demam. . ” (H. R. Muslim)

Selain daripada itu, umat Islam juga perlu mencipta hubungan yang baik dengan anggota masyarakat bukan Islam. Hal ini kerana, sebagai negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama, adalah menjadi tanggungjawab kita bekerjasama untuk memelihara hubungan baik tersebut. Hal yang demikian kerana, permusuhan dalam kalangan bangsa dan agama yang berlainan akan membawa padah yang berat dan berpanjangan. Oleh sebab itu, umat Islam digalakkan untuk bermuamalah dengan cara yang harmoni. Perlu ada sifat menegur kesilapan dan memberi nasihat dalam anggota masyarakat bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang bertamadun dan juga untuk mewujudkan masyarakat yang bersedia untuk ditegur dan menegur antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w bersabda di dalam hadithnya yang bermaksud:“Sesungguhnya agama itu adalah nasihat. Para shabat bertanya : “Untuk siapakah Rasulullah nasihat itu?” Baginda s.a.w bersabda : “Nasihat itu adalah untuk Allah, RasulNya, kepimpinan umat Islam dan masyarakat umum dikalangan mereka. ” ( H. R. Muslim)

IMPLIKASI KESAN PENGABAIAN DALAM INSTITUSI KEKELUARGAAN

Dalam usaha untuk membawa perubahan dalam masyarakat untuk membentuk mengikut perspektif Islam, khususnya di peringkat negara, banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam sama ada cabaran dalaman mahupun cabaran luaran. Cabaran-cabaran inilah yang akan membawa kepada implikasi negatif dalam kehidupan masyarakat umat Islam jika mereka tidak bersedia daripada segi mental, fizikal dan juga rohani. Pengabaian inilah yang akan memberi impak yang besar kepada masyarakat itu jika mereka itu tidak mengambil peduli tentang masalah ini.

Implikasi pengabaian dalam institusi kekeluargaan ialah berlakunya penceraian. Penceraian berlaku adalah disebabkan oleh suami yang tidak memberi nafkah, tidak menunaikan tanggungjawab dengan baik serta kurang ilmu dalam hal pengurusan rumah tangga dan juga yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Hal-hal ini boleh menyebabkan keadaan rumah tangga menjadi tidak teratur dan akan menyebabkan berlakunya masalah dalam rumah tangga.

Implikasi kedua adalah disebabkan oleh kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan ibu bapa yang bertindak melulu dengan melepaskan kemarahan kepada anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa yang penat pulang daripada pejabat mempunyai tahap tekanan yang tinggi dam apabila mereka tiba di rumah, anak-anak akan menjadi tempat untuk mereka melepaskan tekanan yang dibawa dari pejabat tadi.

Selain itu, pertambahan dalam masalah remaja dan juvana. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa yang mengabaikan anak-anak, pengaruh rakan sebaya serta punca keganasan dan perlakuan negatif remaja. Bagi anak-anak yang kurang perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa, mereka akan melakukan apa-apa sahaja untuk menghiburkam hati mereka dan perkara-perkara negatif itulah yang akan menghancurkan masa depan mereka.

Disamping itu, terdapat juga jenayah agama yang dilakukan seperti berzina dan minum arak berlaku dalam kalangan umat Islam hari ini. Hal ini berlaku apabila ibu bapa kurang memberi perhatian dan didikan agama terhadap anak-anak. Selain daripada itu, masalah ini juga berpunca daripada pihak sekolah yang tidak menitik beratkan soal disiplin. Masalah disiplin seperti mencuri, merosakkan harta benda awam, memeras ugut dan sebagainya kian meningkat saban hari. Yang paling menyedihkan, ia banyak melibatkan pelajar belasan tahun.

Itulah antara kesan-kesan pengabaian dalam institusi kekeluargaan jika kita sebagai anggota masyarakat Islam hari ini masih lagi kurang peka dengan keadaan sekeliling.

CARA MENGATASI KERUNTUHAN DALAM INSTITUSI KEKELUARGAAN

Dalam usaha untuk membangunkan modal insan melalui institusi kekeluargaan, terdapat banyak halangan dan cabaran yang perlu ditempuhi oleh umat Islam. Tetapi, cabaran dan halangan yang ditempuhi tidak mematahkan semangat umat Islam untuk terus maju ke hadapan seperti pada zaman Rasulullah s.a.w dan juga para anbia' yang lain keseluruhannya. Terdapat beberapa langkah untuk menangani masalah keruntuhan dalam institusi kekeluargaan.

Yang pertama, ialah sebagai umat Islam, kita perlu kembali kepada ajaran Islam iaitu berasaskan al-Quran dan al-Sunnah. Al-Quran dan al-Sunnah merupakan perlembagaan utama bagi umat Islam. Malah kedua-duanya merupakan sumber inspirasi dalam pembinaan tamadun Islam. Hal ini kerana, kandungannya meliputi seluruh aspek kehidupan manusia dan tiada satu pun perkara yang berhubung kait dengan kehidupan manusia ditinggalkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud :“. . . tidak kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini. . . ” (Surah al-An'am 6:83)

Selain itu, pelaksanaan program-program pemantapan institusi kekeluargaan sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah ini. Usaha-usaha ini dilaksanakan untuk membantu keluarga yang mempunyai masalah juga dapat mengikis sikap-sikap negatif yang ada di dalam kalangan ahli keluarga dan seterusnya dapat mengatasi masalah keruntuhan dalam institusi kekeluargaan.

Disamping itu, pendidikan juga dapat membantu dalam mengatasi masalah ini. Hal ini kerana, pendidikan merupakan kaedah yang terpenting bagi membentuk keperibadian ahli keluarga secara sihat dan bebas daripada sebarang gejala buruk. Ketinggian ilmu juga dapat membantu seseorang membuat penilaian mengenai baik dan buruk sesuatu perkara. Hal ini juga dapat membantu dalam melahirkan insan yang berakhlak mulia dan terpuji seperti yang disarankan oleh agama Islam. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“Dua golongan manusia, apabila mereka rosak rosaklah seluruh manusia, apabila mereka baik baiklah seluruh manusia. Mereka yang dimaksudkan ialah para ulama dan umara (para pemimpin dan para ilmuan). ”

Mengadakan program riadah pada masa lapang juga dapat membantu mengatasi masalah ini. Dengan adanya program seumpama ini, beberapa objektof dapat dicapai dan aktiviti-aktiviti luar yang tidak berfaedah dapat dikurangkan sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial, dan juga ikatan silaturrahim antara ahli keluarga dapat dieratkan dan dimesrakan.

Kerajaan juga perlu memainkan peranan yang penting untuk mengatasi masalah ini dengan membantu menyediakan pusat-pusat kaunseling kerana khidmat kaunseling amat penting untuk ahli keluarga yang memerlukan kaunselor profesional untuk memberi bantuan moral dan psikologi ketika menghadapi situasi yang getir, serta mengelakkan daripada berlakunya kes-kes bunuh diri.

3 comments:

  1. menarik dan mudah difahami

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum w.b.t. . izinkan saya untuk meng-copy dan paste artikel ni untuk tujuan pertandingan bahas ala parlimen nanti. ;)

    ReplyDelete
  3. salam ustaz..mohon saya ambil sikit isi untuk kerja kursus...harap halalkan ilmunya ye ustaz...tkasih

    ReplyDelete